Road to Mahkamah Jalan Duta
Oleh: HilangpuncaAda masa masanya aku gemar juga mengambil tahu hal-ehwal semasa tanah air. Kegemaran ini sudah lama muncul dalam diri aku. Malahan ketika sekolah rendah aku sudah mula berbual hal-ehwal semasa dengan beberapa kawanku yang berpandangan jauh dan berani menyatakan sokongan tentang sesuatu perkara. Idea dan rujukan aku ketika itu sudah tentulah dari mulut abah dan arwah emak aku yang memberikan komen di hadapan TV ketika menonton siaran warta berita. Aku fikir kawan-kawan aku juga begitu, tiada bezanya dengan aku.
Pada hari isnin akan datang, aku mendapat tahu ada satu perhimpunan besar akan berlangsung di Kuala Lumpur. Ini salah satu hal semasa yang muncul menarik minat aku. Perhimpunan itu katanya adalah satu perhimpunan untuk satu perlawanan pusingan akhir di antara Dato Seri Anwar Ibrahim dan Saiful Bukhari. Perlawanan sengit ini seperti yang diketahui sudah berlangsung agak lama. Namun hanya pada pusingan akhir ini keputusan akan diumumkan oleh pengadil.
Seperti mana-mana perlawanan akhir, ia semestinya berlangsung di sebuah gelanggang yang hebat. Maka selalu saja Kuala Lumpur dipilih tidak kira apa perlawanan sekalipun baik bola sepak atau peraduan menyanyi. Aku fikir barangkali mahkamah baru di Kuala Lipis ini yang gah berdiri di atas bukit menghadap Sungai Lipis masih tidak cukup hebat.
Khabar angin mengatakan perlawanan akhir ini mungkin dimenangi oleh Saiful Bukhari kerana pengadil kononnya lebih banyak memihak kepadanya. Aku tidak fikir begitu. Manchester United awal pagi semalam tewas 3-0 walaupun pengadilnya Howard Webb (kah kah kah!). Jadi keputusan perlawanan ini tidak boleh dijangka terlalu awal. Aku berpendapat bahawa yang bermain baik akan menang. Kadang-kadang Howard Webb juga pening kepala bagaimana mahu menolong Manchester United jika mereka sendiri bermain seperti tidak mahu menang. Mana mungkin dia meniup untuk mengarahkan penalti untuk Manchester United ketika bola di tengah padang. Lainlah kalau dia sudah gila tiba-tiba atau dirasuk iblis.
Di pihak Dato Seri Anwar Ibrahim, aku melihat persediaan mereka untuk perlawanan akhir ini cukup baik. Poster seperti yang aku tampal di atas sudah lama terpampang untuk para penyokongnya tidak lupa hadir menyaksikan perlawanan akhir ini. Saiful Bukhari pula aku tidak pasti berapa ramai penyokongnya. Mungkin ramai juga. Kalau tidak ramai atau kuat, mustahil untuk dia ke perlawanan akhir ini.
Yang sebenarnya aku juga terfikir mahu melihat perlawanan akhir ini walaupun kedua-dua pasukan tidak mempunyai kaitan denganku. Tapi aku rasa tidak salah untuk pergi melihatnya. Aku sebelum ini pernah juga ke lain-lain perlawanan akhir yang tidak ada kaitan denganku contohnya perlawanan MPPJ Selangor menentang Sabah beberapa tahun lepas. Aku cukup suka suasana perlawanan akhir yang jarang-jarang dapat dinikmati. Namun kali ini aku kekurangan wang untuk ke Kuala Lumpur. Jadi cukuplah aku menunggu keputusan semasa di televisyen atau internet sahaja.
Walau bagaimanapun pagi ini setelah aku meneliti beberapa berita dan maklumat, aku menjadi kurang faham dengan perlawanan akhir ini. Ada beberapa persoalan yang menghairankan.
- Kenapa polis melarang penyokong-penyokong setia pasukan masing-masing untuk hadir berduyun-duyun ke gelanggang untuk memberi sokongan.
- Apa gila polis suruh penyokong duduk di tempat lain jauh dari gelanggang. Macam mana nak sokong ayam tambatan mereka?
- Apahal orang Kolumpo bising takut jalan jem. Dah nama pun perlawanan akhir memang la jalanraya havoc sikit.
- PERKASA sokong team mana?
- Apahal Tun Mahathir cakap perhimpunan penyokong ini ugut mahkamah seterusnya memberi tekanan. Pengadil bola rilek je dalam padang kena maki satu stadium.
- Apahal guru, pelajar dan kakitangan kerajaan dilarang pergi menyokong. Suka hati diorang la nak layan final.
- Apahal final ni diorang main isnin? Tak respek langsung tradisi final kena main hari minggu.
Ramalan: Anwar 2-3 Saiful Bukhari.
[Kredit: HilangPunca]
Road to Mahkamah Jalan Duta 2
Nota kaki makan cekam: Tanpa memang prejudis