Adam Adli tulis berkenaan Forum di tepi tembok | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Sabtu, Januari 21, 2012

Adam Adli tulis berkenaan Forum di tepi tembok

Oleh Adam Adli

Potret anak muda Melayu yang selalu dilukis dalam mana-mana bentuk naratif konvensional samada drama, filem, novel, mahupun komik pasti akan menggambarkan satu situasi tipikal; sekumpulan remaja rosak akhlak melepak atau menebeng di tepi tembok. Tidak kiralah tembok surau, parit, mahupun tembok balai raya. Dan tembok tempat menebengnya anak Melayu ini pasti membawa sentimen negatif serta mempromosikan budaya membuang masa generasi muda ini. Itulah signifikan tembok dan anak muda.

Namun sentimen ini telah berjaya diubah sekumpulan anak muda mahasiswa beberapa hari yang lalu. Ketika artikel ini ditulis, saya masih lagi membelek-belek foto yang sempat saya rakam sebagai kenangan malam itu. 17 Disember yang lalu, beberapa ratus anak muda mahasiswa mencipta sejarah di ibu kota. Sarang ego sang penguasa dirobek oleh mereka tanpa rasa sesal. Sebulan kemudian, 17 Januari 2012, di tengah-tengah Alor Star, ibu negeri kepada jelapang padi Malaysia, sekumpulan anak muda mahasiswa lain telah berjaya mencipta sejarah baru. Jika dahulu negara pernah menyaksikan sidang DUN di bawah pokok; 17 Januari menyaksikan forum mahasiswa di tepi tembok.
 
Jika di ibu kota pada 17 Disember yang lalu, anak muda mahasiswa sekitar Lembah Klang telah memuliakan jalan raya; di Alor Setar 17 Januari, anak muda mahasiswa menyucikan tembok kampus mereka. Tembok bukan lagi tempat meludah kisah-kisah gosip murahan, bukan lagi tempat membalut daun hijau kering, bukan lagi tempat meingintai peluang memikat anak dara yang balik dari surau; sebaliknya sebuah tembok telah menjadi medan ilmu dan diskusi kritis anak-anak ini. Saya sedang bercerita mengenai pengalaman di Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN).

April tahun lalu, enam orang mahasiswa telah digantung pengajian mereka kerana mempertahankan hak dan kebajikan rakan-rakan mereka. Sebagai sebuah institusi yang bernaung di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat, insiden ini merobek hati dan kepercayaan mereka. Maka solidariti dibentuk. Mempertahankan enam orang rakan mereka ini terus jadi agenda bersama. Setelah berhempas pulas berjuang dengan pelbagai cara, mereka akhirnya kalah berhadapan sistem yang menindas. Namun semangat mereka terus berkobar. Solidariti itu terus utuh dan berkembang.

Saya dan rakan-rakan Solidariti Mahasiswa Malaysia tiba untuk kali ke empat ke KUIN malam 17 Disember itu. Esok harinya adalah hari perbicaraan lima orang dari mereka di mahkamah Jalan Duta, maka kehadiran kami malam itu adalah untuk menyuntik semangat kepada rakan-rakan mereka yang lain yang masih berkampung di KUIN. Segala perancangan untuk menyambut kami dibuat awal dan tersusun. Dewan dan kemudahan telah diatur. Malangnya, di saat akhir, kami dihalang masuk ke kawasan kampus.

Ratusan mahasiswa yang telah bersedia untuk berforum malam itu tegak menunggu di luar pagar. Program malam itu tidak boleh dibatalkan. Jika dibatalkan, rosaklah solidariti yang dibina sekian lama. Tanpa membuang masa, mereka mengambil keputusan untuk berarak ke pintu pagar belakang kampus dan akhirnya duduk bersila di tepi-tepi tembok berdekatan. "Kita berforum di sini malam ini," kata pengerusi majlis. Saya kagum dengan semangat mereka.

Forum dimulakan dengan bacaan doa oleh anak-anak muda ini. Saya lihat keadaan sekeliling. Gelap sedikit dan hanya diterangi dengan sebatang lampu jalan. Bagaimana nak berforum? Kreatifnya mereka menyelesaikan masalah apabila beberapa orang mahasiswa ini masing-masing mengeluarkan telefon bimbit dan menyuluh kawasan tersebut dengan "flash" yang ada. Saya tersenyum. "Hadirin ramai benar ni, kalau berucap tak dengar rasanya," getus hati saya.

Sekonyong-konyong datang seorang lagi pelajar membawa pembesar suara yang selalu kita lihat digunakan hanya dalam demonstrasi dan himpunan awam. Saya terus tersenyum. Belum sempat saya fikir bagaimana hendak menampakkan suasana forum kerana ketiadaan pentas, datang lagi beberapa pelajar yang mengusung bangku kayu dari taman permainan berdekatan. Cukup untuk dijadikan pentas! Saya benar-benar kagum. Maka forum bertemakan "Mahasiswa Untuk Malaysia" pun berjalan lancar tanpa halangan. Pertukaran idea, pendapat, persoalan, hujah, idealisma, dan sebagainya berjalan rancak dan penuh semangat. Perut saya yang masih belum menerima apa-apa makanan malam itu tidak terasa lapar lagi melihat betapa gigih dan sabarnya mereka.

Usai berforum di tepi tembok, dengan berbumbungkan sepohon pokok, dan berlatar belakangkan pagar kampus yang berkunci, kami bersurai dengan perasaan yang girang. Saya kira malam itu hampir 300 orang anak muda mahasiswa penuh sabar bersila di atas aspal dan tepian tembok, hanya untuk menimba dan berkongsi ilmu. Di wajah anak-anak mahasiswa ini, terpancar kepuasan atas perkongsian ilmu yang jarang dan mungkin tidak pernah dihidangkan dalam dewan kuliah. Di pihak saya pula; saya puas menimba pengalaman dan ilmu baru yang saya kira paling bermakna selama saya bergelumang dalam perjuangan mahasiswa. Akhirnya, jauh di utara tanah air, mahasiswa ini membuktikan kebebasan akademik yang kami perjuangkan selama ini mampu dinikmati kemanisannya dengan hanya berforum di tepi tembok!

Tembok di tepi kampus itu tidak lagi disia-siakan. Tembok di tepi kampus itu tidak lagi menjadi tempat menebeng anak muda yang membuang masa masing-masing. Tembok di tepi kampus itu tidak lagi menjadi tempat bertukar kisah-kisah sensasi yang tiada faedah. Tembok di tepi kampus itu telah dimuliakan oleh anak-anak muda mahasiswa yang mengangkat tinggi nilai ilmu. Tembok di tepi kampus itu telah menjadi medan perjuangan minda anak-anak mahasiswa.

Sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, kami bersalaman dan berpelukan tanda solidariti. Malam itu, saya tinggalkan Alor Star dengan seribu kepuasan yang tak mungkin saya nikmati di tempat lain. Saya bisik ke telinga sahabat saya, "Andai semangat macam ini mampu disuntik dan dimiliki oleh semua mahasiswa dari kampus lain, tak perlu tunggu pilihan raya, Negara ini mampu diubah dengan kuasa mahasiswa!". Kepada warga kampus Kolej Universiti Insaniah Kedah, saya tunduk hormat kepada kalian. Kalian adalah mahasiswa yang hebat. Pengorbanan enam orang mahasiswa yang digantung itu nyata tidak sia-sia.

Saya kini tidak sabar menunggu kebangkitan mahasiswa yang telah lama tertidur dan terperam. Negara ini bakal menyaksikan perubahan jika apa yang berlaku di Alor Setar 17 Januari lalu mampu berlaku di seluruh negara.

*Adam Adli ialah aktivis mahasiswa, bergiat aktif dalam pertubuhan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).
Sumber: MerdekaReview


Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...