Isteri PM Datin Seri Endon Meninggal Dunia | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Khamis, Oktober 20, 2005

Isteri PM Datin Seri Endon Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datin Seri Endon Mahmood meninggal dunia di kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya jam 7.55 pagi ini setelah beberapa tahun bertarung dengan kanser payu dara.

Berita mengenai kematian Endon disampaikan oleh Abdullah kepada Pengerusi Bernama Datuk Mohd Annuar Zaini sejurus selepas itu

Allahyarham Endon, 64, menghembus nafas terakhir kira-kira 18 hari selepas kembali daripada menjalani rawatan di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak..

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan orang ramai boleh menziarahi jenazah Allahyarham untuk memberi penghormatan terakhir di Seri Perdana mulai jam 11 pagi melalui pintu utama kediaman rasmi itu.

Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Masjid Putrajaya untuk disembahyangkan pada waktu Asar, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Precint 20, Putrajaya.

Abdullah bersama-sama dua anaknya Kamaluddin dan Nori, menantu Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin serta empat cucu, anak kepada Kamaluddin berada di sisi Allahyarham ketika beliau menghembus nafas terakhirnya.

Ibu Allahyarham Datin Mariam Abdullah juga berada di sisinya.

Beberapa menteri kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir membatalkan semua acara rasmi masing-masing.

Antara acara rasmi yang sepatutnya dihadiri Najib ialah pelancaran Jersi Kebangsaan untuk Sukan SEA di Manila pada akhir tahun ini.

Berita kematian Endon, ketika orang ramai hendak memulakan urusan harian, mengejutkan negara yang kemudiannya diselubungi suasana dukacita.

Cuaca di Lembah Klang, termasuk di Putrajaya mendung seolah-olah turut merasai pemergian beliau ke rahmatullah.

Stesen-stesen radio dan televisyen memberi penghormatan dengan menukar program rutin kepada irama syahdu dan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Kebanyakan juruhebah radio mengajak pendengar masing-masing mensedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

Berita sedih itu mula disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) Bernama sebelum ia meluas ke seluruh pelusuk negara.

Orang kenamaan, wakil-wakil negara asing mula menziarahi jenazah Allahyarham di Seri Perdana pada pukul 9.30 pagi. Antara yang tiba awal ialah Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang kelihatan sibuk mengelolakan keadaan.

Ratusan orang ramai juga berduyun-duyun tiba untuk memberi penghormatan terakhir mereka.

Pegawai-pegawai kanan kerajaan termasuk ketua setiausaha dan ketua pengarah yang berpejabat di Putrajaya juga turut bergegas ke Seri Perdana.

Orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum semakin ramai tiba di Seri Perdana menjelang waktu menziarah pada pukul 11 pagi. Turut tiba ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Mohd Shafie Salleh dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Seri Perdana pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

Tidak lama kemudian Perdana Menteri keluar dengan berbaju Melayu biru serta bersamping bertemu dan bersalaman dengan para hadirin.

Abdullah kelihatan tenang walaupun mata berlinangan ketika didakap beberapa hadirin. Beliau kemudian dilihat berkata-kata dengan Najib dan juga Syed Hamid.

Menurut seorang pembantunya, Abdullah kelihatan tenang menerima kematian Endon malah sebaik sahaja isterinya menghembuskan nafas terakhir, Perdana Menteri terus mengatur urusan mengendalikan jenazah.

-- BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...