Aku mencuri masa untuk menulis sedikit berkenaan Haji Fauzi calon Pas Manek Urai. Masa begitu suntuk kebelakangan ini. Banyak tugasan yang terpaksa aku sudahkan. Maklumlah nak jadi `pendeta’ Gunung Semanggol, banyak tugasan akademik yang terpaksa diselesaikan.Aku bekerja di Kuala Krai selama dua tahun sekitar 1999-2000. Ketika itu isu DSAI melawan Dr Mahathir begitu hangat melanda politik negara. Namun seperti biasa, aku orang akademik, semangat dalam dada perlu disembunyikan. Kena nampak neutral dan natural, baru nampak `gentleman’.
Bandar Kuala Krai, Kampung Pahi, Manek Urai, Chucuh Puteri, Kampung Laloh dan lain-lain yang sekitar dengannya sudah jadi laluan biasa bagi aku. Tapi sekarang banyak yang aku dah lupa setelah 10 tahun meninggalkan Kuala Krai. Bandarnya juga telah banyak berubah. Kemajuan tidak dapat dibendung walau siapa pun yang mentadbir, ia umpama air yang mengalir, ia mesti turun untuk dinikmati oleh rakyat sekaliannya.
Ramai yang aku kenal semasa di Kuala Krai. Daripada tokoh UMNO sampailah tokoh PAS. Tokoh Cina yang aktif dalam LION Club pun aku kenal masa tu. Al-maklum orang akademik, tidak menonjolkan gaya hidup berpolitik, jadi semua orang boleh didekati. Aku pernah dapat hadiah baju mahal (kalau tak silap aku baju Calvin Klein) daripada salah seorang wakil rakyat UMNO di Kuala Krai masa tu. Kalau dapat belanja makan dengan wakil rakyat PAS pula, itu perkara biasa. Dapat hadiah satu bonet durian pun pernah!.. Tapi ini semua bukan rasuah, bukan berlaku masa pilihan raya. Ia sekadar peri menyatakan betapa penduduk Kuala Krai tersebut secara keseluruhannya baik-baik dan berbudi orangnya walaupun pendirian politik mereka berbeza-beza.
Tempat yang menjadi kunjungan setiaku semasa di Kuala Krai ialah Balaisah (Surau) di hadapan Pasar Siti Aisyah, berdekatan Simpang Tiga menuju ke Gua Musang. Kalau tak silap ingatan aku di Simpang Tiga itu ada ukiran batu berbentuk buah-buahan. Buah manggis atau dokong, aku sudah lupa yang mana satu. Siapa yang pergi berkempen ke Manek Urai bolehlah tolong tengok..
Surau yang aku pergi itu orang ramai panggil Balaisah Pas, sebab Pejabat Pas Kuala Krai/Guchil terletak di tingkat atas bangunan. Walaupun dipanggil balaisah Pas tetapi balaisah ini menerima semua orang Islam berjemaah di dalamnya tidak kira parti apa yang dia sokong. Ayat ini sekadar mengelakkan salah faham, takut nanti bila sebut `balaisah Pas’ orang UMNO tak boleh masuk pulak.
Aku memang kerap ke balaisah itu. Dalam seminggu lebih 3-4 kali. Kalau tidak Zohor, waktu Asar. Kalau tidak Asar, waktu Maghrib. Kalau tidak pun Subuh. Tetapi Subuh jarang-jarang aku pergi sebab rumah aku agak jauh dari balaisah tersebut.Aku suka ke situ sebab jemaahnya ramai. Bacaan imamnya juga jelas. Yang hendak aku ceritakan ialah hampir setiap kali aku pergi ke balaisah itu aku akan melihat sebuah kereta Mercedes model lama berwarna hijau di letakkan di tempat yang begitu hampir dengan mihrab. Kereta Mercedes itu begitu kemas dan bersih walaupun ia model lama. Kelihatannya seolah-olah ia digilap setiap hari. Yang menarik perhatianku juga ialah `plate’ keretanya. Aku terlupa nombornya tetapi hurufnya sampai hari ini aku tidak lupa, iaitu tersusun cantik huruf-huruf P.A.S mendahului nombornya yang aku sudah lupa.
Memang sejak daripada kali pertama aku melihat kereta itu, aku ingin sekali mengetahui siapa tuannya. Mula-mula hatiku teragak-agak, penceramah jemputan kah, wakil rakyat kah atau pimpinan dari sebelah utara kah yang datang melawat.. (maklumlah plate P). Namun semasa kali pertama aku melihat kereta itu aku tidak dapat mengenali siapa tuannya kerana tok imam hanya datang naik motor sahaja dan tidak ada pula ceramah jemputan selepas solat. Aku menunggu beberapa ketika tetapi kereta itu tetap di situ dan tidak ada pula orang-orang tempatan mengerumuni seseorang.
Akhirnya aku pergi tanpa jawapan. Persoalan dalam kepalaku tidak berjawab untuk selang waktu yang agak lama kerana setiap kali aku sampai ke balaisah itu, kereta mercedes hijau tersebut telah ada di situ dan bila aku melangkah keluar dari balaisah, kereta mercedes itu masih di situ. Setelah sekian kalinya menjengah balaisah itu dan menunggu selepas solat untuk sekian lama, akhirnya barulah aku berpeluang melihat siapa orangnya yang melangkah masuk ke dalam kereta mercedes hijau berplate menarik itu. Rupanya beliau hanyalah salah seorang daripada makmum biasa seperti aku. Bertubuh sederhana, berkulit sawo matang, berpakaian kemas dan berserban. Di wajahnya ada sinar kebersihan jiwa dan keyakinan diri.
Beberapa kali aku bersalaman dengan beliau sesudah solat selepas itu, tetapi aku tidak berpeluang untuk berbual dengan beliau kerana tidak ada sebarang topik yang hendak dibincangkan. Lagi pun beliau bagi aku boleh dikira seorang pendiam, semasa bersalam beliau hanya tersenyum, tidak ghairah dan tidak pula becok mulutnya. Selepas solat wajib beliau akan solat sunat dan selepas itu mungkin zikir pulak.. Aku biasanya `chow’ awal, maklumlah `sibuk’.. Namun sepanjang ingatan aku, setiap kali aku sampai ke balaisah tersebut, kereta mercedes hijau itu telah ada di situ dan setiap kali aku keluar meninggalkan balaisah, kereta itu masih di situ juga. Maknanya dia sentiasa datang awal daripada aku dan keluar lebih lewat daripada aku. Tidak pastilah aku kalau dia memang bekerja di tingkat atas balaisah itu yang menempatkan Pejabat Pas. Apa pun aku cukup tabik kepada tuan mercedes itu kerana dia sentiasa mendahului aku..
Aku tidak pasti sama ada aku ada bertanya kepada jemaah yang lain apa nama Tuan Mercedes itu tetapi kalau aku ada bertanya pun aku tidak dapat mengingatnya lagi. Sepanjang dua tahun aku di Kuala Krai keraplah aku bersalaman dengan beliau, tetapi yang peliknya tidak pernah aku cuba mencari jalan berbual dengan beliau. Mungkin kerana sikap pendiamnya dan kuat amalan sunatnya. Selebihnya aku tidak menganggap Tuan Mercedes itu penting lagi kerana aku telah mengenaliya dan aku juga melihat para jemaah lain juga berkelakuan biasa sahaja dengan beliau. Tidak juga aku bertanya apa pekerjaan beliau kerana aku tidak terasa lagi peri pentingnya.Namun yang seingat aku, tidaklah pernah aku melihat beliau tanpa serban terlilit di kepala dan tidak pernah juga aku melihat beliau dalam keadaan tidak kemas melainkan kemas jugalah imejnya seperti kemasnya beliau menjaga kereta mercedes terpakainya.
Aku berpindah dari Kuala Krai pada awal tahun 2000 bersama kenang-kenangan indah dan wajah tuan mercedes hijau itu tidak ada lagi dalam kepala. Sehinggalah tiba-tiba aku terlihat berita dalam akhbar-akhbar, PAS mencalonkan Haji Fauzi sebagai calon pilihan raya kecil di Manek Urai. Terpampang wajah beliau dengan kulit sawo matang dan serban terlilit di kepala.
Fikiran ku senak seketika.. Aku terbayang-bayang, rasa-rasanya wajah tersebut biasa aku lihat, tapi terlupa di mana.. Di mana ya? Aku bertanya-tanya sendirian di dalam hati. Sehinggalah akhirnya aku mendapat jawapan.. Rasa-rasanya dialah Tuan Mercedes hijau yang aku tercari-cari dulu. Aku sms seorang kawan lama di Kuala Krai, ”Haji Fauzi calon Manek Urai tu pakai kereta mercedes terpakai warna hijau plate P.A.S ke?” Sepatah dia menjawab, `Ya’. Persoalan dalam kepalaku terjawab, rasa senak bertukar lega.
Dalam surat khabar memberitahu bahawa dia bekerja sebagai pemborong ikan. Satu pekerjaan yang aku tidak terbayang langsung dengan kekemasannya dan personaliti dirinya. Yang sangat menarik hatiku ialah peri awalnya dia datang ke balaisah dan peri lewatnya dia pulang..
Wahai sekalian pengundi di Manek Urai,
Sekilas aku melihat dari jauh, wajarlah kita beri peluang pada Haji Fauzi memimpin umat di Manek Urai. Dia telah buktikan kesolehannya, sinar wajahnya pun mencerminkan kejujuran dan keikhlasan. Aku yakin dan percaya, jikalau kita semua memilih Haji Fauzi sebagai wakil rakyat di Manek Urai, beliau akan turun awal menyelesaikan masalah rakyat dan pulang lewat sehinggalah masalah diselesaikan.
sdgS – Biarlah aku menjadi `Pendeta’ di Universiti Gunung Semanggol..
Sumber : Suara dari Gunung
p/s : Hari tu jumpa lupa nak bagi la boss, buku 'Krisis Perak' yang bloggers tu ada ja kat dalam boot kereta aku hari tu. Ralit sembang samai lupa.