Anda tahu siapa wanita ini yang sedang menyapu air mata dengan tudungnya? Dialah ibu kepada Radzali Kassan (gambar bawah) yang sedang mogok lapar bagi membantah penahanannya secara berterusan.
Mereka mendengar janji Perdana Menteri "ISA akan dimansuhkan!" Mereka menaruh harap sejak 16 September 2011. Harapan mereka hancur apabila mereka terus menerus ditahan di balik Kem Tahanan Kamunting dan kini diberikan harapan baru yang mereka akan hanya dibebaskan bila tamat tempoh tahanan, mungkin.
"Makcik sedih, makcik tidak tahu bolehkah makcik bertemu dengan anak makcik lagi. Masa pakcik meninggal pun dia tidak sempat berjumpa. Makcik takut kalau makcik bercakap dia lagi akan diseksa."
Inilah derita yang ditanggung oleh ahli keluarga tahanan ISA. Mereka menderita menunggu bilakah suami-suami mereka akan dibebaskan. Mereka derita memikirkan kemungkinan suami-suami dan anak-anak mereka diseksa dan akan lebih lambat lagi dibebaskan sekiranya mereka berani bersuara.
Inilah derita ahli keluarga tahanan ISA yang pernah saya dampingi mereka sejak pertama kali bersama dengan aktivis berjuang membebaskan tahanan ISA sejak 10 orang tahanan Reformasi ditangkap pada 10 April 2001.
Mereka menderita kerana secara tiba-tiba kehilangan suami seolah suami diculik pergi oleh pihak polis sendiri dengan secara zalim. Pemergian suami-suami yang tidak tahu bila tarikh akan dikembalikan.
Saya masih terbayangkan wajah sugul seorang isteri yang duduk berteleku ketika saya menziarahinya selepas beberapa hari suaminya ditangkap pada tahun 2002. Saya tidak mengenalinya. Namun sebaik mendapat maklumat suaminya ditangkap di bawah ISA saya menziarahinya. Sebuah rumah di kawasan perumahan elit. Suami seorang yang berjawatan tinggi di sebuah syarikat petroleum. Dia menceritakan bagaimana suaminya ditangkap dan dibawa pergi. Bagaimana sekumpulan polis datang dan merempuh masuk ke rumah mereka. Menggelidah setiap ruang dan inci di dalam rumah mereka. Memanjat hingga ke siling mencari entah barangan apa.
Suami dibawa pergi, rumah ditinggalkan bagaikan tongkang pecah. Barang bukti yang dibawa pergi hanyalah komputer, buku, CD atau mainan anak-anak kecil. Isteri akan mengambil masa yang lama untuk kembali tenang dan mengembalikan rumah seperti keadaan biasa.
Sebagai ahli di dalam Pusat Sokongan Keluarga Tahanan ISA saya mengikuti dengan dekat segala permasalahan yang mereka lalui. Isteri ini hilang segala, rumah, tanah, kereta hinggakan akhirnya menyewa rumah yang kecil. Mencari nafkah dengan mengumpul barangan kitar semula. Penuh kereta dengan suratkhabar dan botol-botol plastik. Paling menyedihkan anak pertama mereka mengalami tekanan jiwa dan murung yang amat hebat hingga perlu dimasukkan ke dalam wad unit psikiatri berkali-kali. Saya terus mengikuti perjalanan hidup mereka. Membawa si anak ke Hospital untuk dimasukkan ke dalam wad serta kaunseling.
Lebih enam tahun mereka menunggu hingga akhirnya si suami dibebaskan. Enam tahun hilang begitu saja.
Saya juga pernah terkejut melihat seorang anak lelaki sulung tahanan ISA yang rambutnya diwarnakan dengan warna kuning ketika menziarahi rumah seorang lagi tahanan ISA. Anak ini juga mengalami tekanan jiwa yang teruk bila si ayah dibawa pergi dan ditahan di bawah akta zalim ISA.
"Kak, saya menangis sepanjang perjalanan saya pulang ke Kuala Lumpur sebaik menziarahi suami di KEMTA. Saya sedih membaca nota tentang penyiksaan yang mereka lalui.," Luah Khairunniza tentang nota yang diterima dari suaminya Mustawan Ahbab dan tahanan yang lain yang menceritakan bagaimana Pegawai Penyiasat dan Polis Cawangan Khas menyeksa tahanan ISA selama mereka ditahan 60 hari.
Ugutan Polis Cawangan Khas adalah satu perkara biasa yang menyebabkan keluarga tahanan ISA duduk berdiam diri tanpa berani ke hadapan bersama Gerakan Mansuhkan ISA berjuang membebaskan ahli keluarga yang ditahan. Takut dengan ugutan, takut suami akan ditahan lebih lama, takut mereka diapa-apakan.
"Jika kamu bercakap dengan wartawan, bertemu dengan aktivis Gerakan Mansuhkan ISA lagi susah dan lambat suami kamu akan dibebaskan. ISA adalah bagus, pembangkang saja yang memburukkannya. Jangan lakukan apa-apa." Ini adalah kalimah biasa yang diungkapkan oleh pihak Polis Cawangan Khas kepada ahli keluarga khususnya kepada isteri-isteri tahanan ISA.
"Kak, apakah suami saya akan diseksa sekiranya saya buat laporan polis ini?" Takutnya mereka hingga tidak berani bersuara. Bukan sahaja suami mereka diseksa ketika mula ditahan selama 60 hari, bahkan ketika meringkuk di Kem Tahanan Kamunting juga mereka diseksa apabila mereka berani melawan perintah tahanan yang zalim ini.
Tuan Ayob, satu nama yang sering disebut-sebut oleh isteri tahanan ISA. Seorang yang berpangkat tinggi dalam unit PDRM. Beliaulah yang bertanggungjawab dan sering menakut-nakutkan isteri dan keluarga tahanan ISA.
"Tuan Ayob berpesan jangan cakap pada wartawan." Ugutan agar kononnya suami mereka tidak akan diapa-apakan dan akan dibebaskan dengan segera.
Puan Nunurheni (gambar kiri, paling kiri) dalam keadaan yang amat sedih, sebak dan menangis. "Saya dah ikut arahan Tuan Ayob jangan buat apa-apa jika mahu suami selamat. Saya dah ikut dan tidak buat apa-apa, tetapi kenapa suami saya dibelasah! Suami saya sebut dibelasah maka maknanya dia dipukul-pukul."
Inilah luahan hati isteri tahanan ISA terkini Radzali Kassan ketika membuat pengaduan kepada Pesuruhjaya SUHAKAM Isnin lepas.
"Suami saya tidak pernah bersedih dan tidak pernah menangis sebelum ini ketika berjumpa, tetapi kali ini dia menangis bersungguh-sungguh." Pedihnya hati isteri ini, pedih lagi hati ibunya mungkin yang tidak dapat melihat anaknya bebas.
Terlalu banyak penderitaan mereka yang turut sama saya lalui dan hayati, hingga sukar untuk dikatakan mana yang paling sedih, derita. Ada isteri yang terpaksa mengambil jalan yang paling sukar. Memohon perceraian dan ini memang berlaku. Pedih. Semuanya lantaran tidak tahu bila suami akan dibebaskan.
Penderitaan ibu tua yang merindui anaknya hingga ke saat akhir umur mereka tidak dapat berjumpa. Mungkin yang paling sedih ialah kisah kematian Adik Aina Mardhiah Shahrial pada 3 Julai 2008 akibat jatuh dan terus koma. Walaupun makluman sudah dibuat sehari sebelumnya waktu petang kejadian kepada pihak Kem Tahanan Kamunting dan Kementerian Dalam Negeri, namun proses membawa pulang ayahnya dari Kemta sengaja dilengah-lengahkan. Sehingga Adik Aina menghembuskan nafasnya yang terakhir, ayahnya masih didalam perjalanan tidak sempat untuk bersamanya di saat-saat yang terakhir.
Ini adalah catatan saya pada 3 Julai 2008.
"Begitulah kisahnya, kesusahan dan kepayahan yang perlu dilalui oleh tahanan ISA dan keluarga mereka. Sudahlah dipisahkan dari keluarga bertahun-tahun, di saat genting begini pun perikemanusiaan masih tidak boleh digunakan. Kesihan Aina, sekiranya dia di Tingkatan Lima, umurnya kini 17 tahun, bermakna 6 tahun 6 bulan yang lalu ketika ayahnya ditangkap secara kejam dan disumbatkan ke KEMTA, umurnya baru 11 tahun, baru di darjah Lima, baru 11 tahun dibelai oleh seorang ayah, kini dia menanti saat-saat ketentuan Allah, semoga Ayahnya sempat tiba. Ibunya berkali-kali bertanyakan kepada kami, "Abang mana kak, Abang mana Kak????..."
Kisah begini akan terus berulang dan bersambung selagi akta Zalim ISA dan semua akta zalim masih dipertahankan untuk menahan sesiapa sahaja tanpa dibicarakan dan dinafikan hak asasi mereka.
BEBAS SEMUA TAHANAN ISA!
*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara. Foto ibu dan isteri Radzali Kassan disumbangkan Abah Anas.
Sumber: Merdekareview
Nota kaki makan cekam: Tanpa memang prejudis