Dasar PAS Berubah-ubah?? | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Ahad, Oktober 01, 2006

Dasar PAS Berubah-ubah??

Di sini saya bawakan semula artikel yang ditulis oleh Dr Siti Mariah Mahmud untuk tatapa kita semua.

Saudara Abdul Rahim bertanya kenapa dasar perjuangan PAS tidak konsisten di artikel ' Dulu, tapi, pulak: Perjuangan yang tidak Konsisten, minta tolong jelaskan ' dan memberi beberapa contoh yang di dakwa menunjukkan PAS telah melanggar dasar atau prinsip perjuangan.

Sebagai ahli PAS saya rasa jelas saudara sendiri tidak difahamkan apakah itu yang dikatakan dasar. Dasar perjuangan PAS ialah Islam. Sampai bila-bila pun itulah dasar kita. Saya terpanggil untuk memperjelaskan perkara ini kerana saya dapat rasakan yang saudara sbenarnya terkeliru kerana tiada maklumat.


Di dalam perjuangan PAS atau mana-mana organisasi sekali pun, ada empat komponen yang menghidupkan organisasi. Perkara-perkara tersebut ialah Dasar, Struktur, Jentera dan Strategi.
Sebagai ahli kita perlu memahami benar akan empat komponen ini. Kesemua komponen boleh berubah kecuali dasar perjuangan PAS. Struktur, Jentera (ahli) dan Startegi perlu dan sememangnya mengalami perubahan dari masa ke semasa mengikut waqi' dan uruf (tempat dan masa). Ahli PAS patut menerima perubahan dalam 3 komponen ini selagi ia tidak melanggar syara'. Sekira 3 perkara ini statik dan tidak dinamik parti kita akan terjerumus ke dalam kejumudan dan akan menjadi tidak relevan.


Contoh perubahan yang telah berlaku dalam jentera kerja kita ialah kalau dahulu kebanyakan ahli kita adalah daripada golongan lulusan agama dan orang-orang kampong tetapi kini semua golongan masyarakat menyertai PAS. Kalau dulu ahli kita Islam, tidak mustahil di masa hadapan orang bukan Islam akan dibenarkan menjadi ahli setelah perlembagaan diubah. Tiada hukum qati' yang mengharamkan bukan Islam menjadi ahli (iaitu Islam tidak mengharamkan kerjasama bukan Islam dengan orang Islam selagi perkara yang dikerjasamakan menguntungkan masyarakat dan Islam). Perkara ini termasuk dalam keharusan kerana ia dalam kategori muamalat dan siasah. Tidak melanggar dasar bukan? Apa yang perlu ialah kata sepakat.


Dalam hal kafir mengkafir, PAS telah banyak kali menjelaskan perkara ini. Fasa (tahun 70 dan 80an) di mana PAS bertungkus lumus menjelaskan kepada masyarakat perkara-perkara yang boleh menyebabkan tergelincirnya aqidah dan boleh menggugurkan syahadah (menjadi kafir) telah berlalu. Masyarakat kini sudah faham tentang perkara ini dan kita dapati dalam UMNO sekarang pun tiada lagi pemimpin yang berani berkata politik suku agama suku atau yang mempersendakan hukum hudud.


Mereka lebih berhati-hati sekarang kerana orang Islam boleh murtad dengan sebab perkataan dan menidakkan hukum-hukum Allah secara terang-terangan. Isu takfir bukan sahaja terdapat dalam negara kita malah di mana-mana masyarakat umat Islam kerana perbezaan kefahaman aqidah dan terdapatnya golongan yang melampaui batas.


PAS tidak membenci seseorang atas batang tubuh individu tetapi menegur dan mengkritik tindakan-tindakan tertentu beberapa pemimpin. Memang ada penyokong PAS terbawa bawa kebencian kepada keperibadian orang-orang tertentu. Sekiranya mereka-mereka ini (bekas pemimpin lawan) sekarang 'insaf' dan mahu membetulkan kemungkaran yang ada dan menguntungkan rakyat, kita membuka pintu kepada mereka dalam hal dan perkara tertentu sahaja. Kita tidak menghalalkan setiap tindakan lepas mereka yang terbukti mungkar.


Misalnya dalam hal kelemahan pemerintahan Dr Abdullah Badawi kita bersama dengan Dr Mahathir (dan juga parti pembakang lain) dan sebenarnya pun selama ini perkara yang sama juga yang kita suarakan. Tidak semestinya kita bersetuju dengan mereka dalam semua perkara. Kita juga tidak menafikan dalam dalam zaman Tun beliau juga bertindak zalim dan menekan pembangkang dengan pelbagai akta dan undang-undang, juga berlaku korupsi dan sebagainya. Kita juga tidak melepaskan beliau daripada tanggung jawab beliau yang banyak menyebabkan budaya pentadbiran negara seperti sekarang. Ini kita tetap kondem dan mereka pun tahu dan kita pun masih ingat.


Mengenai wanita cantik tidak boleh bekerja pula ianya adalah propaganda untuk memburukkan Mursyidul Am PAS, Dato Nik Aziz Nik Mat (TGNANM). TGNANM tidak pernah mengatakan wanita cantik TIDAK boleh bekerja. Beliau mengemukakan pandangan dan nasihat sahaja yang wanita cantik mungkin tidak terlalu memerlukan kerja kerana yang cantik hampir pasti dapat suami. Namun ianya satu pandangan seorang yang berpengalaman dan bukan satu dasar atau hukum dan tidak pula pun dilaksanakan. Jadi tidak perlu perkara tersebut diperbesarkan.


Sebagai ahli perkara yang kita perlu tanya pada diri sendiri sekiranya sesuatu isu timbul ialah adakah perkara ini menyentuh dasar atau ianya satu pendekatan dan strategi parti? Jika ianya strategi maka pertanyaan seterusnya ialah adakah ianya bercanggah dengan syariat Islam? Kalau ia melibatkan hukum, soalan seterusnya ialah adakah ia suatu perkara qati' atau perkara tersebut masih belum jelas atau pendapat ulama' berbeza?
Banyak perkara lagi perlu dipertimbangkan namun apa yang jelas ialah ianya memerlukan ilmu untuk membuat penilaian. Itu sebabnya ahli PAS mesti sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan tidak menyokong sesuatu perkara membuta tuli. Sebagai ahli kita perlu sentiasa mengikuti majlis-majlis penerangan dan ilmu supaya kita mantap dengan kefahaman perjuangan dan tidak terlalu emosi dengan isu-isu semasa.

Dr Siti Mariah Mahmud
Ketua Penerangan,
Dewan Muslimat PAS Pusat

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...