Analisa keputusan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar dari kacamata Amanah | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Khamis, Jun 23, 2016

Analisa keputusan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar dari kacamata Amanah

Amanah sebagai komponen Pakatan Harapan dijangkakan boleh mendapat lebih sokongan undi Cina dalam PRK ini. Malangnya terdapat pengundi muda Cina yang tidak mahu pulang mengundi kerana beranggapan PRK tidak boleh mengubah kerajaan.

Oleh: Suhaizan Kayat

BN dan Pas mengalami kemerosotan undi Melayu dalam Pilihan Raya Kecil(PRK) berbanding Pilihan Raya Umum Ke-13( PRU13) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. BN mengalami kemerosotan undi Melayu sebanyak 3% di Sungai Besar dan 6% di Kuala Kangsar.

Pas pula mengalami kemerosotan undi Melayu yang sama di Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebanyak 7 peratus. Kemerosotan sokongan undi Melayu kedua-dua parti tradisi ini telah diserap oleh Amanah.

Pengundi Amanah terdiri daripada pengundi Melayu progresif, Islamik dan kelas menengah yang terdedah dengan maklumat. Amanah juga mendapat sokongan undi Melayu hasil daripada program Deklarasi Rakyat yang dipelopori Tun Dr Mahathir terutamanya di Kuala Kangsar. Amanah mendapat lebih sokongan undi Melayu di Kuala Kangsar berbanding Sungai Besar.
Kebanyakan pengundi Melayu kurang mengenali logo Amanah kerana baru berusia 9 bulan dan pertama kali bertanding dalam pilihanraya di Semenanjung. Ada setengahnya menganggap logo Amanah seperti parti bebas.

Terdapat ramai pengundi Melayu pro pembangkang yang keliru, manakah pembangkang sebenar di antara Amanah dan Pas. Pas memiliki kelebihan dengan usianya 65 tahun. Amanah pula ditohmah sebagai pro DAP dan pro Cina sama seperti tohmahan yang dihadapi oleh Pas dalam PRU13.
Faktor-faktor ini menyebabkan Amanah mendapat sokongan yang lebih rendah berbanding Pas dan BN. Jika pengundi Melayu lebih mengenali Amanah dan propaganda perkauman dapat diredakan maka sokongannya dijangka meningkat.

Pendekatan Pas yang berkerat rotan dengan DAP dan usul RUU tidak menambahkan undi Melayu. Sebaliknya Pas pula mengalami kemerosotan mendadak undi Cina dalam PRK berbanding PRU13 sebanyak 73% di Sungai Besar dan 63% di Kuala Kangsar.

Hasilnya, Pas hanya memperolehi undi teras seperti yang diperolehi dalam PRU11(2004). Dalam undi teras Pas terdapat undi tegar Pas sekitar 2000 hingga 3000 orang di kedua-dua parlimen ini.

Jika berlaku 10 penjuru sekalipun undi tegar Pas ini tidak akan berganjak. Undi teras Pas boleh menyusut tetapi undi tegar Pas tidak akan berubah.

Undi Cina yang diperolehi oleh Amanah adalah rendah berbanding yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat dalam PRU13.

Amanah sebagai komponen Pakatan Harapan dijangkakan boleh mendapat lebih sokongan undi Cina dalam PRK ini. Malangnya terdapat pengundi muda Cina yang tidak mahu pulang mengundi kerana beranggapan PRK tidak boleh mengubah kerajaan.

Terdapat juga segelintir mereka yang kecewa dengan pertembungan barisan pembangkang. Bukanlah sesuatu yang pelik sokongan undi Cina berubah semasa PRK. Buktinya dalam PRK Sungai Limau (2013), undi Cina terhadap Pas mewakili Pakatan Rakyat merosot berbanding PRU13.

Kelemahan Pakatan Harapan mendapatkan sokongan undi Cina dan merudumnya sokongan undi Cina kepada Pas telah diserap oleh BN. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh strategi BN yang lebih berkesan. Janji-janji pilihan raya telah menarik sokongan pengundi Cina kepada BN terutamanya di Kuala Kangsar.

Walaubagaimana pun sokongan pengundi Cina kepada BN dalam PRK adalah bersifat sementara sahaja. Pengundi Cina dijangka akan beralih semula kepada pembangkang dalam PRU14. Itu bergantung kepada strategi BN dan Pakatan Harapan.

BN boleh berasa selesa dengan strategi memecahkan undi pembangkang dalam dua PRK kali ini.Jentera BN dan Pas sangat kurang berbalas serangan. Sebaliknya serangan hanya ditumpukan kepada Amanah sahaja.
Hanya Amanah mewakili Pakatan Harapan mendapat serangan daripada dua penjuru BN dan Pas. Model PRK ini telah menguntungkan BN dan boleh memberi kemenangan berganda kepada BN dalam PRU14.

Jika tiada usaha menyatukan barisan pembangkang bagi mewujudkan formula pertandingan satu lawan satu sebelum PRU14 maka rakyat pro pembangkang akan merasa bosan untuk mengundi dan barisan pembangkang bakal mengalami kekalahan yang teruk.

Suhaizan Kayat adalah Setiausaha Organisasi Amanah.
Sumber: Facebook

Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...