Muktamar ke-55 : Cabaran untuk Pemuda Pas - Utusan | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Rabu, Jun 03, 2009

Muktamar ke-55 : Cabaran untuk Pemuda Pas - Utusan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Hari ni Dewan Pemuda akan memulakan persidangan kali yang ke 50 di Markas PAS Taman Melewar. Aku tak pasti pasai apa Pemuda Pusat pilih untuk bermuktamar di Markaz Taman Melewar.

Aku ingat bila Selangur jadi tuan rumah kali ni, mungkin Dewan Pemuda akan bermuktamar di dewan hotel yang canggih, paling kurang pun di dewan yang ada 'standard' sikit macam sorang member aku kata. Bila dia tanya pendapat aku, aku cuma jawab ringkas "Itulah cara YB Salehuddin memimpin."

Apa-apa pun, selamat bermuktamar untuk semua perwakilan pemuda. Aku harap muktamar pemuda kali ni akan lebih berisi, lebih 'keras' tegur dan bagi amaran pada pimpinan yang ada sebahagiannya mungkin ada yang semakin 'leka', sibuk dengan 'ghanimah' lepas dapat mentadbir beberapa negeri.

Aku rasa ada baiknya sebelum bermuktamar para perwakilan boleh luang masa baca rencana terkini pasai harapan kepada Pemuda PAS kat dalam Utusan. Aku bukan nak kempen suruh beli utusan, aku cuma suruh baca.

Pasainya aku rasa mungkin rencana ni yang paling ikhlas pernah keluar dalam utusan dan pada aku memang patut dibaca oleh perwakilan dan jugak bakal pimpinan yang akan mengemudi Dewan Pemuda lepas ni.

Pasai takmau kempen untuk utusan kali ni aku tak bubuh link pun, jadi bagi yang malas nak bukak web utusan boleh baca ja yang kat bawah ni.

Cabaran untuk Pemuda Pas
Oleh ZULKIFLEE BAKAR

MALAM ini berlangsung perasmian Persidangan Tahunan Dewan Pemuda Pas yang akan dilakukan oleh Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa. Ia akan ikuti dengan muktamar penuh, esok.

Sudah pastilah persidangan kali ini diadakan dalam suasana berbeza memandangkan penyandang jawatan iaitu Ketua Pemuda sebelum ini, Salahuddin Ayub secara rasmi akan menyerahkan "baton" kepimpinan kepada penggantinya, Nasharudin Hassan Tantawi - seorang ulama muda yang dihormati dalam Pas.

Sepanjang enam tahun menerajui Pemuda, Salahuddin bukan sahaja menjadikan sayap parti itu sebagai satu organisasi yang disegani malah melalui kepimpinannya, Pemuda menggerakkan jentera pilihan raya dengan jayanya. Kemampuan beliau memimpin jentera itu telah memungkinkan Pas dan pakatan pembangkang yang juga disertai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mencatatkan kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

Justeru Salahuddin akan meninggalkan sayap berkenaan dengan membawa track record yang cukup cemerlang. Sudah tentulah ia akan dijadikan sandaran bagi perwakilan Pas untuk menilai beliau dengan sebaik-baiknya. Keputusan Salahudin bertanding jawatan Naib Presiden membolehkan beliau membawa suara Pemuda ke tahap lebih tinggi.

Kini perjuangan Pemuda terletak di bahu Nasharudin yang sudah tentunya mempunyai tanggungjawab cukup berat bagi memastikan sayap parti berkenaan terus kekal sebagai gerakan disegani oleh parti-parti lain sama ada kawan mahu lawan.

"Tegurlah saya andai saya silap, bimbinglah saya andai saya tersasar dan bantulah saya andai saya benar. Apa yang saya cari ialah damai umat ini." Demikianlah yang ditegaskan oleh Nasharudin dalam blognya.

Kenyataan itu sekali gus bermakna Nasharudin sudah pasti bersedia menempuh apa juga cabaran dan dugaan setelah diberikan laluan selesa bagi menduduki jawatan Ketua Pemuda. Hakikatnya, Nasharudin yang sebelum ini menjadi Timbalan Ketua Pemuda Pas memasuki gelanggang Ketua Pemuda dengan ilmu yang sudah cukup di dada.

Malah beliau awal-awal lagi menggariskan matlamat untuk melahirkan Pemuda Pas yang cemerlang bersandarkan kepada tiga kekuatan iaitu jismiah (fizikal), ruhiyyah (roh) dan fikriyyah.

Kekuatan jismiah bermaksud, Pemuda Pas perlu memiliki susuk tubuh yang mampu memikul beban dakwah dan tanggungjawab perjuangan serta berkemampuan menanggung risiko. Kekuatan ruhiyyah pula adalah satu kuasa dalaman, ibarat antibodi yang mampu mengawal diri daripada terjerumus dan terseleweng.

Kekuatan fikriyyah pula bermaksud, melahirkan golongan Pemuda yang cerdas fikiran terutamanya dalam berhadapan cabaran abad ke-21.

"Pemuda jangan banyak dalih dan berlengah, pastikan tiga kekuatan ini dapat dikumpulkan semaksima mungkin demi Islam dan perjuangannya." Itulah pesan Nasharudin dalam nukilannya bertajuk "Sensitiviti Pemuda terhadap isu negara - cabaran dan masa depan."

Sememangnya sebelum secara rasmi menjadi Ketua Pemuda, Nasharudin telah menggariskan hala tuju yang jelas kepada Pemuda. Jika semua pesanan itu diikuti sudah pasti Pemuda Pas akan menjadi satu barisan yang kukuh dan mantap.

Bagaimanapun, cabaran yang menanti Pemuda Pas amat hebat. Sememangnya kita tidak mempertikaikan hak Pas untuk berkongsi perjuangan bersama-sama dengan PKR dan DAP. Ini kerana bagi Pas, melalui kerjasama berkenaan mereka mampu memberikan saingan kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Tetapi apa yang diharapkan oleh banyak pihak ialah Pemuda Pas harus menjadi watch dog kepada kepimpinan parti itu supaya tidak menjadi "pak turut" semata-mata dalam kerjasama dengan parti pembangkang lain. Ini kerana Pemuda perlu memastikan Pas menjadi parti yang dominan.

Sama ada hendak diakui atau tidak, buat masa ini Pas seolah-olah terpaksa akur sahaja terhadap apa juga yang dilakukan oleh PKR dan DAP biarpun kadangkala pendirian yang ditunjukkan bertentangan dengan perjuangan Islam yang ingin ditegakkan oleh Pas.

"Jangan kerana sudah sepakat, maka apa juga yang diperkatakan oleh DAP dan PKR, Pas hanya mengikut. Di sinilah peranan yang harus dimainkan oleh Pemuda Pas," kata seorang pemimpinnya ketika dihubungi.

Dalam soal ini, Pemuda Pas di bawah kepimpinan Nasharudin perlu menunjukkan pendirian yang jelas dan tegas. Jika di zaman Salahuddin, menegur pucuk pimpinan sudah menjadi salah satu amalan, maka ia diharap berterusan. Tidak kisahlah sama ada ia hendak dilakukan secara terbuka atau tertutup, apa yang penting langkah itu dilaksanakan demi kepentingan Pas.

Kita memuji ketegasan Nasharudin yang di dalam blognya tetap mempertahankan pendirian bahawa Pas berkewajipan mengambil tampuk kuasa politik daripada golongan yang enggan melaksanakan syariat Islam. Malah kita juga menerima kritikan keras Nasharudin terhadap UMNO dalam soal itu.

Tetapi persoalannya, mampukah Pemuda Pas "menguasai" rakan-rakan dalam pakatan pembangkang untuk menghormati dan menurut apa yang diperjuangkan oleh Pas? Inilah cabaran untuk Nasharudin.

Sememangnya ramai orang Melayu mahu melihat Pas menjadi pemimpin kepada pakatan pembangkang seperti mana UMNO menjadi teraju dalam BN.

Selain telah berusia 58 tahun, Pas adalah parti induk Melayu kedua di negara ini. Justeru, tidak sewajarnya ia hanya menjadi pengikut sahaja apatah lagi kepada PKR yang berusia setahun jagung.

Selain itu, Nasharudin perlu memastikan semangat pengorbanan ahli-ahli Pemuda Pas yang sebelum ini cukup dikagumi oleh partiparti lain terus berkekalan terutamanya ketika berlangsung sesuatu pilihan raya.

Pemuda Pas harus dididik supaya tidak terpengaruh dengan materialistik dalam perjuangan mereka. Kejayaan yang dicapai oleh Pas, tidak harus mengaburi golongan pemimpin dan ahli Pas untuk lari daripada prinsip perjuangan Islam yang hendak ditegakkan.

Selepas Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu awal tahun ini, seorang pemimpin Pemuda Pas menghubungi penulis yang antara lain melahirkan kebimbangan jika ahli-ahli Pemuda Pas suatu hari nanti akan turut terjebak dengan materialistik sehingga apa juga hendak dilakukan untuk parti harus bersandarkan kepada berapa banyak bayaran yang akan diberikan.

Apa pun, dengan kewibawaan Nasharudin sebagai ulama muda yang tangkas dalam gelanggang politik untuk menegakkan keadilan dan petah di mimbar masjid bagi menyampaikan kebenaran, beliau sudah pasti mampu membimbing ahli-ahli Pemuda menjadi aset ummah dan satu institusi menggerakkan ummah.

Kini segala-galanya terserah kepada Nasharudin bagaimana untuk mencorakkan Dewan Pemuda Pas yang kini berada di bawah kepimpinannya melalui pendekatan perjuangan Pemuda sebagai duta kasih sayang dan penyelamat ummah, bak kata Nasharudin: "Kita pejuang bukan pemberontak. Kita pendakwah bukan penghukum. Responsif terhadap isu ummah tetapi tidak melatah terhadap provokasi pihak yang tidak bertanggungjawab. Hulurkan tangan. Biarpun lidah tegas menentang dan menegur kezaliman, yang hak dikatakan hak dan yang batil tetap dikatakan batil."




LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...