10 APRIL — Sejarah kesinambungan kepimpinan Perdana Menteri di Malaysia selalunya boleh diagak melalui siapa yang menjadi Timbalan Perdana Menteri. Lazimnya hingga hari ini, pendekatan ini tidak dicabar dengan membuat set prosedur yang lain. Lazimnya juga amalan parti yang memerintah Kerajaan Federal selama ini menjadikan hiraki parti itu sebagai refleksi kepada dua kedudukan eksekutif tertinggi negara.
Tidak heranlah dalam parti tersebut perebutan jawatan untuk mendaki hiraki tertinggi parti dirangsang oleh kedudukan yang bakal diletakkannya dalam kepimpinan negara. Berbeza dari kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau mempunyai Timbalan yang bersilih ganti dari Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, hanya yang akhir berjaya menggalas jawatan PM dan nasib yang lainnya sudah diketahui umum.
Dalam menggalas-ganti jawatan Perdana Menteri hanya Tun Hussein Onn yang mendaki jawatan Perdana Menteri disebabkan pemergian Allahyarkam Tun Razak manakala Perdana Menteri yang lain menjawat jawatan Perdana Menteri dengan pengunduran tokoh sebelumnya. Jadi isu bakal PM ini selalu dilihat dengan sejauhmana Timbalannya dapat bertahan di dalam partinya dulu sebelum sanggup bertahan pada jawatannya di Kerajaan.
Kedudukan Najib sebelum mendaki tangga Perdana Menteri agak unik dari segi, beliau merupakan tokoh yang paling muda menjawat jawatan Wakil Rakyat dan tokoh yang paling lama bertahan dalam Umno sejak dari usia mudanya.
Beliau telah sempat berkhidmat dengan hampir kesemua Perdana Menteri Malaysia yang merupakan Presiden Umno. Kedua, namanya tidak dapat dipisahkan dengan ketokohan Tun Abdul Razak yang merupakan ayahanda beliau.
Penampilannya tidak pula bertenggek atas promosi ayahanda beliau kerana tahun-tahun kemudian selepas pemergian ayahandanya pada tahun 1976, Najib mendaki hiraki kepimpinan parti beliau iaitu Umno selangkah demi selangkah sehinggalah kepada tahapnya yang diperolehi hari ini.
Ketiga, sebelum menggalas-ganti Pak Lah, Najib sememangnya telah dilihat orang yang sebenarnya akan “menyelamatkan” Umno dari “kelembikan” (meminjam istilah orang Umno sendiri) Pak Lah. Pak Lah dianggap hanya transisi sahaja bagi membuka jalan kepada Najib untuk menerajui kepimpinan parti dan negara.
Ketiga faktor kemunculan Najib merupakan perkara yang menjadi mentera ahli Umno bagi menggambarkan kehebatan Najib. Istilah “menyelamatkan” merupakan tagline reformasi dalaman Umno yang menjadikan Datuk seri Najib sebagai “the messiah” yang akan menyelamatkan parti Umno yang diakui sendiri oleh orang Umno sebagai berada pada tahap kritikal khusus setelah menjadi mangsa “tsunami kecil” yang berlaku pada PRU 2008.
Namun perlu direkodkan disini juga bahawa kemunculan Najib selain dari tagline “messiah” Perdana Menteri Satu Malaysia ini turut terganggu dengan “hantu” Altantuya yang menjadi mimpi ngeri beliau.
Walaupun dinafikan tiada penglibatan namun misteri menyelubungi Altantuya lebih hebat dari Misteri Nusantara. Isu affidavit PI Balasundram belum lagi terjawab, isu nama Altantuya yang “dihapuskan” dalam rekod Imigresen Malaysia, isu pengeluaran C4, kaitan Sirul dan Azilah dengan Najib dan Rosmah serta peranan Altantuya dalam pengurusan jual beli Scorpene dari Perancis dan lain-lain misteri yang belum terungkai.
Faktor ini penting kerana sebelum ini mana-mana Perdana Menteri yang naik mempunyai rekod yang bersih, hanya setelah menjadi Perdana Menteri barulah dakwaan-dakwaan salahguna kuasa dikaitkan. Kecuali Najib, beliau jadi PM dalam keadaan namanya sudahpun terpalit dengan berbagai isu, tidak termasuk misteri “engine jet hilang” yang pada masa itu beliau menjadi Menteri Pertahanan.
Semasa Najib mendaki, tragedi Perak dikaitkan dengan nama beliau sebagai perancang utama, walaupun untuk Umno ia satu bentuk “heroism” tapi bagi rakyat yang sememangnya menolak Umno dalam PRU 08 melihatnya sebagai sesuatu yang jengkel dan meloyakan.
Di atas latarbelakang inilah maka Najib terpaksa “bersolek” untuk menutup palitan kotoran yang melekat pada kepimpinannya, oleh itu inisiatif Najib dengan berbagai inovasi slogan, retorik dan program amat diperlukan.
“1 Malaysia” adalah produk yang cuba menaikkan imej Najib sebagai Bapa Perpaduan kedua setelah ayahandanya Tun Razak. Najib turut memperkenalkan KPI (Key Performance Index) dan untuk tujuan itu enam NKRA (National Key Results Area) dijadikan kayu pengukur output dari semua Kementerian.
Ini kata Najib sebagai komitmen Kerajaan untuk memperbaiki komitmen kerajaan kepada satu slogan yang dilaungkan iaitu “Rakyat didahulukan , Pencapaian diutamakan” Tidak cukup dengan KPI ,satu Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) diperkenalkan bagi memperbaiki delivery system yang selama ini dikatakan terlalu birokratik dan menyulitkan.
Sekali pandang memanglah inovasi-inovasi ini menggamit perhatian orang ramai namun isu utama tidak digarap dalam semua pakej kepimpinan Najib hari ini. Pakej terkini ialah NEM atau Model Ekonomi Baru lebih dilihat kontraversial dari ianya menjadi sesuatu yang ditungu-tunggu.
Isu utama yang dimaksudkan ialah Ketelusan yang asasnya ialah kebebasan media dan pertanggungjawaban . Segala pakej kepimpinan Najib tidak menjurus kearah mereformasikan kepercayaan rakyat.
Media mendapat persepsi yang buruk apabila hingga hari ini Najib masih gagal mengubah persepsi bahawa media adalah alat dan perkakas kerajaan dan bukan wasilah check and balance pemerintah.
KDN berkuasa penuh ke atas permit media, manakala akta-akta yang menyekat kebebsan media seperti akta cetak dan penerbitan serta akta rahsia resmi.
Kedua ialah reformasi institusi menentang rasuah seperti SPRM yang dimulakan zaman Pak Lah seolah anti klimaks pada zaman Najib apabila persepsi terhadap SPRM hari ini amat buruk dan dilihat “alat” untuk mengugut dan mengancam pembangkang dan bukan institusi yang memerangi rasuah tanpa mengira bulu.
Ketiga ialah reformasi Polis yang lembab bahkan PDRM turut mendapat persepsi yang buruk kerana campurtangan pihak ketiga dari kalangan ahli politik. PDRM turut dilihat sebagai institusi yang tidak bermaya dan dipalit dengan berbagai permasalahan dan persepsi rasuah dan tidak professional.
Kematian dalam tahanan dan mengkasari perhimpunan aman oleh pihak personel polis turut menjejasakn kredibilitinya. Isu Anwar digasak dalam tahanan oleh bekas Ketua Polis ketika itu masih menghantui rakyat, selagi Najib tidak membersihkan persepsi ini segala usaha Najib akan dilihat tidak menyentuh isu sebenar.
Keempat ialah pemulihan demokrasi khususnya reformasi pilihanraya di mana SPR adalah penyelianya. Hingga hari ini SPR ditakok lama menjaid “alat” kepada BN dan tidak memainkan perananya sebagai Pengadil yang professional.
Proses pendaftaran, pengendalian pilihanraya dan proses pilihanraya semuanya memerlukan bukan reformasi tetapi referendum untuk benar-benar memartabatkan institusi demokrasi berpilihanraya.
Kelima ialah institusi Parlimen yang dianggap “rubber stamp” dan tidak befungsi sebagai penggubal undang-undang yang bebas. Institusi Parlimen sebagai tonggak kepada keperwakilan rakyat dan legitimasi memperbaiki perundangan negara berada di takok lama.
Jawatankuasa yang sepatutnya bercirikan sikap proaktif melihat dan meneliti rang undang-undang yang ada tidak diperkemaskan, hingga ini Parlimen hanya ada Jawatankuasa Kira-Kira Awam, Jawatankuasa Disiplin yang di atas keperluan.
Lain-lain Jawatankuasa yang diberi kuasa menilai, meneliti dna mencadangkan rang undang-undang tidak ada. Begitu juga Public Hearing atau Pendengaran Awam yang sepatutnya menjadi gelanggang pandangan rakyat tidak diberi kewujudannya dalam satu kemestian undang-undang.
Najib akan melalui saat-saat getir meyakinkan orang ramai khusunya generasi muda bahawa agenda kepimpinannya mampu membawa negara ini setapak ke hadapan. Amat malang setelah setahun berlalu retorik 1 Malaysia tercemar dengan kejatuhan dari sudut indeks kebebasan media, rasuah, kepolisian, institusi demokrasi berpilihanraya dan insitusi parlimen.
Apakah nasib Najib dalam PRU akan datang dapat mengembalikan kepercayaan rakyat? Jawapannya boleh dibantu dengan menilai kepimpinan Najib setelah setahun berlalu.
Mujahid Yusof Rawa is MP for Parit Buntar and PAS National Unity Committee chairman.
Sumber: Malaysian Insider ⊗
Nota kaki
Jom join pay per click pertama Malaysia
Baca Email dapat cash
Media Pengiklanan Baru
Affiliates domain. $0.10 USD for every referal
Iklan text di sini, cuma RM10