Bicara kemerdekaan #3 - Menyingkap di sebalik tabir kejayaan Rundingan Haadyai | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Sabtu, Ogos 27, 2011

Bicara kemerdekaan #3 - Menyingkap di sebalik tabir kejayaan Rundingan Haadyai

Menurut pengkaji Sejarah, antara faktor utama menyumbang kepada termeterainya Perjanjian Perdamaian antara pihak Pari Komunis Malaya (PKM) dan Kerajaan Malaysia disebabkan kemahuan kuat kedua-dua pihak bagi menamatkan peperangan yang telah berlanjutan selama 40 tahun itu.
   
Beliau merupakan mantan Profesor Madya dan Sarjana Tamu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM), di dalam buku yang ditulisnya ‘Gerakan kiri Melayu dalam perjuangan kemerdekaan’ (GKMDPK) yang diterbitkan Penerbitan UKM.
   
Ianya dapat dilihat walaupun rundingan tersebut pernah menghadapi jalan buntu namun usaha berterusan tetap dijalankan untuk membawa pemimpin tertinggi ke meja rundingan dan seterusnya mencapai kejayaan Rundingan Haadyai tersebut.  
 
Bahkan kedua-dua pihak juga saling mengendurkan salah satu dari tuntuan masing-masing bagi memecah kebuntuan yang disifatkan oleh bekas anggota PKM terbabit sebagai adil dan munasabah.

Manakala menurut seorang pengkaji Sejarah lain, Mohd Reduan Hj Asli dalam bukunya ‘Pemberontakan bersenjata Komunis di Malaysia’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, beberapa faktor lain di pihak PK juga menjadi penyebab utama yang mendorong mereka untuk menamatkan peperangan tersebut.

Antaranya ialah, kekuatan PKM semakin lemah, kemampuan pucuk pimpinan yang semakin terhad disebabkan faktor usia, kekurangan sokongan moral dan material dari Parti Komunis China dan Kerajaan China dan keruntuhan sistem komunis di beberapa negara Eropah

Timur membuktikan ideologi komunis tidak diterima masyarakat umum.

Antara mereka yang telah memainkan peranan secara langsung untuk membawa mereka ke meja rundingan ialah Haji Mokhtar bin Mahmud Baginda sebagai wakil Timbalan Perdana Menteri (Tun) Ghafar Baba; Timbalan Komander Wilayah 4, Thailand, Mejar Jeneral

Kitti Ratanachaya dan Pengarah Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM), (Tan Sri) Abdul Rahim Mohamed Noor.

Sebelum rundingan peringkat tertinggi dijalankan, beberapa siri rundingan peringkat rendah, hubungan surat menyurat antara Abdullah C D dan Ghafar Baba juga berjalan.

Abdullah C D kepada Ghafar: “Azam mengisi kemerdekaan negara”

Pada 25 Jun 1987 Abdullah C D telah mengutus surat pertamanya melalui Haji Mokhtar kepada Ghafar Baba yang banyak menceritakan perihal Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Parti Kebangsaan Melayu Revolusioner Malaya (PKMRM).

Setelah itu, Abdullah C D sekali lagi mengutus surat kedua bertarikh 1 Oktober 1987 yang antara lain berbunyi:

“Setelah Malaya merdeka, saya dan rakan-rakan saya berkeazaman untuk menyumbangkan jiwa raga kami mengisi kemerdekaan yang baru diperolehi itu bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia dengan menyumbangkan derma bakti kami dalam membangun Malaya yang merdeka dan berdaulat itu.

“Sungguh dikesalkan, hasrat baik saya dan rakan-rakan saya dihampakan oleh penjajah British yang ketika itu masih menguasai urusan dalam negeri Persekutan Tanah Melayu.

“Penjajah British tetap meneruskan perang anti rakyat yang berlangsung hingga ke hari ini.

“Oleh yang demikian, saya yakin sebagai seorang patriot dan demokrat seperti saudara tentu sependapat dengan saya bahawa perang yang sudah berlangsung selama 40 tahun ini patut dihentikan segera di bawah syarat-syarat yang munasabah.

“Lebih cepat ia dihentikan, lebih baik bagi pembangunan negara, nusa dan agama kita.”

Manakala di pihak Ghafar Baba pula, beliau telah menulis sepucuk surat balas kepada Abdullah C D yang bertarikh 7 November 1987, yang berbunyi:

“Saya memang bersetuju dengan pendapat Encik yang perang sudah berjalan selama 40 tahun dan kita patutlah berhentikan peperangan ini tetapi hendaklah dengan syarat-syarat munasabah yang boleh diterima oleh kedua-dua belah pihak.

“Saya juga bersetuju dengan Encik iaitu seboleh-bolehnya peperangan ini patutlah ditamatkan dengan segera.

Kemerdekaan

“Negara kita telah merdeka sudah lama dan rakyat mahu mengisi kemerdekaan ini supaya keadaan hidup mereka semasa zaman penjajahan dahulu dapat dibetulkan.

“Saya penuh yakin iaitu inilah masanya untuk kita sama-sama berunding bagaimana hendak menamatkan peperangan ini.”

Ketika hubungan surat menyurat antara Abdullah C D dan Ghafar Baba sedang berjalan, pada masa yang sama rundingan peringkat rendah antara kedua belah pihak terbabit dan disertai oleh pegawai-pegawai Tentera Thailand juga sedang diadakan.

Rundingan peringkat rendah yang membabitkan anggota Rejimen ke-10, PKM telah dijalankan sebanyak tiga kali iaitu 23-24 Mei 1987, 10-11 Ogos 1988 dan 22-23 Oktober 1988.

Dalam rundingan pusingan ketiga itu ketua delegasi PKM telah membacakan naskhah usulan yang disiapkan terlebih dahulu yang kandungannya antara lain berbunyi;

“Di sini kami ingin menyatakan bahawa setelah tamatnya perang kami akan mematuhi perlembagaan Negara dan kami bahu bergerak atas nama PKM.

“Kami menganggap Malaysia yang merdeka patut menerima PKM sebagai pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.

“Ini amat memunafaatkan rakyat negara kita dalam membangunkan kemakmuran ekonomi, membaiki kehidupan, mengembangkan demokrasi serta membela perdamaian dan ketenteraman negara.

“Tambahan pula lain-lain parti politik semuanya mempunyai kedudukan yang sah asal saja mereka mematuhi Perlembagaan Negara.

“Oleh itu, kami rasa kami patut menikmati hak yang sama dengan mereka.

Perlembagaan Malaysia

“Setelah PKM menikmati kedudukan yang sah di sisi undang-undang, juga setelah tamatnya perang dan sesuai dengan Perlembagaan

Malaysia, masalah tentera dan senjata kami barulah boleh dirundingkan secara konkrit.

Perlu juga kami sampaikan beberapa masalah lainnya sebagai berikut:

Setiap anggota kami berhak menjadi warganegara Malaysia dan menikmati keselamatan serta hak-hak demokratik yang dijamin oleh perlembagaan negara.
Kerajaan Kuala Lumpur tidak akan melakukan penyiasatan yang mungkin bersifat penghinaan terhadap anggota kami.
Kerajaan Kuala Lumpur tidak akan menangkap atau mendakwa sebarang anggota kami dengan menggunakan kes-kes pada masa perang.
Kaum patriot yang berada di luar negara harus diizinkan pulang ke tanah air secara bebas.
Bebaskan semua tahanan politik.

Demikian antara isi kandungan naskhah usulan yang dibacakan oleh wakil PKM dalam rundingan tersebut.

Bagaimanapun wakil Ghafar Baba tidak memutuskan sebarang jawapan terhadap usul yang dibawa oleh wakil PKM sebaliknya menganggap ia harus diputuskan dalam persidangan di peringkat lebih tinggi.

Dalam pusingan akhir rundingan peringkat rendah itu telah diwakili oleh anggota Rejimen ke-10, PKM dengan diketuai oleh Yaman (Aziz Said), Napi, Minah dan penterjemah Dome Sa, wakil Ghafar Baba, Husin dan Haji Rahmat serta wakil Thailand Kolonel Wara dan Leftenan Kol. Akenik.

Kerajaan Malaysia akui sumbangan PKM – Suriani

Rundingan peringkat tinggi yang membabitkan wakil rasmi PKM, Chang Ling Yun (diganti oleh Wu Yi Shek setelah Chang meninggal dunia), Rashid Maidin dan Zainun tersebut telah dijalankan sebanyak enam pusingan termasuk rundingan kemuncak yang dihadiri oleh Chin Peng dan Abdullah C D sendiri.

Menurut GKMDPK itu, pada tiga pusingan awal, rundingan tersebut hampir menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak enggan menggugurkan syarat perletakan senjata.

“PKM telah menyatakan kesediaan menamatkan perang, jika kedudukan PKM dihalalkan, ISA dimansuhkan, semua tahanan politik dibebaskan dan peranan PKM serta perjuangan bersenjatanya diberi pengiktirafan.

“Pihak Malaysia menolak tuntutan itu dengan membuat pelbagai penjelasan dengan menyatakan kerajaan Malaysia mengakui sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan, tetapi tidak boleh secara terbuka.

“Dalam hal ini, mengikut mereka, biarlah ahli sejarah memberi penilaian masing-masing; kerajaan tidak akan menghalang,” menurut kajian itu memetik sumber dari ‘Rejimen ke-10 dan kemerdekaan’ oleh Suriani Abdullah.

Dalam pusingan ketiga rundingan yang berlangsung pada 11-13 Mei 1989 itu juga akhirnya pihak PKM beralah dan menggugurkan tuntutannya supaya kerajaan mengakui kedudukan sah PKM dan juga beberapa tuntutan lain.

Bagaimanapun rundingan dalam pusingan tersebut telah berlaku perbahasan yang sengit dan menemui jalan buntu seketika apabila kerajaan Malaysia berkeras untuk mengenakan tahanan ISA ke atas anggota PKM yang juga disebut sebagai Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) yang pulang ke Malaysia nanti.

Hanya dalam pusingan keempat pada 2-3 Oktober 1989 barulah kerajaan Malaysia menggugurkan tuntutan mereka untuk mengenakan tahanan ISA kepada bekas anggota PKM itu dan seterusnya melancarkan rundingan seterusnya.

Dalam rundingan pusingan kelima pada 2-4 November 1989 yang dianggap sebagai kemuncak rundingan juga telah dihadiri oleh Chin Peng sendiri.

Dalam pusingan ini, dua persetujuan berjaya dicapai iaitu persetujuan antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan PKM dengan kerajaan Thailand.

Antara isi kandungan persetujuan tersebut adalah PKM akan menghentikan perjuangan bersenjatanya, membubarkan pasukan TPRM, memusnahkan semua senjatanya dan mematuhi undang-undang dan perlembagaan Malaysia dan Thailand.

Sementara itu di pihak kerajaan Malaysia pula telah bersetuju untuk menerima kepulangan bekas perajurit tersebut dengan tidak mengenakan apa-apa tindakan undang-undang, memberi kebebasan berpolitik sebagaimana rakyat biasa serta bantuan kewangan.

Manakala kerajaan Thailand bersetuju untuk memberi pelbagai bantuan termasuk membenarkan mana-mana bekas anggota TPRM itu menetap di Thailand dan memberi mereka rumah, tanah, belanja sara hidup, belanja pembangunan kampung dan lain-lain sebagaimana yang diminta oleh pihak PKM.

Menandatangani Perjanjian Haadyai

Akhirnya dalam pusingan akhir, acara menurunkan tanda tangan dalam Perjanjian Damai antara PKM, kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand telah diadakan di Hotel Lee Gardens, Haadyai pada 2 Disember 1989.

Ketua-ketua perwakilan yang menandatangani perjanjian tersebut ialah Pemangku Angkatan Tentera Thailand, Tan Sri Jeneral Chaovaslit Yongchaiyuth, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Malaysia, Datuk Wan Sidik Wan Abdul Rahman dan Setiausaha Agung PKM, Chin Peng.

Selain itu, Abdullah C D dan Rashid Maidin juga turut menurunkan tanda tangan bagi pihak PKM.

Sumber: FreeMalaysiaToday

Akan datang (Bhg 4) : Semantan ke Kg Hala – ‘The long March’ yang diingati


Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...