Seorang yang mengaku sebagai bekas teman sekolahnya telah menyatakan bahawa Shamsiah telah menghempaskan anaknya ke batu setelah mengetahui suaminya menyerah diri kepada polis.
Oleh:Tengku Seligi Alpha.
Shamsiah Fakeh adalah pemimpin pergerakan Kemerdekaan dari kalangan wanita Melayu yang berjuang dengan gigih hingga ke belantara Malaya. Beliau adalah Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang berganding bahu dengan Angkatan Pemuda Insaf (AP!) bagi mengibarkan panji-panji perjuangan menuntut Kemerdekaan dari tangan penjajah British.
Gandingannya dengan Ahmad Boestamam, Ketua API telah membakar semangat sebilangan pemuda-pemudi Tanah Melayu mengangkat senjata menentang penjajah. Shamsiah menyertai Rejimen Ke-10 iaitu sayap Melayu Parti Komunis Malaya (PKM).
Kehidupannya penuh ranjau berduri. Beberapa kali beliau sesat di hutan ketika melanjutkan perjuangan bersenjata ke arah menuntut Kemerdekaan. Perjuangannya tidak mengira tempat, sama ada di hutan maupun di pentas antarabangsa. Beliau bersama suaminya Ibrahim, bertugas di China, Indonesia dan Vietnam dalam rangka meniup semangat nasionalisme kepada penduduk Asia Tenggara yang masih di bawah penjajahan.
Shamsiah mengorbankan jiwa dan raga untuk memerdekakan Malaya mengikut caranya yang tersendiri. Selepas terpisah dari PKM, beliau terus berada di China menyambung hidup dengan bekerja di kilang besi.
Beliau sekeluarga akhirnya kembali ke Malaysia pada 23 Julai 1994, selepas termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand yang ditandatangani di Haadyai, Thailand pada 1989. Sekembali ke tanah air, beliau bersama anak-cucunya menjalani kehidupan hari tuanya secara sederhana.
Beliau tidak pernah menyesal menentang penjajah British, tidak pernah menyesal masuk ke hutan dan menyertai Parti Komunis. Beliau bersyukur perjuangannya telah menggegarkan penjajah. Beliau percaya dan yakin generasi muda yang dapat menghayati sejarah yang benar pasti akan menemui arah tuju mereka.
Shamsiah dilahirkan pada tahun 1924 di Kampung Gemuruh kira-kira satu batu dari pekanKuala Pilah. Shamsiah merupakan puteri kepada Sutan bin Sulaiman dan Saamah bte Nonggok. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Tinggi Islam, Pelangai, Negeri Sembilan. Shamsiah pernah berguru dengan Lebai Maadah di Pelangai. Antara rakannya ialah Ustaz Abdul Jalil Salim, Haji Abd Aziz dan Hambiah.
Sekiranya disebut nama Shamsiah Fakeh berkemungkinan ramai anak-anak muda hari ini tidak mengenalinya apalagi dapat mengaitkan beliau dalam perjuangan membebaskan tanahair. Malah nama Shamsiah bagi yang mengecam atau mengenalinya pun apabila disebut maka akan digambarkan wajah seorang pengganas atau terroris yang pernah terlibat bersama Partai Komunis Malaya PKM satu ketika dahulu sehingga mencetuskan huru-hara dalam Negara.
Bagi kita di luar, Shamsiah lebih dikenali sebagai seorang yang ganas dan jahat. Inilah gambaran yang telah diasak bertalu-talu oleh penjajah British kepada kita dan inilah yang telah kita terima dan perakui melainkan bagi mereka yang rapat atau mengenalinya dengan dekat.
Lantaran itu karya beliau yang telah diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia berjudul Memoir Shamsiah Fakeh Dari AWAS ke Rejimen ke-10 seharusnya dapat memberikan gambaran yang kontra dari apa yang telah pihak British sajikan pada kita selama ini. Apakah versi British atau versi Shamsiah yang benar, terserahlah kepada rakyat untuk membuat perhitungan.
Langkah UKM menerbitkan buku ini seharusnya dipuji demi mendapatkan gambaran sejarah yang seimbang walaupun ada pihak yang mendesak agar karya ini diambil tindakan oleh pihak berkuasa.
Sesunggunya Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM yang ditubuhkan pada tahun 1945 di Ipoh merupakan satu-satunya parti politik Melayu yang terawal ditubuhkan di tanahair. Ia berfahaman kebangsaan progresif dan kemudiannya melahirkan sayap-sayap lain yang bersifat kiri umpamanya API atau Angkatan Pemuda Insaf yang diketuai Ahmad Boestamam dan AWAS ataupun Angkatan Wanita Sedar yang diketuai oleh Shamsiah.
Memoir Shamsiah ini menghuraikan darihal penglibatan beliau dalam PKMM melalui AWAS dan pendedahan awal beliau terhadap gerakan politik tanahair.
Sesuatu yang menarik dalam bukunya adalah apabila Shamsiah mendedahkan darihal perkahwinannya dengan Ahmad Boestamam. Shamsiah menurut Memoirnya berkahwin sebanyak 5 kali dan perkahwinannya dengan Ibrahim Mohamad adalah yang terakhir baginya.
Boestamam tidak pernah menulis darihal perkahwinan ini dalam mana-mana karya beliau. Menurut Shamsiah perkahwinannya dengan Boestamam terganggu dengan penahanan Boestamam oleh kerajaan penjajah British pada April 1947.
Dalam hal ini Shamsiah menyatakan betapa Boestamam telah diheret ke mahkamah atas pertuduhan menghasut melalui karya panas beliau Testamen API yang telah diharamkan oleh pihak penjajah. Boetamam telah didapati bersalah dan kemudiannya didenda seribu dua ratus ringgit ataupun 9 bulan penjara. Boestamam telah membayar denda tersebut dan kemudiannya telah dibebaskan.
Menurut seorang bekas pegawai Polis yang pernah berkhidmat dengan Cawangan Khas Shamsiah sebenarnya telah mendesak Boestamam agar tidak membayar saman tersebut kerana tindakan itu akan dikira sebagai tunduk kepada British sedangkan mereka berjuang menentang British.
Namun Boestamam memikirkan yang beliau lebih penting berada diluar dari dibelenggu di penjara maka keputusan Boestamam membayar denda itulah sebenarnya yang telah mencetuskan penceraian mereka kerana Shamsiah tidak dapat menerimanya. Namun dalam memoirnya Shamsiah tidak menyatakan demikian.
Apabila penjajah British mula mengekang gerakan politik Melayu yang dianggap ekstrim dan kiri, Shamsiah dan rakan-rakannya mula terasa tertekan. Penahanan Boestamam dan ramai lagi mengakibatkan API dan badan-badan gerakan kebangsaan lain kemudiannya diharamkan dan lumpuh kecuali Umno.
Umno tidak diambil tindakan dan tidak seorang pun ahlinya ditahan oleh kerena menurut Shamsiah jelas parti tersebut pro penjajah malah bekerjasama pula dengan penjajah untuk menekan dan menindas golongan yang dikatakan kiri.
Akibat daripada tekanan pihak penjajah yang berterusan inilah akhirnya Shamsiah membuat keputusan menurut jejak langkah rakan-rakan seperjuangannya untuk lari masuk ke hutan dan meneruskan perjuangan bersenjata dari sana.
Shamsiah yakin dengan tindakan ini malah kepada soalan mengapa perlu masuk hutan Shamsiah menyatakan:
"Bagi orang-orang yang memperjuangkan Kemerdekaan maka tidak ada pilihan lain lagi melainkan berjuang mengangkat senjata untuk menggulingkan penjajah apabila jalan damai sudah ditutup. Bukan kita yang menutupnya tetapi penjajah British."
Sememangnya perjuangan melalui PKMM dan AWAS merupakan perjuangan demokratik secara terbuka. Namun pihak British tidak pernah selesa dengan tindak-tanduk mereka, lantaran itu pengharaman badan-badan siasah ini bagi Shamsiah dan rakan-rakan merupakan isyarat bahawa berakhirlah perjuangan melalui lunas demokrasi dan bermulalah perjuangan melalui angkat senjata.
Dalam hal ini Shamsiah menulis:
"Situasi ketika itu sudah mulai tegang. Kami telah diperintahkan masuk hutan di kawasan Lubuk Kawah. Aku pun masuk hutan dan bermulalah era aku berjuang mengangkat senjata. Semangat cintakan tanahair dan Kemerdekaan serta kesetiaan kepada perjuangan telah mebuat aku teguh dan sanggup masuk hutan. Yang penting ialah mencapai Kemerdekaan. Pada fikiranku setelah Merdeka maka segala-galanya akan dapat diselesaikan."
Shamsiah seorang yang tidak biasa dengan keadaan hidup di hutan. Dalam memoirnya dicatakan kesukaran beliau ketika berada di sana dan pernah 3 kali sesat dalam hutan berseorangan. Pernah setelah diserang hendap beliau bertempiaran lari pada awalnya berseorangan tetapi setelah menyedari telah kemudian terpaksa mengendong bayinya yang baru lahir, lari merentasi hutan dengan cuma pakaian tidur tanpa senjata. Hutan inilah akhirnya mendewasakan Shamsiah dan memantapkan lagi pegangan beliau terhadap perjuangannya.
Bayi inilah kemudiannya telah dibunuh oleh anggota PKM sendiri tanpa pengetahuan Shamsiah kerana bimbangkan kehadirannya akan menyusahkan pergerakan mereka. Dalam Memoirnya Shamsiah mencatatkan betapa sedihnya beliau apabila mengetahui keadaan yang sebenarnya namun menerima keputusannya sebagai takdir Allah swt.
Cuma yang beliau kesalkan adalah apabila bekas Pengerusi PKM Musa Ahmad pernah semasa wawancara di RTM pada tahun 1981 menyatakan bahawa Shamsiah telah mencampakkan sendiri anaknya ke sungai untuk mati.
Dan dalam Utusan Malaysia pada tahun 1987 seorang yang mengaku sebagai bekas teman sekolahnya telah menyatakan bahawa Shamsiah telah menghempaskan anaknya ke batu setelah mengetahui suaminya menyerah diri kepada polis. Kedua-dua kenyataan tersebut adalah bohong dan dusta menurut Shamsiah.
Ketika berhadapan dengan British dan tentera tempatan yang ditaja mereka Shamsiah telah berjuang habis-habisan dari hutan. Mengapa PKM menentang askar Melayu ketika itu, menurut Shamsiah:
Dalam perang adil dan tak adil memang sukar dielakkan pertumpahan darah. Barangsiapa yang berdiri di pihak penjajah dengan bersenjata sudah tentu akan dibalas, itu salah mereka kerana berdiri di pihak penjajah.
Kata Shamsiah ketika itu mereka sebenarnya bukan pengganas, mereka berjuang untuk membebaskan Negara untuk memerdekakan Negara. Pengganas yang sebenarnya adalah British kerana mereka menentang usaha ini dan bertindak membakar rumah rakyat dan tenteranya telah memperkosa ramai wanita Melayu di kampung-kampung.Namun setelah kemerdekaan Negara pada tahun 1957 PKM terus mengangkat senjata menentang kerajaan Malaya merdeka.
Ini dilakukan menurut Shamsiah kerana:
Perang rakyat Malaya yang pada mulanya melawan penjajah British telah berubah menjadi perang dalam negeri sesudah merdeka. Ini adalah perang saudara iaitu perang rakyat Malaya melawan rakyat Malaya. Di sinilah letak persoalannya.
Tentera Pembebasan Nasional Malaya diubah menjadi Tentera Rakyat Malaya.
Seterusnya dari hutan pada tahun 1956 Shamsiah berhijrah dengan suaminya Ibrahim Mohamad ke China, dihantar oleh PKM untuk belajar. Pasangan ini terus berada di sana dan memegang berbagai peranan termasuklah bertugas bagi siaran Melayu Radio Beijing antarabangsa.
Pada tahun 1965 mereka ditugaskan ke Indonesia yang ketika itu mengamalkan NASAKOM iaitu Nasionalisma, Sosialisma dan Komunisma sebagai ideologi kebangsaan di bawah Soekarno. Kehadiran Shamsiah adalah untuk kemudiannya menubuhkan pejabat perwakilan Liga Pembebasan Nasional Malaya di Indonesia.
Mereka bebas beroperasi sehinggalah tercetusnya ketegangan di Jakarta apabila berlaku rampasan kuasa tentera dan Suharto mengambil-alih kuasa pemerintahan. Beliau dan rakan-rakannya ditangkap oleh penguasa Indonesia pada tahun 1965 sehinggalah dibebaskan pada tahun 1967 dengan bantuan kedutaan Vietnam. Dan dari sana beliau diterbangkan ke Vietnam dan kemudian kembali ke China.
Shamsiah kemudiannya menghadapi situasi pergolakan dalam PKM sehinggalah beliau dan suaminya dipecat dari parti yang mereka anggotai itu lalu menjadi rakyat biasa di China sehinggalah berjaya pulang ke tanahair pada tahun 1994 atas keizinan kerajaan Malaysia. Kepulangannya menjadi mungkin ekoran perjanjian perdamaian antara kerajaan Malaysia dan PKM pada tahun 1989 yang bagi beliau menandakan tamatnya permusuhan 41 tahun kedua-dua pihak.
Namun sebagai seorang pejuang tulen, bagi Shamsiah perjanjian itu bukan bermakna pihak kerajaan telah menang di medan perang. Ianya lebih merupakan kejayaan kedua-dua pihak di meja perundingan yang sebelum ini tidak pernah diiktiraf oleh kerajaan sejak perjumpaan di Baling gagal.
Bagi Shamsiah beliau adalah pejuang kemerdekaan Negara walaupun tidak diiktiraf demikian oleh kerajaan. Sumbangan beliau dan rakan-rakannya akan tetap berada di lipatan sejarah walaupun cuba dinafikan oleh pihak-pihak tertentu. Secara kesimpulannya untuk memahami perjuangan Shamsiah ini saya petik sebaris perenggan pada prakata Memoirnya:
"Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita Parti Komunis Malaya atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanahair dan untuk emansipasi (kebebasan) wanita."
Sesungguhnya Memoir ini telah Shamsiah gunakan sebaik mungkin untuk membersihkan segala persepsi jahat terhadap beliau. Malah beliau merakamkan:
"Sebenarnya anggota Polis dan tentera memang tak perlu berdendam dengan aku kerana sepucuk pistol dan sebutir bom tangan yang aku pakai dalam hutan dahulu itu tidak pernah meletup dan tak sebutir peluru pun yang membunuh polis atau tentera kerajaan. Sebaliknya akulah yang terkena hujan peluru mereka."
Sejauh manakah ianya dapat diterima terpulanglah kepada para pembaca sekalian. Tak kenal maka tak cinta kata pepatah kita, apakah ianya benar dalam kes Shamsiah?
Sumber: Facebook
Nota kaki makan cekam: Tanpa memang prejudis