SPR Terima 165,624 Pendaftaran Pemilih Baru RDPT 2010 S2 | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Selasa, Julai 20, 2010

SPR Terima 165,624 Pendaftaran Pemilih Baru RDPT 2010 S2

Bernama melaporkan:
KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sejumlah 165,624 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih suku tahun pertama yang berlangsung dari April hingga Jun lepas.

Dalam tempoh yang sama, sejumlah 25,693 permohonan daripada pemilih berdaftar sedia ada diterima untuk pertukaran alamat pusat mengundi, menurut kenyataan SPR yang dikeluarkan di sini Isnin.

Menurut kenyataan itu, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Kedua 2010 akan dipamerkan mulai esok hingga Isnin depan di 999 tempat pameran di seluruh negara.

Sehubungan itu, warganegara Malaysia yang baru memohon sebagai pemilih, serta pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran alamat pusat mengundi, dinasihatkan menyemak rang daftar pemilih tambahan suku tahun kedua 2010 yang dipamerkan itu.

Pendaftar pemilih baru yang mendapati nama mereka tidak tersenarai boleh membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B, dan perlu diserahkan kepada pengarah pilihan raya negeri masing-masing dalam tempoh tujuh hari dari tarikh rang daftar pemilih itu dipamerkan, kata SPR.

Kenyataan itu turut menyebut pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam rang daftar itu bagi satu-satu bahagian pilihan raya, boleh membuat bantahan dengan mengisi borang C.

SPR juga akan mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia, lucut hak warganegara, bersara daripada angkatan tentera atau polis di mana mereka hilang kelayakan sebagai pemilih pos dan sebagainya.

Sehubungan itu, SPR memohon kerjasama mana-mana waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur anggota keluarga mereka yang telah meninggal dunia kepada SPR melalui pos, faks atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.

Pemilih berdaftar juga digalakkan menyemak daftar pemilih induk menerusi laman web SPR www.spr.gov.my bagi membetulkan sebarang kesilapan seperti ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina dan alamat rumah atau datang sendiri ke pejabat SPR di Putrajaya atau mana-mana pejabat SPR negeri, menurut kenyataan itu.

Bagi pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin pula digalakkan membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi yang lebih dekat dengan kediaman masing-masing. - Bernama
Berkenaan





Nota kaki makan cekam:  Tanpa prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...