Krisis Pas Kedah 'sudah diselesai' selepas pertemuan khas 5 jam? | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Ahad, Mac 04, 2012

Krisis Pas Kedah 'sudah diselesai' selepas pertemuan khas 5 jam?

SinarHarian melaporkan:
[TERKINI 4.30 PAGI] ALOR SETAR - Pertemuan khas misi damai yang diadakan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di sini, berlangsung lebih lima jam sehingga 3 pagi tadi, telah mencapai satu penyelesaian yang diputuskan "secara sebulat suara", kata Naib Presidennya, Salahuddin Ayub awal pagi ini.

Menurut beliau, keputusan itu yang diterima semua pihak akan diumumkan dalam waktu terdekat, kemungkinan tengah hari ini, pada sidang media khas.
Bagi Pas, salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat, yang menerajui kerajaan negeri sejak Mac 2008, kontroversi terbaru ini adalah ujian paling besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), yang disebut-sebut akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.

"Sudah ada keputusan, keputusan ini keputusan sebulat suara... ia akan diumumkan dalam waktu terdekat. Itu sahaja yang boleh saya cakap buat masa sekarang," kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sekitar jam 4 pagi tadi. - Sinarharian.
Juga dilaporkan:
Difahamkan pertemuan sesi pertama dipengerusikan oleh Salahuddin selama dua jam manakala mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat pula diketuai sendiri oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bermula 12 tengah malam dan berakhir sekitar 3 pagi tadi.

Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi yang menjadi fokus kontroversi ini, apabila menolak tawaran untuk dilantik semula sebagai Exco pula berkata, biar Pas Pusat memberikan kenyataan terlebih dahulu.

Difahamkan kedua-dua Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Phahrolrazi, masing-masing diberi masa sejam untuk mengemukakan hujah dalam pertemuan dengan Salahuddin.

Seorang lagi Exco Kerajaan Negeri yang menolak tawaran pelantikan semula, Dr Ismail Salleh tidak dipanggil untuk memberi hujah.

Kedua-dua pertemuan ini, sebahagian daripada usaha Pas Pusat untuk menyelesaikan kemelut kepimpinan negeri, diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di sini.

Phahrolrazi dan Dr Ismail masing-masing merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri I dan II. Azizan adalah Pesuruhjaya Pas Negeri.

Dalam laporan awal Sinar Harian Online, disebutkan bahawa pertemuan bersejarah ini, menurut pemerhati dan penganalisis, tidak mungkin akan membawa kepada penyelesaian muktamad. Banyak pihak meragui sama ada pertemuan misi damai akan membawa formula penyelesaian.

Dalam pada itu, antara pemimpin Pas Pusat yang dilihat hadir awal pada pertemuan kali ini di Seri Mentaloon ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Salahuddin serta seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz merupakan pemimpin dari Kedah dan Ahli Parlimen Pokok Sena.

Pun begitu, Sinar Harian Online difahamkan hampir sebahagian besar ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dan Badan Perhububungan Negeri Kedah menghadiri pertemuan kali ini.

Pertemuan misi damai ini hanya bermula sekitar jam 10 malam tadi, lewat sejam berbanding maklumat yang diperoleh sebelum ini.

Keperluan mengadakan pertemuan ini diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan di ibu negara Khamis lalu susulan kunjungan misi khas oleh Salahuddin ke Kedah awal minggu lalu.

Pihak media tidak dibenarkan masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar untuk membuat liputan, sebaliknya hanya dibenarkan berkumpul di depan pintu masuk utama Seri Mentaloon.

Wartawan Sinar Harian yang berada di lokasi pertemuan sejak 8 malam tadi juga melaporkan bahawa setiap kenderaan yang masuk ke premis kediaman rasmi Menteri Besar diperiksa rapi dengan hanya mereka yang berkaitan sahaja dibenarkan masuk.

Sinar Harian Online juga difahamkan dua pemeriksaan perlu dilalui setiap kenderaan yang masuk ke pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar.
Mereka sekali lagi diperiksa sebelum masuk ke dalam dewan mesyuarat.

Malah ada sumber memberitahu bahawa kesemua pemimpin tidak dibenarkan membawa masuk alat perakam termasuk telefon bimbit ke dalam bilik mesyuarat bagi mengelak perbincangan disebarkan kepada umum. - Ibid.


Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...