Dari masuk Umno lebih baik masuk DAP? | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Sabtu, Januari 21, 2012

Dari masuk Umno lebih baik masuk DAP?


DAP
Harakahdaily melaporkan:
KUALA LUMPUR, 20 Jan: Dengan penyertaan beberapa orang Melayu termasuk orang kuat Umno ke dalam DAP sejak akhir-akhir membuktikan dakwaan Umno bahawa DAP anti Melayu selama ini meleset sama sekali.

Malah kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar), cubaan Umno menakut-nakutkan orang Melayu terhadap DAP itu ternyata gagal apabila terbaru bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Mohd Hata Wahari menyertai DAP semalam.

Yang lebih menarik lagi, Hata Wahari adalah bekas wartawan Utusan Melayu, organisasi media milik Umno sendiri.

Perkembangan itu juga jelas Mahfuz membuktikan bahawa DAP lebih diyakini oleh sesetengah rakyat termasuk Melayu berbanding Umno dan MCA. - Hrkh.
Memang ada orang melayu walaupun beragama Islam tapi rasa tak selesa untuk bersama degan PAS. Mungkin kut depa tak berapa nak selesa bila tengok orang PAS sibuk dengan kuliah, usrah, liqa, tamrin, mukhaiyyam dan macam-macam lagi program bercirikan Islam yang ada dalam PAS.

Nak masuk PKR pun depa tak berapa bak boleh. Mungkin depa tak berapa nak selesa nak bersama dengan PKR pasai depa nampak cara berpolitik dalam PKR saling tak tumpah macam dalam Umno.

Untuk golongan macam ni, mungkin depa boleh pilih dan lebih sesuai untuk bersama dengan DAP.

Tambah-tambah pulak dengan perkembangan terkini, persepsi orang melayu terhadap DAP dah semakin ok. DAP sekarang dilihat tak lagi macam DAP 20 tahun dulu, dah banyak berubah. Aku sendiri pun dah ada persepsi berbeza dengan DAP, tak macam 20 tahun dulu.

Macam yang aku pernah dengar ada ustaz PAS dulu-dulu yang kata "Dari masuk Umno lebih baik masuk DAP" Memang betul dan tepat sekali (tentunya dengan nada yang berbeza dari nada ustas PAS dulu-dulu tu.)

Pun begitu masih ramai orang melayu termasuk yang ada dalam PAS dan PKR yang masih ada persepsi negatif dengan DAP. Mungkin FAQ kat bawah ni boleh meredakan sikit kegelisahan depa.

Soalan-soalan lazim mengenai DAP

Adakah DAP anti-Melayu dan anti-Islam?

DAP menjunjung dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan 1957 yang secara terang-terangan mendaulatkan agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama melindungi hak agama-agama lain untuk diamalkan secara bebas. Hakikat ini termakbul dalam perlembagaan parti DAP yang meluhurkan Perlembagaan Persekutuan 1957 sebagai undang-undang paling agung di negara kita.

Apakah pendirian DAP mengenai konsep ‘negara Islam’?

DAP merupakan sebuah parti yang berpolitik sekular. DAP menegakkan dan melaksanakan apa-apa yang termakbul dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk menghormati Islam sebagai agama Persekutuan serta menyempurnakan hak kepada umat Islam dalam pentadbiran negeri (Pulau Pinang) dan memelihara hak agama-agama lain untuk diamalkan. DAP tidak menggunakan atau mempergunakan mana-mana agama dalam dasar politiknya.

Adakah DAP ingin menubuhkan sebuah ‘negara Kristian’?

Seperti yang sudah dijelaskan, DAP sebagai parti politik sekular langsung tidak menggunakan atau mempergunakan mana-mana agama dalam dasar politiknya. Tuduhan konspirasi ‘negara Kristian’ adalah fitnah semata-mata.

Adakah DAP menyokong seorang Perdana Menteri beragama Kristian?

Walau pun Perlembagaan Persekutuan membenarkan seorang Perdana Menteri dilantik daripada mana-mana kaum dan agama, DAP tetap akan menyokong seorang pemimpin Melayu yang berwibawa, beramanah dan berprinsip sebagai Perdana Menteri Malaysia. Ini adalah berasaskan realiti masyarakat di mana orang Melayu merupakan kaum majoriti di Malaysia.

Adakah DAP komunis atau mempunyai unsur komunis?

Fahaman komunis adalah satu idelogi yang ditolak sepenuhnya oleh DAP and pimpinannya sejak ia ditubuhkan pada 1966. Ideologi DAP adalah demokrasi sosial yang mengambil jalan tengah dalam aspek-aspek ekonomi, politik dan sosial.

Dalam satu wawancara, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pernah berkata bahawa kemunduran negara China dalam tahun 1960-an dan 1970-an adalah akibat daripada dasar komunisme yang tidak membawa manfaat malah melembabkan daya saingan negara tersebut. Baginya, sistem komunis akan mengakibatkan rakyat menjadi malas dan ekonomi hancur.

Adakah DAP mahu memansuhkan kedudukan istimewa Melayu?

Kedudukan istimewa Melayu yang ternyata dalam Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dipersoalkan oleh DAP. Malah, DAP dengan tegas mempertahankan apa-apa hak yang termakbul dalam Perlembagaan Persekutuan 1957, termasuk agama Islam sebagai agama Persekutuan dan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

Adakah DAP ingin menggantikan dasar tindakan afirmatif seperti DEB dengan dasar meritokrasi?

Sebagai sebuah parti demokratik sosial, salah satu dasar yang terpenting adalah kebajikan sosial dan masyarakat. Oleh itu, dasar tindakan afirmatif adalah selaras dengan pendirian DAP. Akan tetapi, ia wajib dilakukan atas dasar keperluan dan bukan mengikut kaum atau agama. Pokoknya, manfaat harus disampaikan kepada golongan yang miskin dan terpinggir, dan bukan golongan yang mempunyai kabel politik. Yang DAP pertikaikan tentang DEB ialah pelaksanaannya yang gagal membantu orang miskin secara menyeluruh, sebaliknya cuma melahirkan segelintir jutawan-jutawan kroni.

Kesimpulannya, DAP menyokong dasar-dasar tindakan afirmatif yang dapat membantu rakyat miskin mendapat pertolongan dalam pendidikan, perumahan dan lain-lain lagi, tanpa mengira kaum atau agama. Keperluan menjadi keutamaan untuk diberi bantuan manakala pencapaian dan merit perlu dijadikan ukuran kelayakan.

Adakah DAP parti cauvinis yang hanya memperjuangkan hak kaum Cina semata-mata?

DAP terbuka kepada semua bangsa dan kaum. Malah, DAP kini mempunyai bilangan wakil rakyat daripada kaum India yang terbanyak antara semua parti di Malaysia. Sungguh pun begitu, kebanyakan ahli DAP memang berketurunan Cina. Belum ramai Melayu menyertai DAP akibat daripada tekanan dan kekangan oleh media arus perdana, terutamanya media Bahasa Malaysia, yang telah sekian lama memomokkan DAP di kalangan orang Melayu. Sebaliknya, kerana maklumat dapat disemaikan dengan lebih tulus dan matang dalam media bahasa Cina yang tidak dikawal seketat media lain, maka lebih ramai ahli dan penyokong dapat dipikat daripada kalangan rakyat berbahasa Cina.

DAP tidak berjuang kerana kaum atau agama. Ia berjuang demi keadilan sosial, kebebasan dan peluang saksama tanpa mengira kaum atau agama. Kini DAP sedang berusaha lebih kuat untuk meningkatkan pendekatan terhadap semua rakyat Malaysia termasuk orang Melayu, Kadazandusun, Iban, Bidayuh dan kaum-kaum Bumiputera lain.

Pernahkah DAP mempunyai pimpinan dan calon-calon Melayu?

Dalam sejarah DAP sejak penubuhannya pada tahun 1966, terdapat ramai pemimpin dan calon-calon daripada berbilang bangsa termasuk Melayu. Malah, DAP telah menurunkan calon-calon Melayu dalam setiap pilihan raya umum yang telah ditandinginya sejak 1969.

Seramai 6 wakil rakyat Melayu daripada DAP telah memenangi kerusi-kerusi dewan undangan negeri serta parlimen, termasuk Ibrahim Singgeh dan Ahmad Nor. Selain itu, Senator Dewan Negara yang pertama daripada DAP merupakan seorang Melayu, iaitu Tunku Abdul Aziz yang merangkap Naib Pengerusi DAP. Beliau seorang bekas presiden badan anti-rasuah yang terkemuka Transparency International dan pernah menjadi penasihat kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Adakah DAP menggalakkan orang Melayu menyertainya?

Kecil tapak tangan, nyiru DAP tadahkan. DAP mengalu-alukan sesiapa sahaja warga negara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas yang mahu sama-sama berjuang untuk mengubah negara supaya menjadi lebih baik, lebih aman, lebih stabil, lebih adil, lebih demokratik, lebih bebas, lebih berpeluang saksama, lebih makmur dan lebih maju, untuk menyertai parti.

Adakah DAP menggalakkan wanita menyertainya?

Sebagaimana DAP menggalakkan penyertaan dari mana-mana individu pelbagai latar belakang yang percaya kepada sistem demokrasi dan keadilan sebenar, DAP juga amat memerlukan tenaga wanita untuk sama-sama berjuang. DAP menghormati prinsip kesaksamaan gender dan mahu wanita berperanan besar dalam usaha mengubah Malaysia ke arah masa depan yang lebih baik.

Benarkah DAP memperalatkan PAS dan PKR?

Bukan sahaja tidak benar, malah tuduhan ini yang sering dilemparkan oleh UMNO cuba menggambarkan bahawa pemimpin-pemimpin PAS dan PKR tidak bijak, boleh berfikir sendiri dan tidak faham politik. Niat tuduhan ini ialah untuk menimbulkan kecurigaan dan rasa was-was orang Melayu terhadap DAP. Matlamat tuduhan ini ialah supaya Pakatan Rakyat berpecah-belah dan ini akan memudahkan UMNO terus memerintah negara ini bersama 12 lagi parti komponen Barisan Nasional yang hanya mengikut sahaja kehendak UMNO.

Sumber: Harakahdaily

Cumanya jangan la pulak ajak aku masuk DAP. Dari masuk DAP lebih baik aku masuk tabligh.


Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...