Tidak pernah saya merasa begini berat hati hendak menulis sebuah rencana untuk Mingguan Kota, sebabnya kerana saya terfikir bagaimana orang yang waras akal dan rasional pemikirannya tidak dapat hendak membayangkan bagaimanakah sebuah negara di dunia moden hari ini boleh diperintahkan dan ditadbirkan dengan hanya menggunakan satu slogan iaitu semangat yang kosong, tak tahulah saya melainkan dengan pemerintahan diktator?
Datuk Harun mewakili kumpulan Serpihan, yang kita tak tahu hujung pangkal perjuangan pertubuhannya yang belum berdaftar tiba-tiba mahu ambil alih pemerintah negara. Macam orang belum bernikah tiba-tiba saja mahu melahirkan anak.
Rakyat mesti tahu amalan hidup pemimpin sentiasa berkait rapat dengan corak pemerintahan. Bila kita hubungkaitkan semua faktor-faktor ini, maka kita akan dapati bahawa ideology adalah satu persoalan yang penting.
Mereka yang mahu memerintah wajib memberitahu kepada rakyat yang akan memberikan kuasa kepada mereka, ideology apakah yang akan dibawa dan diperkembangkan sekiranya golongan Tunku dan kumpulan serpihannya mahu menghidupkan UMNO lama itu memerintah negeri ini nanti atau salah seorang dari mereka dijadikan Perdana Menteri.
Kerja rebut-rebut kerusi macam bidan terjun ini bukan kerja orang politik yang berpandangan jauh, bukan kerja seorang nasionalis.
Banyak persoalan yang dapat dikemukakan dan kalau kita rajin bertanya maka kita tanyakanlah. Apabila kita tanyakan dengan secara sungguh-sungguh maka akhirnya ada di antara mereka yang akan bertanya seperti sebuah cerita yang telah diceritakan oleh seorang kawan saya kepada saya. Ada pun ceritanya adalah seperti berikut;
Pada suatu masa dulu ada dua orang pemuda tinggal di dalam suatu kampung. Ada pun kampung itu letaknya di Jajahan Gasang dalam sebuah negeri bernama Kilatan. Yang tua bernama Ibrahim, timang-timangannya Brehim. Yang muda bernama Abdul Rahman, timang-timangannya Deraman.
Pada suatu hari berlakulah satu perselisihan pendapat. Brehim memberitahu Deraman ada seekor burung sedang hinggap di atas belakang seekor lembu. Burung itu sangat besar dengan sayapnya yang berkilau-kilau. Apabila Brehim memberitahu kepada Deraman, maka Deraman pun keluarlah untuk melihatnya. Apabila Deraman melihatnya maka berkatalah Deraman;
“Bukan burung Brehim!” kata Deraman.
“Kalau bukan burung, binatang apa?” Tanya Brehim.
“Kambing Deraman!”
“Burung! Tengok kaki dia tu dua. Burung! Berahim”
“Kaki dua pun dah kambing, kambinglah!”
Tiba-tiba burung itu pun terbanglah ke angkasa. Maka berkata Deraman.
“Tengok, dia terbang. Burung Berahim.” Deraman tetap berdegil biarpun yang dilihatnya terbang itu burung, dia tetap berkata, “Terbang pun dah kambing, kambinglah!”
Saya tahu Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Semangat 46 tidak akan senang bila ditanyakan sesuatu mengenai ideologinya. Apakah Tunku, Hussein Onn, Ku Li dari golongan kapitalis atau pun feudal? Bagaimana pula dengan Harun dan Rais Yatim? Apakah mereka ini sosialis macam Shahrir dan Musa atau kapitalis macam Tunku dan Ku Li?
Sistem pragmatis yang menjadi amalan demokrasi kita boleh berubah ikut mana ‘iman’ di depan kita. Kalau imam di depan kita itu, kita tak tahu sama ada dianya Islam, Qadiani, atau Bahai, kita main masuk dalam saf di belakangnya, maka rosaklah sembahyang kita. Kalau dia Islam boleh juga kita faraqahkan.
Mengikut Allahyarham Tun Razak, UMNO yang dipimpinnya adalah sebuah pertubuhan politik yang pragmatis. Jadi jelaslah di sini bahawa di antara sebab-sebab utama mengapa Dr.Mahathir ditentang oleh golongan serpihan, terutama Tunku dan Ku Li kerana mereka tidak setuju dengan ideology yang dibawa oleh Perdana Menteri kini. Mahathir yang telah melahirkan buku ‘Dilema Melayu’ cuba membawa perubahan ideology mengikut cara dan gaya hidup dan visinya yang tidak disenangi oleh golongan istana.
British dan barat merasakan kiranya Mahathir berjaya menewaskan rancangan global barat terhadap bekas tanah jajahannya, ia akan mendatangkan kesan yang buruk pada kuasa-kuasa besar. Kemerdekaan yang dibawa oleh Mahathir tanpa pekikan merdeka adalah satu-satunya hakikat yang amat digeruni oleh bekas penjajah kerana ia benar-benar akan menjadikan negara ini Negara yang merdeka berlainan dari cara Merdeka Tunku.
Apakah orang Melayu sedar bahawa Barat sedang memerhati dan merenung dengan mata tajam akan visi Mahathir terhadap negaranya. Kepercayaan yang menjadi amalan Dr.Mahathir sudah mula secara perlahan-lahan difahami oleh rakyat. Dalam masa yang sedikit lagi tidak mustahil akan menjadi ikutan.
Dan setengah-setengah pihak sudah nampak peluang yang Mahathir berikan pada para pelapis yang tahu apa erti kemerdekaan yang sebenarnya. Visi Mahathir sudah mula tampak jelas oleh rakyat yang berjiwa nasionalis melainkan mereka yang pura-pura mengaku diri nasionalis tapi terus menjadi ejen-ejen pemikiran imperialis barat. Ini semua amat ditakuti oleh Barat. Sebab bagi Barat, Malaysia adalah sumber bahannya yang utama.
Dari itu mereka akan gunakan anak negeri yang sanggup bersubahat dengan mereka untuk tentang Mahathir mati-matian.
Ejen-ejen imperialis barat mahukan setiap penganutnya mesti terdiri dari mereka yang tidak ada asas agama, tidak taat pada Tuhan, tidak taat pada rasul, tidak taat pada pemerintah di Negara di atas bumi yang mereka pijak. Penjajah mahukan ejen-ejen mereka dari kalangan orang-orang yang tidak berdisiplin dan tidak bermoral supaya bila mereka ini dijadikan pemimpin kelak, mudahlah mereka akan jadi boneka.
Kuasa-kuasa luar, mahu kita semua terus hidup terjajah. Jiwa raga dan agama kita juga mereka mahu jajah dan siapa lagi kalau bukan boneka-boneka suruhan mereka yang dapat lakukan ini semua.
Maka sebab itu untuk mengetahui semua ini kita patut mengetahui politik pertama yang bermula sebelum datuk kita Adam, diturunkan di dunia. Dari itu, ikutilah cerita kejadian Adam dan bermulanya politik di dunia.
Nabi Adam a.s adalah manusia pertama yang dijadikan oleh Allah s.w.t. Dia menjadi Nabi dan Rasul. Adam juga adalah manusia pertama di muka bumi ini. Begitulah yang diajarkan oleh al-Quran.
Walaupun demikian yang diajarkan oleh al-Quran tetapi bukan tidak ada pula orang yang percaya kepada teori Charles Darwin yang mengatakan manusia ini berasal daripada sepsis beruk yang telah mengalami evolusi.
[Baca seterusnya di blog S.H.Alattas]
Nota kaki makan cekam: Tanpa memang prejudis