Ramai dah yang komen pasai keputusan terbaru yang SPR buat baru ni sempena mengumumkan tarikh pilihanraya kecik Penanti.
- Larangan berkempen pada hari mengundi
- Larangan mendirikan 'Pondok Panas'
Larangan berkempen pada hari mengundi ni pada aku lebih merujuk kepada 'merayu undi' di depan pusat mengundi. Bab ni aku rasa yang ketara sangat masa di depan pusat mengundi. Kalau masa Pilihanraya Umum mungkin tak berapa sangat tapi kalau pilihanraya kecik memang 'gila'.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu semua parti politik dan penyokong parti terlibat dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang mematuhi larangan berkempen pada hari mengundi mengikut Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata larangan berkempen itu termasuk meraih undi dan mendirikan 'pondok panas' bagi membolehkan pemilih keluar mengundi dengan tenang tanpa sebarang gangguan.
Memang aku tak nafikan 'merayu undi' ni memang ada kesan kepada pengundi. Berapa ramai takdak sapa pun boleh bagi dalam bentuk angka tapi ramai yang bersetuju bilangannya sikit sangat. Ramai pengkaji politik yang kata "menjelang hari mengundi kebanyakkan pengundi sudah pun membuat pilihan calon mana yang akan diundi".
Jadinya, kalau depa dah buat keputusan, apa kejadah lagi yang dok menjerit terlolong kat depan pusat mengundi tu. Kalau pun ada yang mungkin terkesan, kalau dah semua tak boleh 'merayu undi' kesan tu dah boleh diabaikan laa. Kalau nak dapat jugak sorang dua yang belum buat keputusan tu, takkan takdak cara lain yang lebih berhikmah dan bermoral.
Lagi satu bila sebut 'merayu undi' aku mesti teringat insiden yang depa kata berlaku masa PRK Changkat Jering tahun 80an dulu. Punya la terdesak merayu undi sampai ada makcik Umno yang sanggup keluar kalimah "Takpa nabi tak mengaku umat janji Mahathir mengaku rakyat." Tak ke haru tu, tak pasai-pasai batal shahadah makcik tu.
Aku sangat setuju dengan hujjah yang SPR bagi, untuk mengelakkan kejadian huru-hara. Bukan nak kata puak Umno, puak PAS pun ramai yang 'tak boeh tahan'. Masa PRK P059 hari tu pun, nasib baik polis ramai, kalau dah dah tentu-tentu ramai yang pecah kepala pasai kena belasah.
Bila kemungkinan 'pecah kepala' dah kurang, polis pun takdak alasan nak berkampung ramai-ramai masa PRK, tak la membazir duit rakyat. Kos nak buat pilihanraya tak banyak mana tapi kos nak jaga pengundi nala punya banyak.
Bab 'Pondok Panas' ni lebih kepada sampingan kepada 'merayu undi' tadi. Bila pondok panas pun dah takdak, 'merayu undi' pun tak berapa nak jalan pasai pondok panas ni jadi lebih sebagai 'markaz' untuk perayu undi berimpun.
BIla SPR dah ujudkan sistem 'barung', pondok panas nak buat apa lagi. Kalau ikut tujuan sebenar pondok panas masa dulu adalah untuk menyemak nama pengundi. Mula-mula semak kat pondok panas lepas tu kena semak pulak kat barung SPR, kan kerja sia-sia tu.
Kalau setakat nak cetak nama pengundi, tak payah ada podok panas pun tak pa, cetak la awai-awai, sebelum hari mengundi lagi, bagi siap-siap. Apa ada masalah sangatnya.
Masalah utama la ni yang aku pun sebenarnya tak berapa boleh nak setuju bukan pasai peraturan yang baru dibuat tapi lebih kepada pasai tak percaya kat yang buat keputusan tu.
Memang nampak sangat SPR buat peraturan tu pasai yang dok jadi selama ni lebih menguntungkan PR dan merugikan BN. Bila buat peraturan tu kelebihan musuh depa ni boleh dikurangkan.
Tu ja isunya. Kalau la SPR kat Malaysia ni betui-betui bebas, aku rasa semua pihak yang nak pilihanraya yang telus dan adil dapat setuju dengan gembira.
Larangan Kempen Pada Hari Mengundi Dikuatkuasakan Di Penanti
PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu semua parti politik dan penyokong parti terlibat dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang mematuhi larangan berkempen pada hari mengundi mengikut Seksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata larangan berkempen itu termasuk meraih undi dan mendirikan 'pondok panas' bagi membolehkan pemilih keluar mengundi dengan tenang tanpa sebarang gangguan.
Katanya tempoh lapan hari berkempen perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh parti-parti politik tetapi kempen perlu dihentikan pada tengah malam 30 Mei seperti peruntukan undang-undang yang menetapkan kempen dihentikan pada pukul 12 malam menjelang hari mengundi.
"Saya mahu di Penanti ini (larangan) dimulakan, pengundi keluar dengan aman dari rumah dan tidak ada orang mengganggu pengundi, dan jika boleh, kita mahu ia dijadikan budaya dalam pilihan raya yang lain selepas ini.
"Dan tidak ada 'pondok panas' sebab ia adalah tempat untuk semak saluran dan tempat mengundi yang sebenarnya SPR telah sediakan kemudahan itu. Untuk tujuan ini, kita akan menambah kaunter semakan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan tarikh pilihan raya bagi DUN Penanti, di sini, Isnin.
SPR hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN Penanti, Pulau Pinang pada 23 Mei ini, dan jika ada pertandingan hari mengundi pada 31 Mei.
Abdul Aziz berkata SPR akan mengadakan mesyuarat dengan polis pada minggu ini bagi membolehkan larangan itu dapat dilaksanakan, termasuk membincangkan untuk menghadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon dan pengumuman keputusan.
Beliau berkata cadangan menghadkan itu tiada dalam peruntukan undang-undang tetapi sebagai usaha untuk mengelak berlakunya sebarang kekecohan pada hari berkenaan.
Mengulas lanjut Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata larangan mendirikan 'pondok panas' dibuat kerana ia dianggap sebagai "pusat ketegangan di pusat pengundian" kerana ia sebenarnya menjadi tempat berkempen.
Beliau berkata SPR memaklumkan kepada semua parti politik dalam pertemuan dengan wakil parti berkenaan Khamis lalu dan polis, Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pegawai-pegawai SPR boleh menghalang sesiapa yang mendirikan pondok panas kerana ia termaktub dalam undang-undang.
Wan Ahmad berkata kesalahan mendirikan 'pondok panas' menjadi tanggungjawab calon dan ejen pilihan raya manakala kesalahan berkempen pada hari mengundi merupakan tanggungjawab individu iaitu penyokong.
"Mengikut Seksyen 27 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, tiap-tiap orang yang melakukan sesuatu perbuatan menyalahi undang-undang boleh didenda sebanyak RM5,000 dan dia tidak boleh oleh sebab sabitan itu didaftar atau disenarai sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya atau dipilih sebagai calon dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun dari tarikh sabitan itu.
"Dan jika pada tarikh itu dia telahpun dipilih dalam mana-mana pilihan raya maka kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu," katanya.
-- BERNAMA