Tuan Ibrahim calon kompromi atau pemecah undi? | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Rabu, Mei 25, 2011

Tuan Ibrahim calon kompromi atau pemecah undi?

Analisa Siasah     

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini menyandang jawatan naib presiden PAS akhirnya mengambil keputusan yang dijangkakan banyak pihak; bertanding jawatan nombor dua parti.

Ini bermakna persaingan nombor dua bakal menyaksikan pertambahan seorang lagi calon, sekiranya Nasharudin Mat Isa dan Mohamad Sabu tidak berganjak dan tidak ada calon lain menyertai persaingan.
  
Kemasukan Tuan Ibrahim meletakkan dua tokoh ulama dalam persaingan.

Tempoh dua hari ini akan diperhatikan dengan minat oleh pemerhati untuk melihat sebarang perkembangan terbaharu.

Tuan Ibrahim sejak awal menyatakan tidak berminat bertanding timbalan presiden, tetapi mengubah keputusan menjelang dua hari tempoh akhir penerimaan pencalonan.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu cuba ditonjolkan sebagai calon kompromi oleh sesetengah pihak, sebagai pilihan yang terbaik berbanding Nasharudin yang dinilai tidak berjaya dan Mohamad yang dilihat tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin nombor dua selepas presiden parti.

Ramai yang menyokong Nasharudin dalam pemilihan lepas pada 2009 hanya berbuat demikian untuk mengekalkan tokoh daripada kalangan ulama terus memegang jawatan timbalan presiden.

Dengan adanya tokoh lain, ramai yang menyokong Nasharudin boleh - tetapi tidak semestinya - mengubah sokongan kepada Tuan Ibrahim, alternatif calon ulama.

PAS di negeri Pahang contohnya, berpotensi besar memberi sokongan kepada Tuan Ibrahim walaupun mencalonkan Nasharudin dan Mohamad semasa tempoh pencalonan.

Banyak pencalonan kepada Nasharudin dikatakan diberi ekoran kenyataan Tuan Ibrahim tidak mahu bertanding jawatan timbalan presiden.

Pada masa sama, sokongan kepada Mohamad juga bergantung kepada faktor menolak Nasharudin dan keengganan Tuan Ibrahim bertanding timbalan sebelum ini.

Tetapi satu kemungkinan yang dibimbangi ramai penyokong ulama ialah perpecahan undi yang akan memenangkan Mohamad.

Ekoran jumlah pencalonan yang tidak semestinya diterjemahkan kepada undi dalam pemilihan, pelbagai kemungkinan masih boleh dijangka.

Beliau yang mempunyai hubungan keluarga dengan Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dinilai berkebolehan dalam bidang akademik dan berperwatakan alim, ciri yang dirasakan boleh mengukuhkan kepimpinan ulama dalam parti.

Beliau turut dikatakan mendapat sokongan Nik Abdul Aziz untuk merebut kerusi timbalan presiden dalam pemilihan Jun nanti.

Tuan Ibrahim menang dalam cubaan kali pertama bertanding naib presiden, yang dilihat sebagai ukuran populariti beliau.

Ramai menjangkakan kem ulama akan memberikan sokongan kepada Nasharudin atau tokoh lain yang dilihat boleh membawa kepimpinan ulama, sebagai penyokong presiden, pemangku dan juga bakal penggantinya.

Sebelum ini Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib membuat kenyataan menggesa presiden dan timbalan dikekalkan.

Dalam kempen menentang Mohamad, potensi peranan pemimpin popular itu sebagai pemangku presiden dan tahap pendidikan agama beliau menjadi antara isu negatif yang ditimbulkan oleh pengkritik beliau.

Mohamad walau bagaimanapun menurut sumber yang rapat dengannya tidak berminat untuk merebut jawatan presiden, dan dalam senario terburuk sekiranya presiden tidak dapat bertugas, beliau hanya akan memangku dan membiarkan pemilihan parti memilih presiden baharu.

Walau bagaimanapun, mengambil kira pelbagai perubahan yang boleh berlaku, kedudukan Mohamad di kerusi timbalan presiden juga dinilai boleh mencetuskan banyak perubahan yang bakal memberi kesan meluas, terutama dalam memecahkan tradisi timbalan presiden daripada kalangan ulama.

Kemungkinan-kemungkinan itu, yang mampu mengubah tradisi kepimpinan ulama yang difahami sebahagian besar ahli PAS, dikhuatiri oleh pengkritik-pengkritik beliau.

Kehadiran Tuan Ibrahim kini menjadi satu faktor yang mengubah permainan yang sebelum ini dijangka akan mempertemukan calon-calon utama, Nasharudin dan Mohamad dalam perebutan timbalan.

Sumber: Siasah

Nota kaki makan cekam:  Tanpa memang prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...