Bersyukur & manfaatkan Pakatan sebagai pertolongan Allah | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Jumaat, April 10, 2015

Bersyukur & manfaatkan Pakatan sebagai pertolongan Allah

Keadaan ini semua adalah hasil kepimpinan yang dilihat kurang berkesan dengan wawasan yang bercelaru. Sebelah kakinya di dalam perahu PR dan sebelah lagi bagaikan di luar perahu . Walaupun disebut berkali-kali “kukuhkan PR”, “PAS terus bersama PR”, “PAS tidak akan keluar PR”, namun tindakan bercanggah dengan kata-kata.

Hadi Awang dan Lim Kit Siang
Ramai sahabat-sahabat yang menyatakan perasaan kecewa dan sedih mereka kepada saya, melihat gelagat beberapa pimpinan PAS yang menunjukkan sikap tidak menghargai dan bersyukur atas kewujudan Pakatan Rakyat. Samaada mereka mempunyai wawasan masa depan politik yang begitu terbantut atau agenda tersendiri yang masih belum didedahkan hanya Allah yang Mengentahui.

Kata-kata seperti “PAS mampu bersendirian”, “Putrajaya bukan matlamat kami”, “Sokongan bukan Islam tak penting” dan sebagainya adalah sangat-sangat bercanggah dengan wawasan pimpinan terdahulu.
Kenangan zaman dahulu

Saya masih ingat pada tahun-tahun 80an semasa PAS mempunyai kekuatan hanya di pantai Timur, khususnya di Kelantan dan Terengganu, pada ketika itu, semua pimpinan berusaha memikirkan kaedah untuk memperluaskan pengaruh PAS supaya melangkaui kawasan pantai timur ini.

Pada ketika itu PAS sebagai parti yang tersisih dari politik arus perdana negara dan dianggap parti yang mempunyai sokongan hanya di kawasan Pantai Timur dan kawasan terhad di Kedah dan Perak. Maka pimpinan dan keseluruhan ahli-ahli PAS berusaha sambil berdoa agar ruang pengaruh PAS dapat diperluaskan.

Didoakan semoga Allah bantu PAS supaya dapat maju ke depan, memperluaskan ruang pengaruh dan sokongannya, bukan sekadar di Pantai Timur sahaja tetapi juga di Pantai Barat. Begitu juga, bukan sekdar di kampung-kampung tetapi juga di bandar raya dan bukan sekadar di kalangan orang Islam sahaja tetapi juga di kalangan yang bukan Islam.

Pada ketika itu, pimpinan di semua peringkat bertungkus lumus berusaha mengatasi prejudis dan gambaran negatif yang tersebar luas terhadap PAS di kalangan masyarakat, khususnya yang bukan Islam. Maka diusahakan pembentukan "Chinese Consultative Council" atau "CCC".

Nak cari orang Cina yang sanggup hadir program PAS pada ketika itu cukup sukar walau pun bersama CCC. Pada masa itu beberapa orang suadara baru dari kaum Cina ikut mendekatkan PAS dengan masyarakat Cina. Di antara mereka yang saya masih ingat ialah Kamal Koh, Ridzuan Daniel Onn dan Ali Abdullah.

Kemudian semasa PAS menubuhkan lajnah antara kaum pada tahun 90an seorang saudara baru yang sangat kuat membantu saya di Perak semasa menjadi PJ ialah Faizal Tan(Allahyarham) dan kemudian datang lagi seorang saudara baru membantu saya di pusat semasa saya menjadi ketua penerangan ialah saudara Ann Wang Seng Abdullah.

Datangnya pertolongan Allah?

Saya yakin, dengan doa dan usaha ahli dan pimpinan, yang merupakan gandingan ulama, profesional dan aktivis, Allah hasilkan perpecahan Umno pada 1987 dan Semangat 46 terbentuk. Pimpinan PAS bertindak bijaksana, menyedari ianya bantuan dari Allah, mengadakan Tahaluf dengan S46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan pada pilihan raya 1990, Kelantan dimenangi kembali selepas 14 tahun di bawah Barisan Nasional.

Sepuluh tahun kemudian, pada 1998 Allah memberi pertolongan kepada PAS sekali lagi dengan perpecahan Umno buat kali kedua. Barisan Alternatif (BA ) terbentuk dan Terengganu pula dimenangi PAS sambil Kelantan tetap berjaya dipertahankan pada PRU 1999. Pada ketika itu, imej PAS yang bekerjasama rapat dengan DAP dan Keadilan mula berjaya diperbaiki di kalangan "mayarakat selain dari ahli PAS". PAS dilihat adil membela semua golongan yang dizalimi.

Malangnya pada 2004, atas sebab Umno/BN bersatu kembali melalui kepimpinan barunya ia itu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan DAP meninggalkan BA maka Terengganu terlepas kembali kepada BN dan PAS hilang kembali kerusi-kerusi yang dimenangi di Selangor dan Perak. PAS pun dapat bertahan di Kelantan dengan majoriti kerusi yang minima. Namun, kemenangan cemerlang Umno/BN yang dicapai pada 2004 hanya sementara.

Perpecahan Umno diteruskan

Hasil perpecahan Umno yang berterusan, dan pendekatan serta strategi bijaksana PAS, dengan diperkenalkan cogan-kata “PAS for all”, dan kegagalan Pak Lah untuk melaksanakan apa yang dijanjikannya melalui slogan Islam Hadharinya maka PAS, PKR dan DAP terus mara di arena politik tanah air. PR terbentuk selepas PRU 2008 hasil pencapaian cemerlang dalam pilihan raya tersebut dan Kedah, Selangor, Perak, Pulau Pinang dapat dirampas dari BN sambil Kelantan terus berjaya dipertahankan dengan cemerlangnya.

Kejayaan demi kejayaan yang diperolehi PAS, melalui pilihan raya yang disertainya selama ini, adalah hasil dari doa dan usaha gigih pimpinan dan ahlinya, serta kemampuan mereka untuk mengenali dan memanfaatkan bantuan yang Allah berikan sepanjang perjuangan mereka.

Maka PAS mencapai apa yang diinginkan dan diusahakan selama ini. PAS menjadi sebuah parti politik yang dilihat releven semua kaum, berada di tengah-tengah arus perdana politik negara, membicarakan masalah rakyat dan ummah sambil membela semua yang teraniaya, samada Islam atau bukan Islam.

PAS menjadi parti yang punyai daya penarik terhadap seluruh rakyat dan tidak lagi dilihat sebagai parti terpencil dan tidak releven. Kebersamaan PAS dengan rakyat dalam usaha menangani masalah rakyat semakin menonjol tanpa mengabaikan persoalan-persoalan Islam dan ummah yang menjadi dasar perjuangannya.

Justeru itu, bagi saya, pembentukan PR adalah sebenarnya satu pertolongan dari Allah yang jelas dan nyata. Ianya terhasil dari perpecahan yang Allah cetuskan di kalangan pimpinan Umno dan BN. Ianya satu gabungan yang suatu ketika dahulu dianggap tidak masuk akal tetapi tetap dijayakan Allah juga hasil kebijaksanaan dan usaha gigih serta doa pimpinan dan ahli-ahli PAS. Ianya juga hasil dari doa rakyat jelata yang ingin terlepas dari kesempitan yang dihasilkan kezaliman Umno.

Perubahan sikap secara mengejut

Malangnya secara tiba-tiba saya dan ramai pendokong PAS melihat ada pihak yang tidak menghargai dan mensyukuri pertolongan yang Allah berikan ini walaupun kebaikannya dizahirkan Allah melalui keputusan PRU, penerimaan orang bukan Islam terhadap PAS, pembentukan dan pengukuhan DHPP, pembentukan kerajaan PR di beberapa negeri dan bermacam-macam lagi.

Mereka bagaikan tidak mengenalinya sebagai pertolongan dari Allah dan sebaliknya mendakwa ianya pengkhianatan terhadap perjuangan Islam! Segala pencapaian yang disasarkan dan dicapai melalui PR tiba-tiba dilihat sebagai tidak berharga dan bernilai dan dianggap sebagai kelemahan yang membawa kerosakan aqidah.

Perlu wahyu mengesahkan?

Tiada wahyu yang akan turun untuk menyelamatkan PAS dari kesimpulan yang negatif ini sepertimana turunnya wahyu membetulkan sikap beberapa sahabat selepas ditanda-tangani perjanjian Hudaibiyyah. Dan sebenarnya wahyu baru tidak diperlukan lagi kerana Al-Quran lengkap dan sempurna.

Hanya yang diperlukan adalah untuk dibuka mata untuk melihat dan dibuka minda untuk berfikir dan dibuka hati untuk bersikap adil dan ikhlas. Jangan ada di antara kita yang menjadi seperti golongan Bani Israel yang diturunkan Al-manna was-Salwa kepada mereka tetapi mereka meminta pula diberikan kepada mereka tumbuhan-tumbuhan dari bumi seperti bawang, gandum, sayur-sayuran dan sebagainya!

Jangan kita bersikap seperti kaum Bani Israel yang Allah kisahkan itu yang inginkan bantuan dalam bentuk yang mereka inginkan sahaja, sambil kufur dan engkar terhadap cara yang Allah berikan.

Amat meleset sekali kalau kita bersikap, PR adalah satu kesilapan dan penyelewengan dari dasar PAS. Ini membawa erti kita menafikan usaha-usaha serta ijtihad pimpinan terdahulu. Sambil itu kita tidak bersyukur ke atas pertolongan yang Allah berikan sehingga PAS mencapai status sepertimana yang tercapai hari ini. Sebaliknya kita wajar teruskan dan bina di atas apa yang dibina mereka yang terdahulu dari kita.

PAS mula diterima semua

Kepercayaan rakyat jelata termasuk yang bukan Islam terhadap PAS bertambah tahun demi tahun sejak 1998 dan memuncak pada 2012. Imej almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin untuk seluruh rakyat semakin kukuh dan beliau dipuji semua kecuali BN (yang hanya memberi pujian setelah beliau kembali mengadap Allah). Adakah ianya kerana TGNA "tunduk pada DAP"? Sudah pasti tidak!

Pada masa yang sama, hubungan di antara PAS dan DAP menjadi begitu rapat sehingga DAP sanggup menggunakan lambang PAS sekiranya perlu pada PRU 2013 ia itu sekiranya parti DAP digantung atau dibatalkan pendaftarannya sebelum PRU ke 13.

Ke mana perginya hubungan yang sebegitu rapat pada masa ini? Adakah PAS pernah menggugurkan dasar perjuangannya demi mencapai hubungan sebegitu akrab? Sudah pasti tidak pernah! Namun kepercayaan dan hubungan itu dibina dengan pendekatan yang berhemah dan bijaksana pimpinan terdahulu.

Retak menunggu belah

Tiada siapa yang menjangka, dalam tempoh hanya 2 tahun hubungan PAS dan DAP menjadi bagaikan "retak menunggu belah". Lebih-lebih lagi setelah mencapai keputusan yang agak cemerlang semasa PRU 13. Keputusan cemerlang ini sepatutnya mengukuhkan lagi hubungan ini dan bukan sebaliknya. Tetapi anehnya, sekarang PR seperti berada di ambang perpecahan dan berantakkan. Di mana silapnya?

Imej PAS turut tercalar, menyebabkan kepercayaan bukan Islam terhadapnya semakin terhakis. Dituduh khianat dan tidak amanah rakan segabungannya. Dilihat PAS membawa perjuangan yang eksklusif hanya untuk orang Islam sambil bagaikan kurang berminat terhadap penderitaan rakyat.

Isu 1MDB, GST dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lainnya seolah-olah tenggelam di bawah perbahasan mengenai perlaksanaan Enakman Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) yang di kenal dengan Undang-Undang Hudud negeri Kelantan.

Saya melihat isu hudud ini menjadi besar setelah ianya diwar-warkan kerajaan pusat yang di ketuai Umno memberi sokongan untuk melaksanakan undang-undang hudud negeri Kelantan dengan syarat ianya dibawa ke Parlimen untuk di luluskan.

Namun apa yang sebenarnya yang terkandung dalam Rang Undang-undang Persendirian yang di bawa TGHH (MP Marang) adalah hanya mengenai Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah(Bidangkuasa Jenayah 1965) yang dikenali dengan Akta 355 .

Pindaan itu bertujuan bagi menaikkan kadar hukuman yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah dalam kes-kes jenayah dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah iaitu kesalahan zina, minum arak, menuduh zina yang selama ini hukuman sebatan hanya boleh dilaksanakan sebanyak tidak lebih dari enam sebatan sahaja. Maka dengan kelulusan Rang Undang-undang Persendirian itu Mahkamah Syariah bolehlah melaksanakan hukuman sebatan mengikut yang dituntut syariah.

Ada pun hukuman rejam sampai mati, hukuman potong tangan, hukuman potong tangan dan kaki dan hukuman bunuh atas jenayah murtad dan jenayah qisas seperti yang terkandung dalam EKJS Kelantan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak termasuk dalam Pindaan Akta 355.

Perkara seperti ini tidak difahami masyarakat umum termasuk sebahagian pimpinan PAS sendiri. Sebagai contoh ketika menulis artikel ini saya terbaca kenyataan PJ Perak yang dengan tegas menyebutkan, Private Bill yang dibawa PAS ke Parliman ialah EKJS yang diluluskan DUN Kelantan baru-baru ini. Hal ini bertambah menjadi perbahasan apabila digambarkan, PAS amat bergatung dengan pihak Umno yang diwar-warkan bersetuju dengan perlaksanaan undang-undang hudud Kelantan.

Perkara ini bertambah merancakkan perbahasan apabila ada beberapa pemimpin PAS Kelantan membangkitkan kononya TGNA (Allahyarham) memberi amanat supaya berbaik-baik dengan Umno bagi melaksanakan undang-undang hudud.

Campur tangan Umno?

Sedih, namun itulah keadaan yang berjaya diwujudkan sekarang ini. Semestinya mereka yang terlibat dalam merencanakan perkembangan ini amat di sukai Umno/BN. Sudah pasti ini semua terhasil bukan secara kebetulan tetapi diusahakan pihak-pihak tertentu mengikut perancangan mereka.

Melalui berbagai usaha, termasuk permainan Umno yang menggunakan isu hudud sebagai wasilah mereka yang berjaya menghasilkan suasana ini. PAS dan DAP lebih sibuk bergaduh sesama sendiri dari menyentuh Umno. Malahan ada di kalangan ahli PAS yang beranggapan, menyerang DAP dan PKR adalah “lebih afdhal” dari menyerang Umno. Dan itulah yang golongan ini lakukan sejak tahun-tahun kebelakangan ini.

Kesimpulan

Keadaan ini semua adalah hasil kepimpinan yang dilihat kurang berkesan dengan wawasan yang bercelaru. Sebelah kakinya di dalam perahu PR dan sebelah lagi bagaikan di luar perahu . Walaupun disebut berkali-kali “kukuhkan PR”, “PAS terus bersama PR”, “PAS tidak akan keluar PR”, namun tindakan bercanggah dengan kata-kata. Tambahan pula terdapat golongan ulama pelapis muda yang baru dapat amanat kepimpinan sering membuat kenyataan, PAS lebih senang berjuang bersendirian.

Sudah tiba masanya kita kembalikan PAS kepada landasan yang dipersetujui dan diputuskan bersama, dengan kepimpinan yang jelas wawasan serta manhaj dan uslubnya. Sama sama kita kembalikan keyakinan rakyat, yang Islam dan bukan Islam, terhadap PAS.

Kita ingin ke Putrajaya dengan PR dan tidak redha Umno/BN terus bertakhta lebih lama. PRU 14 tumpuan kita, dengan gandingan yang kukuh dan mantap bersama PR. PAS sebagai rakan setia yang jujur dan boleh diyakini kata-kata dan janji nya. –

Ustaz Ahmad Awang
9 April, 2015.

Sumber: TheMalaysianInsider

Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...