Oleh Roy Rasul
PUTRAJAYA, 7 Sept (Hrkh) - Badan Penggerak Demokrasi (BPD), mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan tiga tuntutan mereka iaitu rakyat berumur 21 tahun secara automatik layak sebagai pengundi berdaftar, penggunaan dakwat ke atas jari pengundi dan penghapusan undi pos.
Tiga perkara itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman dalam satu dialog di ibu pejabat SPR, Putrajaya, oleh delegasi BPD yang diketuai pengerusinya, Mohamad Sabu, hari ini.
Kata Mohamad, tuntutan tersebut perlu disegerakan kerana ia sebagai satu mekanisme bagi mewujudkan satu pilihan raya yang lebih adil dan bersih di negara ini.
"Pilihan raya yang penuh dengan amalam kotor dan penipuan bukankan satu pilihan raya dalam erti kata yang sebenar meskipun ia diadakan dari semasa ke semasa," katanya kepada Harakahdaily selepas majlis dialog.
Mengulas mengenai rakyat yang berumur 21 tahun secara automatik menjadi pengundi, katanya ia akan menjamin sikap bertanggungjawab rakyat dalam menetukan arah dan masa depan kepimpinan negara ini.
Manakala penggunaan dakwat sebagaimana digunakan banyak negara katanya, sebagai satu mekanisme paling berkesan dan murah bagi mengatasi masalah penyamaran atau fenomena pengundi hantu.
Bagi tuntutan penghapusan pengundian pos beliau berkata, kemudahan teknologi moden sekarang pastinya tidak ada sebarang masalah untuk menghapusnya.
Sementara itu delegasi tersebut yang disertai tujuh ahli antaranya, Setiausaha Eksekutif BPD, Anuar Tahir; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Ahli Parlimen Pendang, Dr Mohd Hayati Othman dan peguam, Hanipa Maidin.
Dalam pada itu Rashid, yang ditemui selepas itu berkata, masalah yang terlibat dalam tuntutan BPD akan dikaji.
Namun katanya, apa yang dikemukakan BPD adalah perkara yang boleh dilihat sebagai prosedur saja.
"Ia tidak melibatkan sistem pilihan raya kerana yang penting bagi SPR ialah kita lihat semula seluruh sistem pilihan raya.
"Jadi saya bagi nasihat kepada kumpulan itu yang mahukan satu pilihan raya yang lebih adil lebih bebas dan itu menjuruskan kepada sistem pilihan raya keseluruhannya.
"Saya bagi sedikit gambaran macam mana sistem itu boleh diubah, kalau kita nak ubah prosedur sikit sana, sikit situ, ini tidak mengubah sistem keseluruhannya dan tidak membawa kepada satu keadaan di mana pilihan raya itu begitu bebas, adil dan demokratik," katanya. - lanh