Pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) semacam bersungut dengan nada kecewa ekoran sambutan dingin terhadap pendaftaran pemilih baru kebelakangan ini. Sebahagian nukilan pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam sebuah akhbar tempatan (16 Februari 2010) yang bertajuk "SPR kecewa hak pilih kerajaan disia-siakan".
Fakta kekecewaan itu dinukilkan berikutan jumlah penduduk yang sudah mencapai umur 21 tahun (layak mendaftar sebagai pemilih) kira-kira 4,380,000 orang, hanya 338,513 orang sahaja yang mendaftar. Prestasi itu diukur berdasarkan tempoh bulan Oktober 2009.
Ia ada kaitan dengan had pendaftaran pemilih yang diamalkan, iaitu membenarkan pemilih yang layak boleh hadir sendiri untuk mendaftar sebagai pemilih di Pejabat Pos berkomputer, pejabat Pilihanraya Negeri, unit bergerak 'outreach' SPR. Disamping itu, pihak SPR turut memberi kuasa kepada individu yang mewakili parti politik dan jabatan/kementerian sebagai penolong pendaftar bagi menerima pendaftar baru.
Berdasarkan maklumat SPR, setakat ini telah melantik seramai 2,418 orang kalangan individu wakil parti politik sebagai penolong pendaftar dan 696 pejabat pos di seluruh negara serta 14 pejabat SPR negeri.
Namun, SPR disepanjang masa turut memberi khidmat pendaftaran bergerak dan pusat 'outreach' di lokasi-lokasi orang ramai seperti pusat membeli belah dan majlis-majlis yang dianjurkan oleh pihak parti politik maupun pertubuhan sukarela.
Walau bagaimana pun, peluang yang diberikan pihak SPR ini tidak banyak digunakan oleh individu berkenaan untuk mendaftar. Mungkin ada benarnya dakwaan pengerusi SPR sendiri yang mempersoalkan dari segi kesedaran rakyat dan peraturan yang ada tidak menarik minat individu berkenaan mendaftar.
Begitu juga pihak parti politik sendiri tidak begitu 'sedar' dengan khdmat yang ditawarkan SPR yang sedia hadir bersama-sama unit bergeraknya bagi mendaftar pemilih di majlis-majlis anjuran parti politik.
Oeh itu, munasabahnya sambutan kepada mendaftar pemilih itu agak lemah dan lembab. Belum lagi berbicara soal semakan dan tuntutan serta bantahan terhadap nama-mana di dalam senarai pemilih.
Semuanya bermaksud, rasa sedar dan bertanggungjawab bagi menjadi rakyat yang demokratis belum merebak kalangan warganegara Malaysia! Kenapa jadi begitu? Mungkin SPR sudah ada jawapannya.
Reformasi pendaftaran pemilih
Walau apapun, SPR dilihat sentiasa berada di pihak yang benar, miskipun semua pihak termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang mendedahkan banyak kelemahan, termasuk di dalam proses pendaftaran pemilih. Maka, dipercayai atas maklumat (banyak kelemahan yang ada di dalam proses pendaftaran pemilih) telah mula menyebut-nyebut idea untuk membuat reformasi pendaftaran pemilih.
Justeru itu, Pengerusi SPR telah menukilkan kenyataan tersebut boleh bersetuju, kononnya ada aspek undang-undang lain yang mengekang idea automatik dan online itu. Ada pandangan mengatakan, antara undang-undang itu adalah undang-undanf Jabatan Pendaftaran Negara yang 'tidak menguatkuasakan alamat tempat tinggal' sedangkan fakta alamat itu adalah penentu utama bagi menetapkan pemastautinan dan di mana mereka akan mengundi.
Ada pihak yang berpandangan, cadangan pendaftaran automatik atau online itu adalah perkara mudah. Kalau mahu seribu daya, kalau tak mahu seribu alasan. Atas kiasan ini, SPR seharusnya tidak perlu menunggu lama untuk memunggah berbakul-bakul komen dan cemuhan rakyat. Sebagai badan pengurusan pilihanraya terunggul di Malaysia sewajarnya boleh berdikari di dalam mendirikan demokrasi dan mendidik rakyat bersifat demokratis.
Acapkali telah SPR menerima memorandum yang pro-reformasi sistem demokrasi, khususnya berkaitan dengan pendaftaran pemilih. Pernah badan pemerhati pilihanraya seperti Mafrel telah mengemukakan pandangan. Begitu juga, berapa ramai ahli parlimen pembangkang telah mengemukakan cadangan dalam sessi perbahasan yang turut menyentuh perkara yang sama.
Tunggu agi, tindakan proaktif SPR untuk mencadangkan kepada pihak kerajaan bagi melaksanakan sistem pendaftaran pemilih yang cekap dan boleh menyelesaikan isu 4,384,169 orang yang belum mendaftar.
Konspirasi kuasa
Sebenarnya SPR ketika di bawah pengerusi lama, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman turut dilibatkan dengan kesangsian rakyat yang cintakan sistem pilihanraya yang bersih dan adil. Sehingga dalam pilihanraya umum 2004, SPR dilihat bersekongkol dengan pihak tertentu dalam menguruskan pemilih di negeri Terengganu.
Bertapa tidak, apabila di dalam kesungguhan parti-parti politik mendaftar pemilih baru, upayanya tidak mencapai tambahan yang memberangsangkan. Namun, dalam konteks Negeri Terengganu semasa menghadapi pilihanraya 2004, jumlah pemilihnya adalah 455,924 orang, berbanding pada pilihanraya 1999 hanya 389,071 orang, iaitu bertambah sebanyak 66,855 atau mencecah 17.18 peratus.
Begitu juga berlaku di Negeri Kelantan, apabila dalam tempoh yang sama (1999-2004) pertambahan sebanyak 15.26 peratus. Pada 1999 pemilih berdaftar ialah 574,987 orang dan 2004 bertambah kepada 662,722 (tambahan sebanyak 87,735). Lalu, dikaji kenapa berlaku lonjakan ketara pendaftaran pemilih di Terengganu dan Kelantan? Di situlah timbul sangkaan kononnya berlaku semacam 'konspirasi' yang melibatkan SPR dengan pihak tertentu sehingga membolehkan pendaftaran agak luar biasa.
Signifikannya prestasi pendaftaran di dua buah negeri terbabit adalah menunjukkan sejumlah pemilih yang agak besar berjaya didaftarkan. Pendekatannya dilihat semacam antisistem. Kerana ada kes di Kelantan berlaku bantahan pengundi tempatan terhadap percubaan mendaftar kira-kira 2,000 orang mereka yang bertukar alamat ke parlimen Tanah Merah menjelang pilihanraya umum 2004. Akhirnya, bantahan itu diterima apabila pihak kena bantah gagal membuktikan kesahihan ptroses pendaftaran tersebut.
Konspirasi berulang
Mengimbau sejarah perkembangan proses pendaftaran pemilih, sebelum tahun 2002 prosesnya adalah bertempoh. Tetapi selepas 16 Jilai 2002, sistem pendaftaran pemilih sepanjang tahun (SPPST) diperkenalkan. Pada pilihanraya umum 2004 adalah kesan pertama rancangan pendaftaran pemilih berasaskan SPPST. Namun begitu, prestasi pendaftaran pemilih belum membanggakan. Misalnya bagi negeri Terengganu pertambahan pemilih baru mendaftar selepas 2004 sehingga pilihanraya umum 2008 hanya 65,673 orang atau 14.40 peratus yang lebih rendah berbanding 1999-2004. Sementara di Kelantan pula dalam tempoh sama (2004-2008) tambahannya sekitar 13.42 peratus.
Bandingan mudah pertambahan pendaftaran pemilih antara tahun 1999-2004-2008 bagi negeri Terengganu dan Kelantan adalah seperti Jadual 1.
Negeri & Tahun | Pemilih | Perubahan (%) | Negeri & Tahun | Pemilih | Perubahan (%) |
Terengganu 1999 2004 2008 | 389,071 455,924 521,597 | - 66,853(17.18%) 65,673(14.40%) | Kelantan 1999 2004 2008 | 574,987 662,722 751,683 | - 87,735(15.26%) 88.961(13.42%) |
Jadual 1 menunjukkan peratusan prestasi pendaftaran pemilih selepas perlaksanaan SPPST adalah lebih rendah, sekitar 3 peratus (Terengganu dan 2 peratus (Kelantan). Boleh jadi berkutan perlaksanaan SPPST, tumpuannya individu untuk mendaftar kurang popular.
Miskipun pihak SPR turut menyediakan kemudahan mendaftar pemilih sepanjang tahun, termasuk dengan melantik penolong pendaftar.
Mungkin untuk tempoh menghadapi pilihanraya umum 13 nanti, peluang mendaftar masih ada kira-kira 8 suku penggal (24 bulan), maka bolehlah tindakan aktif dapat diambil oleh pelbagai pihak, terutamanya parti-parti politik.
Apa yang utama, parti-parti politik sudah tentu akan menjadikan tahun 2010 ini sebagai tahun bertindak mencapai sasaran mendaftar pemilih baru. Tinggal lagi, berkemungkinan 'konspirasi' pihak tertentu muncul semula dalam mendepani kemelut politik di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan.
Kemungkinan itu ada asasnya apabila meneliti data-data pendaftaran pemilih dinegeri-negeri berkenaan. Misalnya di Perak dalam tempoh 2009 dimaklumkan lebih 55,791 pemilih baru telah mendaftar. Daripada jumlah itupendaftar parti politik hanya mengurus-daftarsekitar 10,000 sahaja. Selebihnya sudah tentu melalui saluran lain yang mungkin berupa 'talian terus' dengan SPR Putrajaya.
Memorandum kepada SPR
Apakah 'talian terus' itu bermaksud suatu 'konspirasi berulang' yang pernah dijayakan di Terengganu pada 2003? Hakikatnya, SPR patut ada jawapannya dan pihak parti politik khususnya Pakatan Rakyat Perak harus mempersoalkan perkara ini.
Pendekatan mempersoalkan 'talian terus' itu boleh dibuat menerusi memorandum bagi mendapat jawapan rasmi PSR atau suatu laporan kepada pihak berkuasa tertentu dibuat agar isu pendaftaran 55,791 pemilih itu disiasat, dan pihak ahli parlimen pula boleh mengusulkan si sidang parlimen bagi membincangkan secara khusus prestasi SPR mendaftar pemilih di Perak itu.
Apa yang penting persoalan terhadap SPR itu patut diheboh-hebohkan. Ini kerana kemelut politik Perak semacam memungkin 'konspirasi berulang' itu dilakukan oleh pihak tertentu dan SPR boleh dianggap bertindak senada dengan kes di Terengganu seketika dulu. Cumanya angkanya belum mencecah 80 ribu. Tambahan pula, berlaku keadaan yang semacam di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, seperti di Selangor dilaporkan 11,641 orang telah mendaftar dan di Kelantan 17,856 orang.
Begitu pula di Terengganu miskipun dikuasai BN, tetapi perkembangan politik yang tegang sesama BN memungkinkan 'konspirasi berulang' dan sepanjang tahun 2009 telah berlaku kira-kira 33,000 pemilih baru didaftarkan. Jika tahun 2010 ini sebagai tempoh 'bertindak' bagi menjayakan 'konspirasi berulang' adalah logik pendekatan peluang untuk menyekat PAS merampas Terengganu.
Sebenarnya, asas kesedaran mendaftar pemilih dalangan warganegara yang layak ada kaitannya dengan kesedaran politik warga terhadap pendemokrasian. Ia juga berkaitan dengan amalan politik kalangan pemimpin, parti politik dan SPR sendiri. Sehingga kini, pendidikan politik untuk generasi baru berlaku secara tradisi, iaitu berasaskan pengalaman, 'accidental' dan pendedahan isu-isu yang diputar oleh media.
Mendidik masyarakat
Ini bermakna tiada tumpuan khusus pihak kerajaan dan SPR sendiri dalam bertindak mendidik masyarakat ke arah komited dengan sistem demokrasi dan pilihanraya. Walauun di bawah SPR adanya akademi pilihanraya, tetapi ia tidak berperanan dengan berkesan.
Oleh itu, acap kali berkembangnya persepsi megatif terhadap SPR dalam isu-isu berkaitan pilihanraya. Misalnya, selain isu pendaftaran pemilih, berkembang juga isu penyelewengan dalam pengundian pos, kempen berat sebelah, tempoh bertenang, penggunaan dakwat celup jari, kempen media yang terlalau berpihak kepada penguasa, cadangan pengundian awal dan rasuah pilihanraya.
Kesemua isu tersebut sudah tentu merencatkan keyakinan masyarakat untuk komited dengan sistem yang ada. Sehubungan itu, munculnya generasi baru yang mencemuh demokrasi dan sistem piihanraya. Lalu mereka menolak daripada menyertai gelanggang demokrasi. Generasi sebegini harus dipupuk dengan kesedaran agar mereka menjadi penyubur demokrasi.
Apa yang penting bagi pendukung politik rasional, peranan badan pengurusan pilihanraya seperti SPR itu adalah sebahagian daripada pengukuhan amalan demokrasi. Maka kelemahan SPR harus diimbangi dengan peranan parti-parti politik khususnya Pakatan Rakyat. Oleh itu, PAS, KeAdilan dan DAP seharusnya memperkasakan organisasi dan pekerja masing-masing supaya aktif dengan aktiviti dalaman dan luaran, merapati pengundi dan bakal pengundi serta memastikan mereka menjadi pengundi yang setia.
Rumusannya, dalam usaha membina kesedaran politik dan memakmurkan penglibatan masyarakat di atas pentas demokrasi, selain SPR peranan pemimpin dan parti politik juga penting. Ruang berperanan amat luas. Tinggal lagi, sejauh mana upaya merencana dan melaksanakan demi pengukuhan amalan demokrasi di Malaysia
Wan Nik Wan Yussof ialah Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan dan bekas Setiausaha Jabatan Pilihanraya Pas Pusat.
Artikel dari Harakah cetak bil 1516 (22-25 Februari 2010)
Media Pengiklanan Baru
Baca Email dapat cash