Seruan azan tu bukan tujuannya untuk kejutkan orang dari tidur | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Sabtu, Januari 15, 2011

Seruan azan tu bukan tujuannya untuk kejutkan orang dari tidur

Aku yakin ramai orang Islam yang marah bila timbul berita ada seorang peguam bukan Islam berbangsa Cina yang katanya ahli seumur hidup MCA hantar surat rasmi membantah Azan Masjid Al-Khadijah Pantai Dalam yang katanya terlalu kuat sampai mengganggu dia.

FreeMalaysiaToday melaporkan:
KUALA LUMPUR: Kira-kira 100 penduduk Islam Lembah Pantai berdemonstrasi membantah tindakan seorang peguam menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Najib Tun Razak bagi menghentikan laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinci di sini.

Mereka mewakili persatuan penduduk kariah masjid Al-Ikhlasiah dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Muslim lain seperti Majlis Ayahanda Malaysia, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida).

Kumpulan terbabit juga menuntut peguam itu, Ng Kian Nam memohon maaf kepada seluruh umat Islam berhubung tindakannya yang kurang sensitif sekaligus mengguris hati umat Islam di negara ini.

Sebagai menunjukkan perasaan marah, mereka membakar beberapa ‘replica’ berupa mayat peguam tersebut di perkarangan Masjid itu. - FMT

Aku yakin, ramai jugak ahli PAS yang marah tapi tak tau nak duduk belah mana. Nak tentang sungguh-sungguh takut orang kata sokong PERKASA pulak, tapi dalam hati panas mendidih.

Pada aku, tak salah kalau orang Islam ada rasa marah, tapi tak sepatutnya sampai tahap histeria. Pada aku, surat dia tu tak la kurang ajar sangat sampai kita perlu "membakar beberapa ‘replica’ berupa mayat peguam tersebut." Sangat tak patut kita bertindak kurang ajar kepada orang yang membanta dengan cara lembut.

Lagi pun, pada aku tak ada salahnya kalau kerajaan 'melayan' cadangan peguam tu yang mencadangkan:
"kekuatan pembesar suara di mana-mana tempat sembahyang tanpa mengira agama, mesti dikawal oleh pihak-pihak berkuasa tertentu melalui peraturan saintifik dan rapi pengiraan decible (dB) dan tidak boleh mengatas undang-undang" [klik untuk tengok salinan surat peguam tu]
Lagipun "kekuatan pembesar suara" adalah relatif. Tahap kekuatan tak sama dari seorang dengan seorang lain. Mungkin bagi peguam tu terlalu kuat tapi bagi kebanyakkan orang lain mungkin tak kuat tara mana.

Orang Islam dan NGO Islam pulak patutnya 'menjawap' karenah peguam tu dengan lebih berhemah. Pada peringkat awal, kenyataan media dengan sebaran yang cukup luas pun dah cukup. Sambil menjawab surat tu, kita jugak dalam masa yang sama boleh berdakwah.

takkan kita nak bagi gambaran kepada orang bukan Islam yang orang Islam ni langsung tak boleh ditegur walaupun secara lembut, terus nak bakar orang bukan Islam yang tegur.

Kecuali la, kalau lepas tu ada tindakan susulan yang semakin kurang ajar. Logik la kalau kita nak jawab dengan cara yang kurang ajar pun.

Aku suka dengan ulasan yang Ust Nash Tantawi dalam blog dia:
9. Kelihatan azan juga mencetus konflik yang perlu ditangani dengan bijak dan hikmah. Saya sedikit pun tidak hairan apabila seorang non muslim mengkritik azan yang dikumandangkan melalui pembesar suara, pula tindakan mereka kononnya berasaskan hak asasi mereka untuk hidup damai tanpa gangguan. Persoalannya sejauh mana kita menemui mereka untuk memahamkan mereka bahawa azan adalah sebahagian dari syiar agama Islam dan ia adalah urusan rasmi ummat islam yang tidaklah boleh dipertikaikan begitu sahaja. Jika Islam adalah agama rasmi negara dan ia diterima oleh semua maka sewajarnya azan tidak menjadi gangguan kepada mereka, terutama apabila mereka memahami unsur - unsur positif yang terkandung di dalam seruan azan tersebut.

10. Ertinya usaha PAS hari ini ialah menginsafkan ummah, memahamkan non muslim dan menyedarkan mereka akan tanggungjawab beretika dalam negara berbilang bangsa dan agama yang Islam menjadi agama rasminya. Saya yakin dan percaya, tiada insan yang bodoh dan dungu untuk menolak seruan kebaikan, kejayaan , kecemerlangan sebagaimana yang dilaungkan oleh muazzin saban waktu selain ia turut mendisiplinkan manusia dengan dengan masa agar hidup manusia tidak lagha [ lalai ] dan alpa. - Episode Sebuah Perjuangan
Apa pun, sefaham aku, seruan azan tu bukan tujuannya untuk kejutkan orang dari tidur, tapi untuk bagitau yang waktu solat dah masuk. Jadinya, tak salah apa pun kalau kita tak pasang pembesar suara 'terlalu kuat', yang pentingnya orang Islam dengar.

Tapi kalau tak cukup kuat, boleh dengar ka?


Nota kaki makan cekam:  Tanpa prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...