Bahalolisme | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Sabtu, Julai 14, 2012

Bahalolisme

Oleh: Ronasina

Bahlul adalah seorang lelaki berilmu yang dikatakan popular ketika pemerintahan Khalifah Harun Al Rasyid tetapi berpura-pura bodoh dengan aksi lucunya untuk menyindir pemerintah.

Di sini, Bahalol biasanya dikaitkan dengan aksi kebodohan oleh si pelakunya. Apabila perbuatan membodoh-bodohkan diri dan orang ramai menjadi budaya sehingga menjurus ke arah sebuah ideologi maka jadilah ia apa yang dipanggil "Bahalolisme".

Inilah yang berlaku di Malaysia. Ideologi atau lebih tepat lagi proses indoktrinasi memupuk rakyat menjadi bodoh dengan teori-teori pembodohan yang bodoh lagi membodohkan. Kekalutan sang pemerintah tidak dapat dibendung lagi apabila satu demi satu jenayah penyelewengan dibogelkan melalui alam tanpa sempadan.
Cengkaman kuasa yang semakin tiris dan longgar membuatkan sang pemerintah melatah merapu tidak ketahuan laku lalu terciptalah berbagai idea-idea bodoh yang pada mulanya bertujuan untuk menutup salah laku mereka tetapi akhirnya menjadi bahan ketawa rakyat.

Hari ini jika ada pun sesuatu yang benar keluar dari mulut pemerintah, rakyat akan menyambutnya dengan hilai tawa dahulu sebelum menimbang ia untuk diterima atau pun tidak.

Tulisan ini tidak membawa sesuatu yang baharu tetapi sekadar cuba menyorot kembali bagaimana bermulanya cubaan penanaman ideologi Bahalolisme ke atas rakyat Malaysia oleh pemerintah yang kalut dan semput.

Segalanya bermula apabila Perdana Menteri Doktor Mahathir memecat timbalannya Anwar Ibrahim yang semakin menggugat. Pelbagai alasan digunakan untuk membuat rakyat percaya tetapi gagal. 

Timbullah cerita skandal seks dengan isteri orang, dengan pelacur, rasuah tanpa duit dan semestinya fitnah liwat sehingga tilam dipanggil menjadi saksi di mahkamah, pertuduhan pula diubah-ubah tarikhnya atas alasan kesilapan menaip, insiden saksi lintang-pukang.

 Kebangkitan rakyat menyokong parti alternatif membuatkan pasukan pemerintah menjadi paranoid. Rafidah Aziz ketakutan melihat logo Petronas seperti logo PAS lalu logo itu ditukar. Untuk menambah lagi rempah kegelisahan, rakyat dimainkan sandiwara curi senjata yang dipunggah masuk ke dalam kenderaan Pajero di sebuah kem tentera.

Keprofesionalan perompak senjata itu mudah sahaja dipatahkan apabila mereka semua hanya bersembunyi di sebuah kebun durian di Bukit Jenalik, Sauk. Mereka dituduh cuba berperang dengan Yang DiPertuan Agong. Kumpulan Militan Malaysia dan Al Maunah tadi ditahan ISA dan cuba-cuba juga dikaitkan dengan PAS. Cubaan ini gagal meyakinkan rakyat. Teori Bahalolisme mesti terus dimainkan lagi.

Pada 2001 beberapa orang aktivis Reformasi ditahan ISA dan didakwa mempunyai pelancar roket, molotov cocktail dan galas bebola (Ball bearing) yang MUNGKIN akan digunakan untuk menumbangkan kerajaan. Sehingga ke hari ini kerajaan UMNO gagal membuktikan tuduhan itu meskipun beberapa orang dari aktivis ini sudah pun melompat menyokong mereka.

Kekalahan teruk sehingga hilang empat buah negeri dalam PRU 12 tahun 2008 menambahkan lagi kekalutan mereka. Indoktrin Bahalolisme diteruskan lagi dengan membeli beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk melemahkan sokongan rakyat.

 Walaupun kerajaan Pakatan Rakyat kehilangan beberapa buah kerusi dek lompatnya wakil-wakil mereka tetapi cubaan untuk menggugat keyakinan rakyat terhadap mereka gagal malah imej mereka semakin melonjak dan simpatisan semakin bertambah.

Musuh nombor satu pemerintah iaitu Anwar Ibrahim kendati pun telah dipilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Parlimen secara sah terus cuba diaibkan. Sandiwara lama diberi nafas baharu. Saiful Bukhari (gambar kanan) bekas pembantunya muncul mengaku diliwat walaupun tiada kesan tusukan di duburnya.

 Ini diperakui oleh empat laporan perubatan yang telah memeriksa Saiful. Semua ini masih gagal, tampil pula trio Datuk T dengan video lucah kononnya pelaku di dalam adalah Ketua Pembangkang Malaysia. Sumpah, Al Quran dan masjid menjadi bahan dagangan untuk mengolah kepercayaan rakyat terbanyak. Kenyataan tidak konsisten dan tunggang langgang tentang lokasi sebenar kejadian di dalam video itu terus menghancurkan kesahan kandungannya.

Apa lagi rancangan bodoh yang telah disusun? Kita boleh saksikan sendiri di kaca televisyen atau pun di dada-dada akhbar. Pembodek-pembodek terus digunakan untuk menjayakan episod Bahalolisme tidak kira sama ada dari ahli UMNO atau Barisan Nasional sendiri atau pun bekas ahli Pakatan Rakyat, golongan selebriti seperti pelakon, penyanyi, kartunis dan lain-lain diheret sama menjayakannya. Satu demi satu gagal.

Dari isu Kristianisasi, tergugatnya Islam-Melayu-Raja ataupun senaman bontot semuanya lingkup dan punah. Rakyat sudah semakin tidak percaya lagi. Rakyat mahu pilihanraya diadakan segera kerana tidak sabar lagi hendak membuang UMNO dan Barisan Nasional ke lubang najis. Zaman ini zaman internet, ada facebook ada twitter.

Jawapan dan tulisan menteri di laman sosial tersebut menjadi perhatian dan jika tersalah tulis rakyat sudah tidak segan dan takut untuk membelasah mereka. Gerakan reformasi sudah mengepung dari semua ruang untuk melibas pembohongan, menumbangkan rejim zalim dan sudah tentu membunuh ideologi Bahalolisme...

Berpandukan beberapa perkara yang telah disebutkan tadi, percayakah rakyat kali ini dengan peristiwa amuk si Imam Mahadi bersama seorang wanita di Jabatan Perdana Menteri tempoh hari? Saya tidak mahu mengulasnya tetapi sekadar ingin mengajak anda menilai kembali peristiwa-peristiwa yang disenaraikan tadi dan memahami apa itu Bahalolisme. Selamat makan malam Pak Menteri!

*Ronasina dengan nama asalnya, Mohd Affandi Ramli adalah penulis, kartunis dan aktivis.

Sumber: Kulupsakah/Merdekareview


Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...