Faekah: Rasional pilihanraya berasingan | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Isnin, April 23, 2012

Faekah: Rasional pilihanraya berasingan

Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusof.
Perjumpaan antara Kerajaan Selangor dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini berlangsung secara profesional walaupun hakikatnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak puas hati cara SPR menyelesaikan isu pertambahan pengundi yang meragukan di Selangor.

Ini perjumpaan rasmi yang pertama kali diadakan antara Kerajaan Selangor dengan SPR selepas pilihan raya umum 2008 sekaligus membuktikan komitmen kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk memastikan pilihan raya umum akan datang dijalankan secara adil, bersih dan bebas.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak menghuraikan secara terperinci kepada media massa intipati perbincangan bagi memelihara kerahsiaan dan menghormati permintaan Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusof.  
SPR berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor yang sanggup membantu SPR membersihkan senarai daftar pemilih menerusi program Selangorku Bersih lantaran kewujudan lebih 42,000 pemilih yang amat meragukan.

Dalam pertemuan lebih dua jam itu, isu pembaziran wang rakyat jika Negeri Selangor mengadakan pilihan raya berasingan langsung tidak dibangkitkan walaupun SPR telah maklum lebih awal dengan keputusan ini yang dipersetujui Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat.

Isu pilihan raya berasingan tidak akan timbul sekiranya SPR bersungguh-sungguh membersihkan senarai daftar pemilih yang meningkat mendadak. Walaupun telah banyak bukti yang dikemukakan namun SPR masih gagal bertindak sewajarnya sebaliknya memberikan alasan yang pelik dan tidak munasabah.

Hak mengadakan PRU bersama atau berasingan adalah terletak sepenuhnya pada kerajaan negeri. SPR tidak boleh menggunakan alasan belanja RM30 juta untuk menyekat hak tersebut. Mereka harus sedar tindakan mengadakan pilihan raya berasingan adalah akibat dari kegagalan SPR membersihkan dan mengambil langkah berkesan sebagaimana unjuran BERSIH 2.0.

Jika kita mahu berbicara soal wang rakyat, bagaimana pula dengan RM250 juta wang rakyat yang disalahguna NFC dan RM589 juta hutang Tajuddin Ramli yang dilupuskan oleh kerajaan? Bagaimana pula dengan urusniaga penjualan Lebuh Raya MEX? Adakah geran kerajaan yakni duit rakyat yang diberikan kepada Maju Holdings berjumlah lebih RM900 juta telah dikembalikan? Bukankah ini semua melibatkan pembaziran wang rakyat?

Kita mahu SPR melaksanakan tanggungjawab secara bebas dan jangan mengikut telunjuk BN atau mana-mana parti politik seperti lembu dicucuk hidung. Kita amat kecewa apabila SPR tanpa berselindung menunjukkan sokongan kepada BN. Jika ada pegawai tertinggi SPR mahu berpolitik, sila letak jawatan dan bertanding sebagai calon BN.

Kita mendesak SPR berhenti menjadi jurucakap BN. Jika SPR mahu dihormati seluruh masyarakat Malaysia, laksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan jujur kerana setiap perbuatan kita pasti akan mendapat balasan dariNYA.

*Kenyataan media oleh Faekah Husin (gambar kiri) selaku Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor.

Sumber: MerdekaReview


Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...