Hari ni Timbalan Pengerusi SPR membentangkan macamana cadangan SPR untuk wartawan yang nak mengundi secara pos pada PRU13 akan datang.
Katanya SPR nak sedaya upaya mengelak untuk gunakan pihak ketiga. Bunyi macam bagus, macam nak buat secara adil dan telus "
bagi menghindari tanggapan negatif serta rungutan pelbagai pihak" tapi memandangkan yang kata tu katanya ahli Umno berdaftar, tobat lahum aku tak percaya.
Aku sebenarnya malas nak ulas sangat, elok hangpa baca sendiri apa yang dilaporkan oleh Bernama
apa yang Timbalan Pengerusi SPR kata macam yang dilaporkan oleh mStar.
Pasainya. setakat apa yang aku faham, dari laporan Bernama tu, tak jelas bila borang yang depa kena isi tu perlu dihantar. Aku andaikan borang tu kena hantar awal kepada Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya tapi mesti selepas SPR keluarkan Daftar Pemilih yang akan digunakan untuk pilihanraya tu.
Biasanya SPR akan keluarkan satu daftar pemilih yang baru yang 'telah dikemaskini' yang biasanya SPR kata depa buang nama pemilih yang dah meninggal dunia semenjak Daftar Pemilih yang dah digezetkan sebelum tu.
Kalau tak silap aku Daftar Pemilih yang baru tu cuma akan diberikan masa hari penamaan calon. Pasainya masa tu baru SPR keluarkan Daftar Pemilih yang siap dengan no siri pengundi dan saluran untuk hari mengundi.
Maknanya borang tu cuma boleh diisi dan dihantar selepas hari penamaan calon. Tapi kalau SPR boleh keluarkan senarai tu lebih awal lagi elok, kita ada masa lebih untuk analisa Daftar Pemilih tu.
Lepas tu tentulah Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya kena ambik masa untuk proses borang tu sebelum diluluskan. Bila dah diluluskan barulah boleh wartawan tu pi pulak ke pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya tu untuk ambik kertas undi.
Maknanya wartawan yang nak mengundi secara pos kena pi ke pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya dua kali.
Laporan oleh Bernama tu juga tak cerita macamana dengan kertas undi yang depa dah ambil, adakah depa akan pangkah dan serahkan kertas undi tu di situ ataupun depa bawak balik kertas undi tu dan kemudiannya pos kertas undi tu.
Kalau depa tak bawak balik dan pos kertas undi tu mana sesuai nak panggil depa sebagai pengundi pos. Tapi kalau depa kena pos kertas undi tu ada kemungkinan jugak "kertas undi hilang", satu keadaan yang Timbalan Pengerusi SPR kata SPR cuba elakkan, maknanya lebih praktikal kalau depa terus serah kertas undi depa masa tu jugak.
Tapi yang lebih penting lagi, laporan Bernama tu langsung tak sebut macamana penglibatan ejen calon untuk memantau proses tu. Kalau SPR betul-betul nak dilihat telus, SPR kena benarkan ejen calon untuk pantau proses tu supaya semua calon boleh berpuas hati yang tak berlaku sebarang penyelewengan.
Pada aku, berdasarkan laporan Bernama tu, cadangan dari Timbalan Pengerusi SPR tu adalah cadangan separuh masak. Macam belum ada satu karsah yang lengkap, mungkin lebih sesuai kalau kita kata angan-angan Timbalan Pengerusi SPR saja.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memastikan proses undi pos bagi petugas media yang dijangka dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13, dibuat secara telus bagi menghindari tanggapan negatif serta rungutan pelbagai pihak.
Sehubungan itu kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar, SPR akan sedaya-upaya untuk tidak membabitkan pihak ketiga di dalam proses berkenaan.
Antara cadangan awal SPR ialah petugas media terbabit datang sendiri mengambil kertas undi di pejabat Pegawai Pengurus (RO) pilihan raya di tempat mereka didaftarkan dan mengundi di situ, katanya dalam satu temu bual dengan Bernama di Putrajaya.
Beliau berkata mereka boleh berbuat demikian sepanjang tempoh berkempen yang telah diputuskan SPR tidak kurang daripada 10 hari.
Walau di mana petugas media ditempatkan majikan masing-masing, mereka masih boleh balik ke kawasan masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab itu kerana tempoh berkempen agak lama, katanya.
Kebenaran mengundi pos bagi petugas media adalah antara 22 syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang dipersetujui SPR untuk dilaksanakan.
Kemudahan untuk mengundi pos itu adalah mengikut subperaturan 3(1)(f) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata SPR bagaimanapun bersedia memberi pencualian kepada petugas media yang ditempatkan terlalu jauh dari kawasan mereka didaftarkan seperti Sabah dan Sarawak.
Mengenai proses tersebut, Wan Ahmad berkata petugas media yang layak harus memohon untuk menjadi pengundi pos daripada RO masing-masing terlebih dahulu, dan permohonan perlu disokong majikan masing-masing.
"Borang itu nanti boleh dimuat turun daripada laman web rasmi SPR sebaik pengumuman mengenainya dibuat SPR, termasuk tarikh akhir penghantaran borang," katanya sambil menegaskan tidak semua petugas media layak untuk mendapat status pengundi pos.
Antara yang perlu dilengkapkan ialah alamat di mana mereka didaftarkan sebagai pemilih dan tempat mereka ditugaskan ketika pilihan raya.
"Apabila permohonan sebagai pengundi pos telah diluluskan maka nama petugas media sebagai pengundi biasa akan dipotong," katanya.
Beliau juga meminta majikan memuktamadkan kawasan petugas mereka ditempatkan kerana sebarang perubahan pada saat akhir tidak akan dilayan SPR sebaik sahaja permohonan pengundi pos diluluskan.
Ditanya mengenai rasional petugas media masih perlu kembali ke kawasan mengundi masing-masing untuk membuang undi, Wan Ahmad berkata SPR tidak mahu ada pihak mempolitikkan perkara itu jika kertas undi dihantar ke kawasan petugas media ditempatkan.
SPR tidak mahu kelak ada dakwaaan kertas undi hilang jika perkara itu dilaksana kerana amalan SPR ialah menghantar terus kertas undi ke pejabat RO di kawasan pengundi didaftarkan.
Jika mahu perkara tersebut dilaksana, pejabat RO terbabit perlu menghantar kertas undi berkenaan ke pejabat RO di mana petugas media itu ditempatkan, dan ini membuka ruang kepada spekulasi serta pelbagai tuduhan liar kepada SPR, katanya.
Bagaimanapun kata Wan Ahmad semua itu masih di peringkat cadangan, dan SPR bersedia menerima maklum balas bagi memastikan pelaksanaan undi pos bagi petugas media berjalan lancar serta memudahkan semua pihak.
- Bernama
Nota kaki makan cekam: Tanpa memang prejudis