Membantah pemikiran "Melayu biar hilang tanah, jangan hilang agama" | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Jumaat, Mac 03, 2017

Membantah pemikiran "Melayu biar hilang tanah, jangan hilang agama"

"Melayu biar hilang tanah, jangan hilang agama" ini mahu mengajar ummat Islam maqasid syar'iyyah yang separuh-separuh? Jaga agama maka biarkan harta terlepas.

Maqasid Syar'iyyah Menyuruh Kita Bukan Sahaja Menjaga Agama Tetapi Juga Menjaga Harta (Termasuk Tanah)

Oleh: Aiman Athirah Al-Jundi

Saya menerima satu artikel bertajuk "Melayu biar hilang tanah, jangan hilang agama." daripada seorang teman sewarga tetapi berketurunan cina.

Saya menerima terbuka komen dan persoalannya terhadap tajuk berita tersebut ...

"Kalo Islam tapi rasuah bagaimana ye? Benda macam ni yang susah dihadami kaum bukan Islam kerana nampak macam tak berapa rasional, hipokrit. Maaf ye, saya terus-terang haha. Benda macam ni yang membuat jurang lebih luas, langsung tak menggalakkan fahaman toleransi antara agama."
Berbalik kepada sikap saya terhadap tajuk artikel tersebut yang seolah-olah mahu dijadikan satu trend dan pegangan bangsa Melayu : "Melayu biar hilang tanah, tapi jangan hilang agama."

Pada hemat saya, ini fahaman kaumiyyah. Fahaman Melayu yang terakam dalam peribahasa lama. "Biar mati anak, jangan mati adat". Kelompok yang berpegangan sebegini tentu daripada kalangan yang cukup sebati, selesa dan biasa dengan lingkup pemikiran sebegini.

Namun jangan kita lupa, peribahasa yang menjadi semacam pegangan ini telah dijawab oleh anak-anak muda melayu zaman kemudiannya dengan persoalan : "Kalau sudah mati anak, bagaimana mahu meneruskan adat?" Iyya, kalau sudah kamu membiarkan zuriat dan keturunan kamu mati, siapa yang akan meneruskan adat-adat kamu yang sekalipun hebat?

Justeru itu, saya memahami bilamana rakan tadi menyebut sikap tersebut Tidak Rasional malahan Hipokrit.

Dalam Islam, tujuan syariat (maqasid syar'iyyah) adalah bagi menjaga 5 perkara :

1. Agama
2. Jiwa/ Nyawa
3. Akal
4. Keturunan
5. Harta

Adakah pihak yang mahu menyebarkan atau menyokong sekaligus bersama mengangkat pendirian "Melayu biar hilang tanah, jangan hilang agama" ini mahu mengajar ummat Islam maqasid syar'iyyah yang separuh-separuh? Jaga agama maka biarkan harta terlepas. Begitu? Mengapa tidak ditekankan jaga kesemua, kelima-limanya kerana itu bukan pilihan dan bukan "sama ada".

Islam adalah agama Ilmu yang disampaikan dengan hujjah dan wacana. Bukan semua yang diamalkan oleh bangsa melayu yang sekalipun majoriti Islam itu adalah daripada agama. Ada yang merupakan adat dan budaya. Ada juga adat, budaya dan sikap melayu yang tidak selari dengan agama. Malah, ada yang beragama tetapi tidak solat sekalipun solat itu merupakan tiang kepada agama.

Sebab itu, kita di dalam Amanah sentiasa menekankan agar pendokong serta aktivis Amanah membawa Islam kepada khalayak dengan melebarkan kefahaman terhadap maqasid syar'iyyah itu sendiri, bukan hanya jenama syariah.

Jangan ghairah mengusung jenama syariat tetapi maqasid syar'iyyah itu sendiri ditinggalkan di luar otak masing-masing.

- aiman athirah al jundi -
3 Mac 2017
Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...