Sosialisme BUKAN sistem ekonomi dalam negara komunis. Jika kita amati penulisan pemikir sosialis terulung, Karl Marx dan Friedrich Engels, sosialisme tidak lain hanyalah satu kerangka masyarakat. Sejarah, bagi Marx, diwarnai dengan pertarungan kelas (class struggle) yang menjadi ‘motor’ kepada kemandirian sejarah.
Oleh: HAZMAN BAHAROM
Saya ditunjukkan oleh seorang sahabat kepada sebuah rakaman video di program musim sejuk di Jepun, yakni Awaken pada 2010. Katanya, ada salah faham penceramah dalam video tersebut—Ustaz Zaharudin Muhammad—terhadap sosialisme. Dan sememangnya, ada beberapa kesilapan dalam memahami sosialisme yang ada dalam ceramah beliau. Rakaman ini sudah berusia tiga tahun, tetapi (setakat carian saya di internet) masih belum ada kritikan terhadap kesilapan dalam ceramah tersebut.
Ceramah tersebut boleh disaksikan di sini:
Dalam makalah ini, saya akan merungkai satu-persatu kesilapan Ustaz Zaharudin dalam memahami sosialisme berserta rujukan yang absah. Perlu diingat, apabila saya mengkritik kesilapan seseorang dalam memahami sesuatu, itu tidaklah bermakna saya menghentam sosok tubuh orang tersebut (dalam kes ini, Ustaz Zaharudin) atau organisasi yang ia sertai (dalam kes ini, PAS). Dan, disebabkan kesilapan tersebut dilakukan di ruang awam—video Youtube tersebut boleh ditonton sesiapa sahaja; maka kritikan saya ini juga adalah untuk bacaan masyarakat awam.
Pertama, kesilapan dalam menanggapi sejarah. Ustaz Zaharudin berhujah bahawa sosialisme menjadi popular pada 40-an dan 50-an dahulu, ketika ‘kapitalis tak naik lagi’. Saya tidak tahu apakah yang dimaksudkan dengan ‘kapitalis tak naik lagi’, adakah (1) kapitalis belum wujud, atau (2) sudah wujud tetapi belum popular, ataupun (3) pertembungan kapitalis-sosialis masih berpihak kepada sosialis?
Mari kita rungkaikan satu-persatu. Pertama, adalah salah jika pada tahun 40 hingga 50-an itu kapitalisme belum wujud atau belum popular. Hal ini kerana, Adam Smith ketika menulis The Wealth of Nations sendiri menyaksikan bagaimana sistem industri kapitalis—yang telah membawa beliau menulis karya tersebut pada 1776[1].
Kemudian, ketika Revolusi Perindustrian di Eropah meledak pada abad ke 18 dan 19, ketika inilah kapitalisme industri berkembang dengan amat pesat. Salah satu kesannya yang kita sendiri rasai ialah kolonialisme (rujuk makalah saya sebelum ini mengenai Kolonialisme dan Kebudayaan di sini, apabila negara-negara Eropah ini berlumba-lumba meluaskan empayar mereka di Asia dan Eropah—yang salah satu tujuan mereka adalah untuk mencari bahan mentah dan membuka pasaran baru.
Di samping itu, memasuki abad ke-20, kita menyaksikan satu lagi evolusi kapitalisme, ketika kapitalisme kewangan (financial capitalism) wujud dan menerima populariti. Salah satu contoh jelas yang dapat kita lihat ialah kejatuhan kewangan 1929 (Great Depression) yang disebabkan oleh institusi kewangan di Amerika Syarikat.
Juga, apabila Glass-Steagall Act digubal pada 1933, akta ini bertujuan mengehadkan aktiviti bank-bank pelaburan supaya wang deposit rakyat tidak digunakan sewenang-wenangnya untuk mengambil risiko pelaburan yang besar[2].
Nah, ini semua menunjukkan bahawa kapitalisme—yang bermula dengan industri, kemudian kepada kapitalisme kewangan—sudah pun menjadi satu sistem yang amat popular ketika itu. Maka, jika dikatakan kapitalisme masih belum popular waktu itu, hal ini amatlah terpesong daripada kebenaran.
Jika hal yang ketiga pula yang dimaksudkan Ustaz, maka hal ini juga salah. Idea ‘pertembungan’ ini—yang banyak dimanifestasikan melalui Perang Dingin, telah menjadi subjek perbahasan akademik yang panjang antara sarjana-sarjana politik antarabangsa. Ketika Perang Dingin, boleh dikatakan propaganda yang dilancarkan kedua-dua blok sama ada Soviet atau Amerika sangat rancak.
Sebagai contoh, perlumbaan membangunkan loji nuklear dan persenjataan, ditambah lagi dengan ‘space race’ dan perang proksi antara kedua-dua blok telah menjadi peristiwa mendebarkan yang mewarnai politik dunia ketika itu.
Adalah satu kesimpulan yang terlalu kalut untuk mengatakan bahawa pertembungan tersebut didominasi oleh blok Soviet (yang mendukung idea sosialis) ketika itu, apabila simpang-siur politik antarabangsa semasa Perang Dingin tidak ditelusuri dengan baik. Selain itu, kita selalu sahaja berpuas hati dengan kesimpulan Francis Fukuyama melalui The End of History, yang menyimpulkan bahawa kejatuhan Tembok Berlin menandakan tamatnya idea komunisme dan kemenangan kapitalisme-demokrasi-liberalisme dalam tatanan politik dunia.
Hal ini juga mestilah diteliti sebaiknya, kerana boleh jadi kita hanya memandang sisi politik-kekuasaan, sedangkan sisi idea-falsafah itu masih lagi hidup dan didukung kuat oleh para pendukungnya[3]. Tambahan lagi, ketika krisis kewangan 2008 merobek ke jantung sistem kewangan Amerika dan Eropah, idea sosialisme sekali lagi kembali aktif dalam wacana awam lebih daripada sebelumnya![4] Bukankah ini semua menunjukkan bahawa, kejatuhan kuasa politik mereka yang mendukung sesuatu idea bukanlah bermakna idea tersebut jatuh bersama?
Seterusnya, mari kita teliti penerangan Ustaz mengenai ciri sosialisme.
Pertama, Ustaz menyebut bahawa sosialisme ialah ‘sistem ekonomi dalam negara komunis’. Kedua, ciri sosialis pula ialah ‘ambil harta daripada orang kaya, beri kepada orang miskin’.
Pertama, sosialisme BUKAN sistem ekonomi dalam negara komunis. Jika kita amati penulisan pemikir sosialis terulung, Karl Marx dan Friedrich Engels, sosialisme tidak lain hanyalah satu kerangka masyarakat—dan ini termasuklah sistem ekonomi—selepas kejatuhan kapitalisme dan sebelum menuju komunisme. Sejarah, bagi Marx, diwarnai dengan pertarungan kelas (class struggle) yang menjadi ‘motor’ kepada kemandirian sejarah.
Hasil kepada perkembangan ini akan mewujudkan satu kemuncak, di mana pertarungan mencapai tahap maksimum ketika kapitalisme sudah benar-benar matang; lalu membawa kepada kebangkitan golongan proletar menjatuhkan elit borjuis.
Dan dialektika ini berterusan sehinggalah apabila masanya tiba ketika leburnya dikotomi kelas, akhirnya masyarakat berubah pula daripada sosialisme kepada komunisme yang, bagi Marx, merupakan masyarakat tanpa kelas (classless society). Teori Marx mengenai perubahan masyarakat inilah yang dikenali dalam pengajian pembangunan (development studies) hari ini sebagai ‘stage theory’—iaitu masyarakat bermula dengan komunisme primitif, kemudian berubah kepada zaman perhambaan, zaman feudal, zaman kapitalis, zaman sosialis, dan akhir sekali zaman komunis[5].
Kedua, ciri sosialis yang disebut Ustaz, iaitu ‘ambil harta daripada orang kaya dan beri kepada orang miskin’ ini separuh betul dan separuh salah. Dalam menuju kepada masyarakat sosialis, tidak dapat tidak program-program kebajikan rakyat memerlukan dana, dan salah satu cara mengumpul dana tersebut adalah melalui percukaian. Namun, adalah satu kesalahan apabila Ustaz menerangkan sosialisme seolah-olah itulah satu idea paling utama dalam sosialisme.
Itu salah satu cabang kecilnya, bukannya idea sosialisme itu sendiri. Seperti yang telah saya terangkan tadi, sosialisme merupakan satu kerangka masyarakat yang bakal wujud setelah jatuhnya kapitalisme dan masyarakat sedang menuju kepada masyarakat tanpa kelas.
Dalam sistem kapitalisme, masyarakat terpisah kepada dua kelas yang saling bertembung iaitu borjuis dan proletar, dan pengakhiran pertembungan ini akan membawa kepada kemenangan proletar lalu membentuk masyarakat sosialis. Marx dan Engels tidak pernah menggariskan satu cetak biru atau model masyarakat sosialis pun, dan sebab itulah projek sosialisme Lenin dan Stalin bukanlah autoriti yang boleh digunakan untuk menisbahkan sosialisme secara keseluruhan.
Terdapat banyak eksperimen sosialis yang telah dicuba pelbagai negara, dan sekali lagi, kesemua ini bukanlah autoriti yang absah untuk menisbahkan sosialisme secara total[6]. Maka, saya kira jelas apakah kesilapan yang terdapat dalam penerangan Ustaz tersebut.
Ustaz juga berhujah bahawa terdapat kecenderungan golongan intelektual Muslim (saya tidak tahu siapa) yang terpegun dengan sosialisme sehinggakan terus membuat kesimpulan bahawa ‘sosialisme ialah Islam, maka mengkaji sosialisme ialah mengkaji Islam’. Terdapat dua masalah logik di sini. Pertama, masalah ‘straw-man argument’ dan kedua, masalah ‘slippery slope’.
Pertama, straw-man wujud apabila Ustaz telah mengada-adakan hujah yang sebenarnya tidak pernah pun diperjuangkan oleh mana-mana sosialis Muslim. Jika kita kaji semula hujah-hujah sosialis Muslim seperti Ali Shariati atau Kassim Ahmad (dahulu), kita dapati bahawa mereka tidak pernah menyamakan sosialisme dengan Islam secara total. Mereka merupakan Muslim dari sudut agama yang percaya bahawa sosialisme merupakan alternatif terbaik untuk membaiki masalah masyarakat yang wujud kini[7].
Kedua, slippery slope pula wujud apabila Ustaz mengandaikan hubungan sebab dan akibat; bermula daripada ‘terpegun’ dengan sosialisme sehinggalah menyamakan sosialisme dengan Islam! Ini hanyalah satu asumsi semata-mata yang tidak ada asas dan bukti untuk mengabsahkan hubungan tersebut. Maka, saya kira jelas masalah-masalah dalam logik penghujahan Ustaz.
Sebagai tambahan, untuk mendalami serba sedikit berkenaan idea Karl Marx, bolehlah tonton kuliah saya berkenaan asas idea Marx di UTAM, di sini:
Penutup
Ustaz Zaharudin merupakan seorang pendakwah yang terkenal dan dihormati. Saya sungguh-sungguh berharap supaya para ustaz mendalami dahulu ilmu-ilmu berkenaan sistem ‘Barat’ ini, barulah bercakap mengenainya di khalayak terutamanya khalayak berilmu seperti para mahasiswa di Jepun.
Tidak kiralah siapa pun kita—mahasiswa, guru, ustaz, profesor—adalah penting untuk kita tidak memandai-mandai dalam hal yang kita sendiri kabur, tetapi tanyalah dahulu kepada mereka yang ahli dalam bidang tersebut. Bercakap memandai-mandai tanpa ilmu dalam sesuatu bidang merupakan satu kezaliman terhadap ilmu dan karya-karya para pemikir bidang tersebut.
Biarpun Ustaz Zaharudin merupakan guru saya (ya, saya salah seorang ahli usrah beliau di Taylor’s College dahulu), adalah satu kezaliman yang lebih besar jika saya tidak membetulkan kesilapan beliau dalam ceramah tersebut.
Kepada Tuhan kita berserah.
HAZMAN BAHAROM
Manchester, UK.
Sumber: Secangkir Kopi
P/S . Saja aku salin tampal tulisan ni semata-mata untuk disebarluaskan. Lagi cantik kalau hangpa ada masa tengok klip video kat atas tu, satu pencerahan yang cukup menarik. Aku tak kenai pun sapa Hazman Baharom ni, ada member PM aku. Tengok sendiri dan nilai sendiri.
Nota kaki makan cekam: Sebenarnya aku masih dalam mood malas nak mengarang... hahaha...