HARAKAH: Sejauh mana korupsi, kronisme dan nepotisme berakar umbi dalam politik BN?
MOHAMAD SABU: Teruk atau tidak keadaan rasuah dalam negara kita, pertamanya boleh dirujuk kepada Laporan Audit Negara. Berdasarkan Laporan Audit Negara terkini jelas menunjukkan keadaan rasuah dalam negara sekarang semakin parah sejak berada di bawah Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak, berbanding semasa di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Isu lembu hanyalah satu daripada 1,000 kes. Di bawah Najib, rasuah di negara kita telah meningkat kepada 4.3 peratus, manakala kedudukan negara kita dan negara-negara lain di seluruh dunia dalam indeks rasuah telah meningkat dari tangga ke-56 ke tangga 60. Dari situ telah jelas menunjukkan rasuah di negara kita yang telah berakar umbi dalam politik Umno-BN sejak sekian lama telah menjadi semakin parah di bawah Najib. Ia tidak langsung menunjukkan tanda-tanda penurunan, malah semakin meningkat.
Adakah korupsi menjadi ancaman kepada negara?
Korupsi memang menjadi ancaman kepada negara. Di mana-mana negara pun, korupsi menjadi punca kemusnahan dan kemiskinan. Disebabkan perkara itulah, negara China telah pun mengenakan hukuman bunuh kepada mereka yang melakukan rasuah di negara berkenaan. Setelah negara China melaksanakan hukuman itu, China telah muncul sebagai negara kedua terbersih dalam rasuah di seluruh dunia.
Di Indonesia, setelah hukuman keras dikenakan kepada pengamal rasuah, kedatangan pelabur-pelabur asing ke negara itu ternyata semakin meningkat.
Di Malaysia, bagaimana sambutan pelabur asing?
Malaysia sekarang telah menurun jumlah pelabur hingga berada di tangga ke-6 dalam kunjungan pelabur-pelabur asing. Ini jelas menunjukkan peningkatan rasuah akan menyebabkan kekurangan pelabur asing ke negara kita.
Ancaman rasuah bagi negara antara lain boleh dilihat dari sudut ekonomi. Peningkatan rasuah pasti akan menyebabkan ekonomi negara berkurangan. Akibat rasuah juga, perbelanjaan negara bocor yang kini sehingga sebanyak RM20 bilion.
Mengapa kronisme menjadi amalan Umno-BN dan apa kesannya kepada negara?
Punca yang menyebabkan kronisme menjadi amalan Umno-BN kerana Umno dan BN telah memerintah negara ini terlalu lama. Selain itu, ia juga disebabkan pemimpin tertinggi negara seperti Perdana Menteri menjadi orang utama negara terlalu lama. Untuk mengatasi kejadian ini, seseorang pemimpin tertinggi seperti Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar tidak boleh dibiarkan memegang jawatan terlalu lama, tetapi mestilah dihadkan kepada had tempoh tertentu sehingga paling lama dua penggal sahaja.
Termasuk dalam Pakatan Rakyat...
Ini perlu dilakukan bukan sahaja oleh BN, tetapi juga Pakatan Rakyat. Dalam hal ini, Pakatan Rakyat sememangnya telah memutuskan, jika dapat memerintah, seseorang Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar dalam Pakatan Rakyat hanya akan dibenarkan memegang jawatan itu paling lama sehingga dua penggal sahaja. Setelah itu, jawatan-jawatan itu mestilah dipegang oleh pemimpin lain pula dari Pakatan Rakyat.
Seseorang Perdana Menteri memegang jawatan terlalu lama itu memang salah satu puncanya, manakala dari segi dasar pula, selagi agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang seperti polis dan SPRM berada di bawah Perdana Menteri, amalan kronisme juga tidak dapat diatasi. Sebaliknya, agensi-agensi itu mestilah diletakkan di bawah Parlimen atau di bawah Yang diPertuan Agong.
(Ikuti wawancara sepenuhnya dalam Harakah cetak edisi 26-29 Mac 2012) +
[Sumber: eHarakah]
Nota kaki makan cekam: Tanpa memang prejudis