Spekulasi sudah mula, debaran sudah terasa, dinantikan dengan penuh sensasi, dan siapakah yang akan menang kali ini? Ermmmmmmmmmmm, tidak merujuk kepada Kejohanan Bola Sepak Eropah 2012 (EURO 2012) di Poland dan Ukraine tetapi ingin merujuk kepada pilihanraya yang bakal berlangsung di Malaysia, pilihanraya yang ke 13. PRU 13 !
Pelbagai pandangan, tafsiran dan andaian sudah mula kedengaran dalam ruangan sosio-politik tanah tumpah darah ini kini. Ramai pemerhati politik dan ahli akademik sudah kian membuat fokus kepada pertandingan kali ini dengan pelbagai kaji selidik dan statistik terbaru. Malah, banyak insitusi kaji selidik dan pemikir mula giat membuat pelbagai kajian serta persediaan yang rapi.
Berkata mengenai persediaan, bagi aktor-aktor politik tanah tumpah darah ini sudah pun bermula dengan strategi mereka sejak setahun lalu, lebih awal daripada semua orang, maklumlah, periuk nasi kan! Harus dijaga!
Ok, berbalik kepada intipati penulisan kali ini, seperti yang diketahui umum, pilihan raya kali ini ternyata menjadi pilihan raya yang paling sensasi dan mencuri tumpuan lebih ramai warganegara Malaysia di dalam mahupun di luar negara kini.
Pengumuman dan pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri 1Malaysia sangat dinantikan, malah menjadi buah mulut orang ramai, dari lobi Parlimen Malaysia hinggalah ke ruang tamu rumah setiap isi rumah tanah tumpah darah ini. Walau bagaimanapun, apakah yang diingini dan diharapkan oleh rakyat tanah tumpah darah dan dispora tanah tumpah darah ini pada PRU13 kali ini?
Bagi menjawab persoalan ini Si Fakir Muka Buku ini telah berdiskusi menerusi Alam Maya (Facebook) dengan beberapa warga muda tanah tumpah darah ini yang kini berada dalam radius geografi Malaysia dan luar radius geografi Malaysia. Dan inilah luahan, pandangan dan harapan populis mereka yang sempat Si Fakir Muka Buku ini sempat coretkan pada penulisan kali ini:
Radius dalam Negara
Mereka ini cenderung untuk berbincang dan gemar mengutarakan mengenai persoalan-persoalan kehidupan harian seperti isu inflasi, gaji, dasar-dasar sosial, kos sara hidup yang tinggi, dan budaya politik yang baru serta perubahan. Mereka inginkan budaya politik yang lebih terbuka, dan sekular. Malah isu korupsi dan tindak-tanduk ahli politik juga banyak disentuh oleh golongan ini.
Sembang kopi Alam Maya (Facebook) dengan mereka ini juga telah dibanjiri dengan isu-isu semasa politik tanah tumpah darah ini, yang kebanyakannya merujuk kepada beberapa pertunjukan sarkas dan teater oleh aktor-aktor politik ini. Tidak kurang hebat juga pelakon-pelakon tambahan yang kadang-kala terlebih berlakon, bak kata orang kampung tanah tumpah darah Si Fakir Muka Buku ini ialah overacting!
Tetapi apa yang lebih menyedihkan dan menghampakan golongan ini ialah para pelakon watak utama iaitu hero-hero politik tanah tumpah darah ini mempunyai kecenderungan besar untuk menampilkan diri mereka sebagai badut.
Mengikut fakta dan keluhan mereka, merujuk kepada lakonan dan cara watak-watak utama ini berdialog dalam sidang media dan ilmu mereka dalam memberi komen mengenai keadaan serta insiden-insiden yang berlaku di bumi Malaysia cukup kurang disenangi oleh rata-rata director muda ini (Rakyat).
Golongan director muda ini mendahagakan untuk barisan aktor-aktor politik baru yang lebih pandai membawa watak mereka. Si Fakir Muka Buku ini ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berjaya kepada mereka dalam mencapai usaha murni ini.
Seterusnya, ialah golongan Luar Radius Malaysia
Lebih melankolik, golongan tanah tumpah darah ini lebih beremosi dan khuatir mengenai situasi sosio-politik negara. Ini lebih menjurus kepada praktis politik yang lebih terbuka, liberal dan matang. Apakah yang dimaksudkan oleh golongan ini?
Melalui diskusi Alam Maya, Si Fakir Muka Buku ini diterjah masuk ke dalam emosi membara mereka. Si Fakir Muka Buku, mendapati bahawa kebanyakan mereka ini hendak kuasa politik dan hegemoni tidak tertumpu kepada satu parti politik sahaja tetapi kuasa itu perlu diagihkan, dikawal dan diselia melalui watak-watak lain seperti ahli-ahli politik pembangkang, NGO, badan-badan profesional dan juga oleh para pengundi.
Aspek ini lah yang paling menyerlah apabila Si Fakir Muka Buku berdiskusi dengan para dispora tanah tumpah darah ini.
Malah jawatan politik dan kuasa eksekutif menurut mereka lagi, perlu lebih terbuka kepada pihak lain termasuk pihak pembangkang. Pada masa yang sama, golongan ini juga menyeru agar aktor-aktor politik ini supaya lebih berkaliber dan mengilap ilmu pengetahuan mereka sebelum membuka mulut untuk berdialog.
Inilah yang dapat dilaporkan oleh Si Fakir Muka Buku ini melalui diskusi Alam Maya dengan golongan ini yang kebanyakkan terdiri daripada golongan profesional, cerdik pandai dan penuntut Doktor Falsafah (PHD).
Rumusannya, wujud persamaan dalam hasrat dan kehendak kedua-dua golongan ini, yang mana mereka bersependapat dalam isu-isu berhubung proses pengundian yang lebih "BERSIH", bebas daripada politik perkauman dan berasaskan kaum, budaya politik yang lebih matang daripada aktor-aktor politik, kebebasan media, dan budaya politik yang berlandaskan budaya hemah tinggi dan yang mendukung ilmu serta berketerampilan yang sederhana dalam gaya hidup mereka.
Maka, ini sahaja Si Fakir Muka Buku ini sampaikan kali ini. Harap para pembaca akan mendapat pengumuman dan keputusan EURO 2012 dan PRU 13 yang diinginkan di kaca mata televisyen HD anda.
*Pradeeb Kumar ialah Acedemic felo, Universiti Sains Malaysia yang kini berada di Humboldt-Universität zu Berlin, Germany.
Sumber: Merdekareview
Nota kaki makan cekam: Tanpa memang prejudis