Apa rasionalnya Kongress Khas penyelesaian hubungan PKR dengan PAS | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Selasa, Ogos 29, 2017

Apa rasionalnya Kongress Khas penyelesaian hubungan PKR dengan PAS

Kepada semua pimpinan Cabang Keadilan di seluruh negara, saya menyeru untuk kalian ke depan bersama-sama menyokong inisiatif Kongres Nasional Khas bagi menyelesaikan secara tuntas soal hubungan parti kita dengan PAS. Apakah gerakan ini boleh menghancurkan Parti Keadilan Rakyat?

Oleh Zukri Aksah

Penentangan terhadap tindakan segelintir pimpinan kanan parti yang terus-terusan secara tidak malu mahu terus bersekedudukan dengan PAS bukanlah baru berlaku, bukan hari ini lewat Sidang Media yang berlangsung pagi tadi di Kuala Lumpur. Sidang media pagi tadi adalah penentangan kumulatif sejak berbulan-bulan dahulu dari seluruh negara. Seruan kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa Cabang untuk menyokong panggilan Kongres Nasional Khas bukanlah dibuat atas dasar kebencian, tetapi atas dasar tanggungjawab menjaga air muka dan maruah Parti Keadilan Rakyat yang sudah begitu teruk tercalar…
Lebih teruk bila kita ditanya apakah parti kita ada harga diri? Dalam masa kita sudah banyak kali dicerai, difarak, difasakh, masih ada kalangan pimpinan kita yang terhegeh-hegeh, dengan menjual nama Anwar kononnya PAS masih perlu dipeluk-cium… gila talak pun tidak segila ini? Untuk segelintir pimpinan ini, saya mohon bertanya, apakah nama Anwar yang dijual itu diterima PAS sebagai mahar? Atau bakal disepak-terajang sekali lagi?

Penentangan ini bukan bermula hari ini, ia sudah lama dan merata, terpecah-terpecah. Penentangan bukan datang dari Rafizi, penentangan bukan dibina di dalam Invoke. Rafizi cuma menjadi pimpinan kanan parti yang cuba membawa suara ini ke atas. Penentangan secara diplomatik dan beradab-sopan sudah dibuat lama tapi segelintir pimpinan yang keras kepala ini terlalu angkuh, merasa mereka sangat hebat dan kuat… apakah mereka sudah buta hati dan pekak badak?

Lalu berlangsunglah sidang media pagi ini menggariskan keperluan Kongres Nasional Khas dalam mencari titik noktah kemelut hubungan dengan PAS. Ada yang merasa ia tiba-tiba, mengejutkan dan menggamit kebisingan yang melampau untuk sebuah parti politik seperti Parti Keadilan Rakyat ini.

Saya katakan biarlah, kerana itu sememangnya respon yang dimahukan. Bhagat Singh memasang bom di ruang tengah parlimen, dia tiada niat mahu mencederakan sesiapa, dia cuma mahu penguasa yang pekak akhirnya dapat mendengar! Dia juga memang mendedahkan dirinya untuk ditangkap supaya dia dapat bercakap di kandang mahkamah. Dalam konteks Parti Keadilan Rakyat, kita memang berniat menghasilkan kebisingan melampau supaya akhirnya segelintir pimpinan kanan parti yang tuli dan pekak akan mendengar. Kita juga secara sukarela mendedahkan siapa kita, tidak berselindung di sebalik nama-nama samaran bak Ratu Naga atau Putera Badak!

Percayalah, kita sudah sampai di persimpangan kritikal yang memaksa kita membuat keputusan tegas. Dalam keadaan paling ideal, kita memang mahukan satu lawan satu dalam berdepan dengan Umno dan BN. Tetapi jika semata-mata mahukan satu lawan satu, dalam masa yang sama kita serlahkan pendirian kita yang lembik di depan PAS, berkompromi terlalu banyak perkara sehingga melibatkan air muka, maruah dan harga diri parti, mengkesampingkan banyak pandangan dan teguran rakan-rakan dari Pakatan Harapan, akhirnya di hadapan rakyat, di hadapan rakan-rakan Pakatan Harapan juga, kita akan dilihat sebagai tidak layak untuk memimpin, tidak tegas dan takut dengan ketidakyakinan pada kekuatan sendiri. Kepada segelintir pimpinan kanan parti yang sedang mabuk kuasa, jangan kerana sayangkan kedudukan di sebuah negeri, percaturan kita akan menjatuh-rudumkan potensi yang kita ada di negeri lain di seluruh negara. Lebih baiklah kita melawan tiga penjuru dalam keadaan kita dilihat tegas, berprinsip, bermaruah dan kekal dengan jalan reformasi.

Kita ada sebab yang kuat mengapa kita sudah tidak mahu berhubungan dengan PAS. Bukan hanya kerana sikap mereka terhadap kita dengan tuduhan yang bermacam dan berterusan. Sikap mereka yang kebelakangan ini mula berbaik dan mesra Umno juga menjadi persoalan. Alasan ta’awun langsung tidak boleh diguna-pakai, bertolong-tolongan untuk perkara baik kononnya. Contohnya begini, si P yang alim sedia bekerjasama dengan U yang diketahui memang pencuri dan kuat rasuah untuk membina masjid, maka kedua-dua pihak saling menyumbang bagi kerjasama ini. Apakah ia ta’awun sedang dalam masa yang sama sumbangan pihak U datang dari hasil curian dan rasuah?

PAS juga telah menzahirkan cita-cita mereka mahu menjadi “playmaker” dalam kondisi yang sangat longgar. Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan mendedahkan jika PAS menang 20 kerusi maka mereka boleh pergi sama ada ke BN atau ke Pakatan Harapan, mereka akan menjadi mahal kepada BN atau Pakatan Harapan yang mahu membentuk kerajaan. Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa PAS sudah hilang prinsip perjuangan. Demi kuasa PAS sanggup bekerjasama dengan siapa sahaja, sama ada dengan biawak hidup atau dengan biawak hidup yang lebih bahaya. PAS sudah menjadi janda berhias, janda berhias secara harfiahnya suka mengikis harta lelaki. Janda berhias PAS pula suka mengikis kuasa dari siapa sahaja, tanpa perkiraan prinsip. Ingatlah, Parti Keadilan Rakyat adalah parti reformasi, perlawanan kita adalah perlawanan sistem, melawan sistem Umno dan BN (tidak kira siapapun yang memimpinnya), menawarkan sistem reformasi yang lebih terbuka, telus dan merakyat. Tindak-tanduk PAS kebelakangan ini nyata berlawanan dengan cita-cita reformasi kita, kerana PAS boleh sahaja berkawan dengan sistem yang rosak dan korup demi kuasa.

Kepada semua pimpinan Cabang Keadilan di seluruh negara, saya menyeru untuk kalian ke depan bersama-sama menyokong inisiatif Kongres Nasional Khas bagi menyelesaikan secara tuntas soal hubungan parti kita dengan PAS. Apakah gerakan ini boleh menghancurkan Parti Keadilan Rakyat? Dari satu segi saya tidak nampak logiknya. Ia cuma sebuah Kongres tempat kita berdebat mencari sebuah penyelesaian. Bilamana keputusan di peringkat MPP dan Biropol selalu dipertikai ahli bawahan, maka Kongreslah tempatnya, badan tertinggi pembuat keputusan dalam struktur parti, dan ia tidak boleh dipertikai lagi atau diubah sesuka hati oleh MPP mahupun Biropol. Kalau yapun Kongres Nasional Khas boleh mencipta perpecahan dan huru-hara seperti dakwaan sesetengah pihak, maka suka saya cuplik teori revolusi, bahawa revolusi akan mencetuskan huru-hara tetapi akan memunculkan hero.

Siapa hero tersebut? Rafizikah? Tidak semestinya, ia bergantung kepada keadaan, hero baru mungkin akan muncul dari kalangan pimpinan-pimpinan cabang. Ingatlah sejarah reformasi Indonesia. Yang merajai gerakan reformasi Indonesia ketika hangatnya adalah sosok yang bernama Amien Rais, tetapi bila reformasi menang, yang menjadi hero di Indonesia adalah B.J. Habibie.

Saya, Ketua Penerangan Keadilan Negeri Pahang, menulis kenyataan ini dengan penuh kesedaran akan risikonya. Saya tidak pasti sama ada kenyataan ini bakal diterima oleh MPN secara keseluruhannya. Namun sementara jawatan itu masih milik saya, biarlah saya suarakan apa yang saya percaya. Saya mungkin akan kehilangan jawatan tersebut, dipecat. Tetapi ingat, saya masih Timbalan Ketua Cabang yang dipilih… maka saya akan terus bersuara. Rakan-rakan saya dalam gerakan ini ramai yang berjawatan, termasuklah Rafizi sendiri. Bersama-sama dengan gerakan ini memungkinkan hilangnya jawatan, tidak dapat menjadi calon pilihanraya, yang sudah bergelar YB tidak akan terpilih sekali lagi bertanding. Semua risiko ini mungkin, tetapi bak kata Anwar, kalau takut dengan risiko usah bicara soal perjuangan. Saya percaya inilah jalan reformasi, inilah jalan reformasi yang saya pilih.

Zukri Aksah
Ketua Penerangan Keadilan Negeri Pahang
Timbalan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota

Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...