Harapkan yang terbaik, bersedia untuk yang terburuk | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Jumaat, Jun 29, 2012

Harapkan yang terbaik, bersedia untuk yang terburuk

[Siri 1]

Ketika Siew Sew Lan dibebaskan dari tahanan ISA, Parti Buruh yang dicurah titisan peluhnya telah dikuburkan dalam sejarah. Kepong yang didiaminya untuk puluhan tahun juga mengalami perubahan yang mendadak.

Namun beliau tidak pernah kesal, mahupun berdendam kerana apa yang menimpa ke atas dirinya.

Tidak juga Siew merasakan masyarakat ini terhutang budi kepada dirinya. Dengan segera Siew memulakan hidupnya yang baru, membuka gerai bunganya di pasar Setapak dengan bantuannya adiknya. Tanpa perasan, tiga dekad telah berlalu.
Gerai bunganya diuruskan dengan baik. Oleh itu, hidupnya agak baik. Seringkali Siew (gambar kiri) menderma kepada sekolah dan pertubuhan gerakan sosial - cara yang lain untuk dirinya terlibat dalam gerakan sosial.

"Jalan itu sendiri yang cari. Bakat itu wujud kerana paksaan. Alam persekitaran yang memaksa anda, maka anda akan mengetahuinya dengan sendiri. Hikmah itu wujud kerana paksaan. Bukannya kamu idamkan sesuatu yang baik, kemudian berusaha ke arah itu. Apabila masalah wujud di depan anda, kamu akan memikirkan cara untuk menyelesaikannya. Seandainya kamu optimis, kamu akan memikirkan cara untuk menyelesaikannya. Kalau anda pesimis, maka pasrah sajalah. Tapi orang seperti saya ini pantang mengaku kalah. Tidak pernah saya fikirkan patah hati. Kalau tak dapat buat, maka fikirkanlah cara lain untuk lakukannya."

Sepanjang 30 tahun ini, Siew Sew Lan menjalani hidup yang tenang, namun tetap berprihatin terhadap perkembangan hal ehwal semasa. Ketika gerakan Reformasi membara pada tahun 1999, beliau pernah diundang untuk berucap di depan khalayak ramai. Beliau turun sekali lagi ke jalan raya pada 18 Mac 2012, untuk aktiviti "Wanita Suara Perubahan".

Pada 18 Mac, Siew amat terharu dan teruja apabila turun ke jalan raya bersama wanita yang lain. Pertama, wanita yang dulunya hanya mengambil berat paras tubuh dan hal keluarga kini mulai mengambil peduli terhadap masyarakat; keduanya, wanita yang turun ke jalan raya kebanyakannya kaum lain, sesuatu yang berbeza di mana hanya orang Cina turun ke jalan raya untuk memperjuangkan demokrasi pada zaman tahun 1960-an.

Selepas itu, beliau bersama rakan seperjuangannya dahulu menyertai perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April, melihat keadaan di mana rakyat "tanpa membezakan kaum, warna kulit, agama, kelas, malah melangkaui batas parti politik" telah turun ke jalan raya. Lebih-lebih lagi, golongan ini kebanyakannya bukan dari parti politik dan akar umbi BERSIH. Ini membuatkan Siew menganggap, "Sememangnya perubahan Malaysia amat cepat. BERSIH mengutarakan tuntutan ini, nak BERSIH, nak sebuah negara yang BERSIH, ini suara 28 juta rakyat. Maka mereka datang berpusu-pusu."

Siew berkata, "Ada orang tanya saya, apa perasaan anda setelah menghadirinya? Saya kata, saya sangat teruja, dah ada pewaris (dalam gerakan sosial)."

"Selepas 28 April, apapun fitnah yang dilemparkan pihak berkuasa, kawalan media...betapa jahatnya BERSIH (dituduh)... Namun ratusan ribu pasang mata dan telinga nampak dan dengar, ratusan ribu pasang kaki melangkah di jalan raya. Apapun yang ingin dimusnahkan, apapun yang ingin dikelirukan, juga gagal menipu... Apabila kita bersatu padu, masa depan kita adalah cerah."

Ketika ditanya sama ada perkembangan gerakan sosial Malaysia bakal membawa sesuatu yang baru kepada Malaysia, Siew Sew Lan mengakui ada, tapi mengingatkan agar jangan berkhayal bahawa ia akan berjalan dengan aman. Manapun regim ketika sampai ke peringkat terdesak kerana hilang kuasa, akan menggunakan apa-apa taktik sahaja. Jadi, bagaimana pula kita mengatasi dan mengendalinya, tanya Siew.

Siew mengingatkan, kita perlu mempunyai impian terhadap yang terbaik pada masa depan, juga perlu merancang untuk bersiap sedia seandainya keadaan terburuk berlaku. Jika pembangkang menang kuasa melalui peti undi sekalipun, Siew percaya bahawa Barisan Nasional yang sudah memerintah untuk lebih setengah abad tidak akan melepaskan kuasa begitu sahaja.

Beliau berkata, semestinya ada yang cedera, mati, terkorban untuk perubahan. "Walaupun kita mahu mengelakkan kecederaan dan kematian sedaya mungkin, namun kita terpaksa melindungi diri jika senario memaksa kita untuk berbuat demikian. Jadi kita perlu ada rancangan untuk keadaan terburuk. Jika anda hanya memikirkan yang baik tanpa memikirkan yang buruk, dan apabila keadaan terburuk muncul, maka anda akan menemui jalan buntu, tidak tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.

Siew yang banyak pengalaman dalam hidup berharap agar orang ramai tidak mengandaikan bahawa segala-gala boleh berubah setelah kerajaan ditukar. Sebaliknya, kita perlu berusaha selepas pertukaran kerajaan berlaku.

"Orang kata, moga-moga kerajaan boleh ditukar. Masyarakat akan berubah. Harap bolehlah, (tapi) perlu juga kerja keras setelah kerajaan bertukar. Jangan kamu andaikan dengan harapan saja bahawa segala-galanya boleh diperbaiki. Ini kerana kamu perlu beberapa tahun untuk membina semula satu masyarakat. Benda yang bobrok keseluruhannya, berapa lama diperlukan apabila kamu kutip dan perbaiki. Jangan kamu (kata) hari ni tukar, esok gembiralah saya. Jangan simpan harapan ini, anda akan membayar lebih." (Bahagian kedua, tamat)

Sumber: Merdekareview


Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...