JULAI 10 — Semasa sesi Parlimen yang berakhir 2 Julai yang lalu, saya “berserabut” dengan berbagai isu yang melanda pesada politik tanahair. Dalam Parlimen, upacara angkat sumpah yang dinanti-nantikan berubah menjadi upacara laungan “bubarkan Dun” malah hari pertama sidang beberapa ahli Parlimen dari Pakatan mendapat kad merah keluar dewan selama 2 hari.
Saya terpinga-pinga apa yang berlaku, tapi saya memahami ini mungkin satu cara mendapat perhatian umum tentang isu Perak yang belum selesai namun “harga” untuk mendapat perhatian itu ialah hukuman dan “serangan” lisan yang tak henti-henti oleh ahli Parlimen BN. Paling pedih telinga saya mendengarnya ialah “…patutlah Sidang Dun Perak kecoh, dalam dewan Parlimen pun buat kecoh!”
Saya sempat mencelah dalam salah satu perbahasan saya, tak silap saya semasa membahas Rang Undang-Undang Pemakanan haiwan saya berkata “…kita kena berlaku adil kepada tuduhan yang kita buat, kita kena jadi seperti bapa yang berjiwa besar, kalau marah anak, seorang bapa kena tanya dulu mengapa anaknya bersikap demikian, mesti ada sebabnya...”
Saya meneruskan dengan berkata”…dalam kes Dun Perak kita kena tanya mengapa jadi demikian? Jadi janganlah sewenang-wenangnya membuat tuduhan tanpa mengambil kira mengapa semua ini terjadi. Kalau mengkaji manusia ini dinamakan sebagai “attributive theory...”
Saya cuba membawa keluar dari kepompong politik serang dan kebencian kepada politik berfikir dan berhemah. Saya tahu pendekatan ini tak berapa diminati kerana ada orang menganggap pesaing politik kita tidak memahami kaedah itu, mereka hanya memahami bahasa serang. Apa pun seseorang perlu memulakan sesuatu yang dianggap baik untuk politik baharu.
Parlimen juga kali ini tergesa-gesa untuk menyelesaikan RUU (Rang Undang-undang) yang tertangguh antaranya ialah Pindaan Akta PLKN, RUU Pemakanan Haiwan, Pindaan Akta LHDN, Pindaan Akta Pengangkutan, Pindaan Akta Bank Negara, Pindaan Akta Bank Persisiran Pantai, Bekalan Tambahan dll. Hanya satu Pindaan yang melibatkan Law Reform Act dan Akta Keluarga Islam tidak dapat dibentangkan setelah Majlis Raja-raja meminta supaya negeri-negeri menelitinya dahulu sebelum dibawa ke Parlimen.
Saya sempat mengambil bahagian dalam beberapa RUU dan bersedia untuk bahas pindaan kontraversi LRA dan Keluarga Islam tetapi dibatalkan saat akhir. Saya perlu mengaku, membahas senarai RUU yang panjang bukanlah menyeronokkan, ia menjadi sesuatu yang mencabar keupayaan bahas ahli-ahli Parlimen, apatah lagi jika Ahli Dewan masuk tanpa “homework” memanglah sekadar berbahas untuk memuaskan nafsu amarah kepada parti lawan atau sekadar “berhujjah” dengan isu yang tak ada kena mengena dengan tajuk amatlah mudah. Saya memilih untuk diam daripada “memperbodohkan” diri dengan sesuatu yang mendedahkan “kebodohan” kita apabila bercakap perkara yang kita tidak tahu!
Di luar dewan isu lain terus mendesak Pakatan antaranya ialah Kerajaan Perpaduan yang tidak semena-mena muncul istilah itu semula setelah Muktamar PAS lalu. Setelah menarik nafas lega pada mesyuarat pertama PAS sesi baru yang “menutup” isu Kerajaan Perpaduan, timbul “sesak dada” balik apabila isu ini diungkit kembali semasa sesi Parlimen berlangsung. Datuk Halim Abdul Rahman dari PAS Pengkalan Chepa dalam perbahasan pindaan Akta LHDN terpaksa menyebut bahawa isu Kerajaan Perpaduan selesai dan tidak timbul lagi.
Kehangatan kerajaan perpaduan terus menghimpit Pakatan Rakyat dan seminggu sebelum selesai sesi Parlimen wakil rakyat dari PAS terpaksa membuat kenyataan dan tandatangan menolak isu ini dari terus dibangkitkan. Gara-gara dalam The Star frontpage keesokannya gambar kami sepuluh orang wakil rakyat PAS mendapat jolokan bagi sesetengah sebagai “10 budak hitam” Justifikasi tindakan amat mudah kerana tekanan dari pengundi mendesak kami membuat satu keputusan, apatah lagi keputusan itu tidak bertentangan dengan sikap PAS yang ditentukan dalam mesyuarat pertama PAS. Kami jelas apabila membuat PC hari itu. Malah esoknya apabila saya turun ke Kawasan di Tanjung Piandang, soalan bertubi-tubi dari pengundi telah dapat dijelaskan melalui kenyataan kami di parlimen kelmarinnya. Malah akhbar Cina turut memuatkan PC kami dan itu jadi bahan hujah saya bersama pengundi yang mahukan penjelasan.
Minggu depannya kenyataan dari semua pemimpin PR menegaskan sikap PR menolak isu ini yang hanyalah mainan wayang BN khususnya Umno bagi memecahbelahkan Pakatan. Selesai PC dari PR hari itu wartawan bertanya saya apakah komen saya? Saya menarik nafas lega kerana isu ini dijelaskan dan saya minta semua kita memfokuskan tentang PRU 13 dan memastikan PR mengukuhkan kedudukannya yang ada hari ini. Malam itu adalah mesyuarat khas PAS Pusat menjelaskan sikap muktamad parti tentang persoalan Kerajaan Perpaduan dengan mengambil keputusan memperkukuhkan PR dan bahawa isu ini adalah usaha Umno untuk mendapat kelebihan politiknya secara sendiri.
Minggu terakhir dalam dewan turut menyaksikan perbahasan tentang keputusan Jawatankuasa Khas Parlimen yang mengenakan tindakan denda RM1,000 kepada empat Pemuda Umno yang menghalang Ahli Palimen Bukit Gelugor. Itu bukanlah isunya, yang pelik ialah dalam keputusan Jawatankuasa dikenakan juga celaan kepada beberapa Ahli Parlimen PR kerana dikatakan tidak memberi kerjasama dengan menarik diri dari menjadi saksi dan ahli jawatankuasa yang membincangkan isu “Pemuda Umno menghalang wakil Bukit Gelugor di dalam kawasan Parlimen”. Walaupun perdebatannya panjang tetapi satu kes duluan telah ditetapkan bahawa menarik diri dari menjadi ahli dalam jawatankuasa Parlimen adalah satu kesalahan dan bermula dengan keputusan itu mana-mana wakil rakyat yang enggan menerima keahlian dalam jawatankuasa boleh dicela!
Hari terakhir Parlimen meninggalkan urusan yang belum selesai samada perbahasan RUU yang tidak sempat dibawa mahupun isu politik yang akan terus mengasak PR dan BN. Manek Urai menjadi medan ujian bagi memastikan kewibawaan masing-masing. Rakyat Perak terus menanti dengan debar persoalan “apakah DUN Perak akan dibubarkan?” Bagi saya selesai sesi Parlimen adalah sesuatu yang dinanti-nantikan supaya saya dapat kembali ke routine normal berjogging, lawat kawasan dan menulis di bilik saya. Saya mengharapkan dapat membuat “unfinished homework” tentang persediaan sesi parlimen akan datang yang akan bermula Oktober hingga Disember. Sementara itu kesegaran dataran Sungai Kerian di pagi hari dan kawan se jogging dari semua keturunan sedia menggamit saya untuk “release tension” dan bersosial seketika, maksud saya lupakan politik…
Sumber : The Malaysian Insider