Takkan PKR setamak dan sebongkak ni?? | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Jumaat, Mac 18, 2011

Takkan PKR setamak dan sebongkak ni??

Aku malas nak ulas apa-apa. Aku cuma nak salin tampal artikel Bharian ni.

SNAP kecewa sandiwara PKR rampas Sarawak
Parti wakili kaum Dayak buktikan miliki calon berkelayakan tanding 40 kerusi.

BELUM pun turun ke gelanggang pertarungan, pembangkang sudah menonjolkan kerapuhan impian kerjasama yang ingin dibina. Ini dijangka berlaku apabila parti pembangkang di Bumi Kenyalang, yang konon bersatu di bawah satu pakatan, kemungkinan besar bertembung sesama sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-10 yang mungkin diadakan pertengahan bulan depan.
Ia dikatakan berpunca sikap tamak dan angkuh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu bertanding 73 peratus atau 52 daripada 71 kerusi DUN Sarawak, sekali gus menyebabkan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), bingkas membantah.

SNAP pastinya paling terkesan dan berasa terhina. Ia parti asal Sarawak paling lama dalam pakatan itu dengan usia menjangkau 50 tahun dengan majoriti ahlinya kaum Dayak. Sebaliknya, PKR cuma bersedia memberikan tiga kerusi kepada parti itu, yang disifatkan penghinaan oleh penyokong SNAP.

Malah, PKR tidak menghormati langsung keputusan mesyuarat khas empat parti pembangkang itu di Kuching 6 Mac lalu yang menetapkan 20 Mac sebagai tarikh memutuskan soal pengagihan kerusi, sebaliknya membuat pengumuman di Konvensyen PKR Sarawak pada 12 Mac lalu, bahawa PKR tetap akan bertanding 52 kerusi.

Ini mencetuskan rasa tidak puas hati SNAP, sehingga Presidennya, Edwin Dundang, mengadakan sidang media di ibu pejabat parti di Kuching Selasa lalu, bagi mengumumkan partinya akan bertanding lebih 40 kerusi DUN.

Jumlah kerusi yang diumumkan SNAP ini juga melebihi sasaran awal dalam perundingan dengan parti pembangkang lain apabila ia hanya menuntut 28 kerusi, namun sikap tamak PKR menyebabkan SNAP memutuskan untuk meletakkan lebih ramai calon.
Pada pertemuan awal SNAP, PKR, DAP dan PAS pada 6 Mac lalu; PKR menuntut 52 kerusi, SNAP 28 kerusi, DAP 20 kerusi dan PAS pula mahu enam kerusi. Ini menjadikan jumlah kerusi dituntut empat parti berkenaan ketika itu kepada 106 kerusi, sedangkan jumlah sebenar kerusi DUN Sarawak yang dipertandingkan hanya 71.

Justeru, tempoh dua minggu sehingga 20 Mac diputuskan Pengerusi DAP, Wong Ho Leng, ketika itu untuk menyelesaikan masalah pertindihan tuntutan kerusi oleh empat parti berkenaan. Namun PKR menjadi parti pertama yang tidak menghormatinya.

Bagi Edwin, tindakan SNAP membuat pengumuman awal bagi 16 calonnya itu bertujuan membuktikan kepada PKR bahawa parti itu mempunyai ramai calon lebih berkelayakan berbanding PKR dan bukan ketandusan calon sekali gus mengeluarkan nada yang yang mencabar PKR mengumumkan senarai calonnya pula.

Perkembangan terkini itu mungkin menjejaskan hubungan SNAP-PKR sekali gus memaksa pembangkang melupakan projek ‘satu lawan satu’ dengan calon Barisan Nasional (BN) dalam misi menumbangkan kerajaan BN pada pilihan raya negeri kali ini.

Malah, Edwin tidak menolak kemungkinan akan meninggalkan pembangkang di Sarawak kerana tidak berpuas hati tindakan PKR yang hanya bersedia memberi tiga kerusi kepada SNAP, sedang ia dikatakan mempunyai peluang lebih baik berbanding PKR terutama di luar bandar.

Menurut Edwin, parti itu tidak mempunyai masalah dengan DAP atau PAS, tetapi PKR menuntut terlalu banyak kerusi dan tidak langsung mahu berbincang dengan parti lain mengenai calon mereka.

Baginya, isu pertembungan tiga atau empat penjuru ketika pilihan raya tidak timbul kerana jika SNAP tidak meletakkan calon pun, sudah ada pihak tertentu seperti calon Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERS) atau bebas akan berbuat demikian.

“SNAP umumkan calon kerana mahu PKR tahu kita sudah mempunyai individu yang berkelayakan untuk bertanding untuk 16 DUN dan sedia bertanding lebih 40 kerusi selepas diminta penyokong parti.

“PKR setakat ini hanya memaklumkan mahu bertanding 52 kerusi tetapi belum memberitahu siapa calon mereka. SNAP cuma berharap parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di kerusi yang akan kita tandingi,” kata Edwin pada sidang media yang turut dihadiri Penasihat parti itu yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Seri Daniel Tajem.

SNAP mengakui amat kecewa dengan sikap PKR yang mahu membolot majoriti kerusi DUN apabila turut mahu bertanding di kawasan yang diketahui mereka tidak mempunyai sokongan kuat.

“PKR menjadi terlalu bongkak tetapi SNAP tidak bersedia untuk bertolak ansur. SNAP masih belum memutuskan kedudukan dalam pembangkang tetapi tetap bersedia menghadapi PKR jika mereka mahu meneruskan hasrat meletakkan calon di kawasan yang ditandingi SNAP,” katanya.

Menariknya, apa pula alasan bakal diberikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengenai perkembangan terkini dan tindakan SNAP ini? Jika pada 12 Mac lalu, Anwar menganggap ketidakhadiran wakil SNAP pada Konvensyen PKR Sarawak yang dirasmikannya sebagai mungkin disebabkan kesibukan pemimpinnya, apa pula helah Anwar selepas ini? Apatah lagi selepas Presiden SNAP sendiri lantang bersuara.

Rakyat Sarawak pasti akan menilai sandiwara pembangkang terutama Anwar. Mentaliti pembangkang jelas bercelaru. Persoalannya, sanggupkah rakyat Sarawak melepaskan Bumi Kenyalang ke tangan pembangkang yang bukan saja belum nampak wibawa untuk memimpin, malah perjuangan mereka kini ibarat ‘tidur sebantal tapi mimpi lain-lain’.

Nota kaki makan cekam:  Tanpa prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...