Menanti kesedaran rakyat parahnya demokrasi tulen di Perak | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Ahad, Disember 12, 2010

Menanti kesedaran rakyat parahnya demokrasi tulen di Perak

Oleh Safarizal Salleh. 

Saya telah diberikan peluang oleh parti berikutan hanya dibenarkan 5 pemerhati khas setiap parti politik dibenarkan kali ini yang mana semasa pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) dahulu membuka seluas-luasnya kepada rakyat kebenaran hadir bahkan ditambahan dengan mengusahakan siaran langsung melalui internet bagi menyampaikan setiap maklumat terus kepada rakyat.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kali ini bermula pada 30 November sehingga 3 Disember lalu yang tidak kepastian daripada tatacara agendanya kerana tidak dimaklumkan lebih awal walaupun Barisan Nasional (BN) berbangga kerana tercatat sejarah pada kali ini persidangan yang panjang. Tetapi masih jelas bahawa Polis dilihat masih ramai dan kawalan yang ketat bagi memastikan semua ADUN PR diawasi. Sedangkan dalam masa yang sama, BN masih tidak mengakui bahawa semasa PR dahulu ruang telah diberikan seluas-luasnya bagi setiap ADUN untuk berbahasan tanpa dihadkan yang tidak berlaku sekarang. Akan tetapi BN sebenarnya agak terdesak untuk meluluskan semua perkara yang telah dibentangkan di dalam Persidangan kali ini dengan suasana Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke - 13 yang sudah hampir.

Sidang ini juga masih menyekat semua warga media untuk melihat sendiri perjalanan di dalam dewan dan mereka masih ditempatkan di dalam bilik khas. Bagi PR, kebenaran mesti diberikan kepada semua warga media bagi melihat sendiri secara terus di dalam dewan melihat gelagat watak kampung ADUN BN sebenarnya dan manakala ADUN PR yang bangun untuk memastikan semua persoalan rakyat dinyatakan.

Saya yakin semua maklumat ini tidak disiarkan oleh media kerana secara tidak langsung menunjukkan kelemahan pentadbiran BN memerintah. Bagi saya biarkan rakyat tidak mengetahui perkara sebenar bagi ingin melihat BN kembali memerintah semua Negeri Perak pada PRU 13 nanti.

Perkataan 'rampasan kuasa' cukup dibimbangi oleh BN kerana terpalit akan maksud sebenarnya kaedah bagaimana mereka mendapat kuasa.
Saya juga suka menarik perhatian rakyat yang ingin tahu keadaan di dalam dewan pada 4 hari tersebut. Pertamanya, saya memuji semua ADUN PR kerana bersikap matang di dalam mempersoalkan kelayakan Datuk R. Ganesan sebagai Speaker atau Yang DiPertua DUN Perak. Jelas ayat 'tuan speaker yang terpaksa saya hormati' atau ayat 'tuan speaker yang mula saya hormati' menarik semua pihak di dalam ucapan ADUN PR.

Tetapi agak aneh ialah, kegagalan Datuk Ganesan menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Speaker. Sebagai contoh, beliau acap kali ditegur oleh bekas Menteri Besar dahulu iaitu Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali secara tidak langsung. Di dalam menggantung ADUN PKR Hutan Melintang S Kesavan, Datuk Ganesan sebenarnya tidak dapat mengawal keadaan sebenarnya.
Bilamana beliau terlalu awal memutuskan untuk menggantung Kesavan sehari daripada hadir Sidang DUN, bangkit Exco Kerajaan Negeri yang juga ADUN Kamunting, Datuk ohd Zahir Abdul Khalid mengusulkan agar Kesavan digantung terus untuk hadir sepanjang Persidangan kali ini.

Dengan menunjukkan kelemahannya, beliau terus bersetuju agar menerima undi belah bahagi bagi menentukan kedudukan Kesavan.
Perkara tersebut jelas memberikan kemarahan Tan Sri Tajol Rosli kerana tidak boleh diadakan undi belah bahagi dan amat melucukan Datuk Ganesan mengarahkan agar diberikan sehelai kertas kosong saiz A4 kepada semua ADUN untuk mengundi. Kelucuan tersebut menjadikan bahan jenaka kepada yang hadir termasuk Pengarah Jabatan Kerajaan.

Timbul juga semasa bacaan kedua pembentangan bajet berkaitan pembelajaan tentang bayaran kepada Timbalan Speaker kerana dengan bayaran RM2,000 sebulan dan kemudahan khas kepada ADUN Bebas Jelapang iaitu Datuk Hee Yit Foong tetapi Persidangan selama 4 hari tersebut, beliau tidak langsung bertugas.

Terlalu banyak perkara yang boleh diberikan kepada BN Perak berkaitan setiap persoalan di dalam DUN kali ini. Pembohongan jelas tidak dilaporkan oleh media arus perdana bilamana berkaitan kedudukan kewangan kerajaan negeri. Bagaimana bajet kali ini yang begitu tinggi dan tidak dinafikan hutang juga bertambah.

Walaupun mengandaikan pendapatan akan bertambah daripada cukai-cukai sediaada termasuk tentang air negeri dan juga tanah. Datuk Seri Haji Zambry Abdul Kadir berjanji bahawa kerajaan negeri tidak akan menaikkan bayaran bil air pada kali ini tanpa menafikan sumbangan tinggi bayaran zakat di zaman PR dahulu. Bayaran cukai tanah juga masih kabur ditambah kekalutan BN Perak yang akhirnya akur untuk memberikan hak milik kekal kepada penduduk Kampung Baru daripada 60 tahun kepada 99 tahun.

Dan yang paling menyentuh adalah berkaitan bagaimana Datuk Seri Zambry telah berusaha agar kerajaan negeri mengambil alih tanah di Kampung Masjid, Pulau Pangkor yang mana Ibunya turut tinggal di kampung tersebut. Persoalannya mengapakah setelah beliau menjadi Menteri Besar baru ingin memastikan tanah tersebut diserahkan kepada penduduk di situ. Ini termasuk beberapa isu tanah yang diperolehi oleh pimpinan Umno Bahagian dan Datuk Seri Zambry jelas mempertahankan hak mereka dengan alasan mereka layak memperolehinya.

Apa yang ingin saya persoalkan di dalam isu tanah ini adalah, kenapa baru sekarang mereka ingin memastikan masalah tanah ini diselesaikan semenjak 53 tahun selepas merdeka? Kenapa isu tanah Pulau Pangkor menjadi keutamaan sedangkan di Bandaraya Ipoh masih ada setinggan yang masih tidak diberikan hak mereka? Kenapa pula pimpinan Umno yang berhak mendapat tanah, sedangkan penduduk asal di situ diketepikan?

Saya menjangkakan usaha pembalakan akan menambah pendapatan tinggi buat kerajaan negeri kerana memperluaskan kawasan pembalakan kepada 2,000 hektar.

Di dalam isu pembalakan juga telah dipersoalkan oleh ADUN PR terutamanya berkaitan pembalakan berhampiran Perkampungan Orang Asli. Dengan tidak bertanggungjawab, Exco yang berkaitan iaitu Datuk Shaarani Mohamad yang juga ADUN Kota Tampan hanya mengatakan kerajaan negeri tidak boleh berbuat apa-apa kerana kawasan balak terletak di dalam kawasan Orang Asli. Sepatutnya kerajaan negeri membuat peraturan agar kawasan Orang Asli diwartakan atau yang boleh memastikan kawasan tersebut terpelihara.

Tetapi Datuk Seri Zambry masih terus mengekalkan tender pembalakan oleh BN secara tidak membuka tender kepada umum. Ini yang memungkinkan timbul persoalan bahawa semua tender pembalakan akan diberikan terus kepada syarikat Umno / BN bagi untuk mengisi kantung dana PRU nanti.

ADUN Pasir Panjang yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir Haji Mohammed Nizar Jamaluddin kerap kali menjadi sasaran Datuk Seri Zambry terutama semasa pembahasan bajet oleh Ketua Pembangkang itu. Ada pun persoalan berkaitan Islam sendiri diperlecih oleh Datuk Seri Zambry terutama bagaimana peruntukan pengurusan Islam di dalam bajet kali ini hendak diuruskan dengan sebaik mungkin di dalam memastikan umat Islam dapat dibentuk dengan kefahaman Islam yang sebenar.

Datuk Seri Zambry dengan dabik dada mengatakan PAS lah punca intitusi Masjid dipolitikkan, beliau lupa bilamana Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dahulu pernah membuat aduan kepada Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIAMPk) yang mana Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah sebagai YDP nya telah melapur bahawa Datuk Seri Zambry berucap di Masjid Ibnu Salam, Pengkalan Pegoh pada 16 Ogos tahun lepas.

Datuk Seri Zambry sungguh tersentuh perkara yang menyentuh akidah, kerap kali bilamana Datuk Seri Nizar mengukap masalah umat Islam atau gejala kesesatan terus Datuk Seri Zambry bangun mempersoalkan serta meminta penjelasan. Tidak pula Datuk Kaptem (Bersara) Haji Najamuddin Alias Al-Hafiz Penasihat Agama kepada Menteri Besar yang juga ADUN Batu Kurau bangun untuk mencelah?

Ini jelas dengan melihat ketokohan Datuk Seri Zambry sebagai seorang yang berpengetahuan agama Islam yang tinggi, merasa tercabar dan kepanasan. Dengan taatnya kepada Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria Mufti Kerajaan Negeri Perak yang amat dihormati oleh Datuk Seri Zambry tidak mungkin akan bertindak dengan perbuatannya yang bercanggah dengan agama Islam.

Di dalam isu memegang lilin dahulu yang menjadi isu besar terhadap Datuk Sei Nizar, Datuk Seri Nizar menjelaskan dengan terbuka setelah mendapat nasihat daripada Tan Sri Harussani supaya bertaubat. Datuk Seri Nizar telah mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Harussani di dalam perkara ini walaupun tidak mendapat penjelasan terus daripada Datuk Seri Nizar telah mengeluarakan kenyataan agar beliau bertaubat.
Tetapi malangnya berkaitan Datuk Seri Zambry ini, Tan Sri Harussani masih belum mengeluarkan surat rasmi bagi menjelaskannya. Walaupun Datuk Seri Zambry telah menjelaskan maksud atau istilah 'ancak' tersebut sebagai pokok perbahasannya, beliau dengan kata lain masih tidak membuat pengakuannya. Datuk Seri Nizar meminta agar gambar dan juga video yang telah beliau tunjukkan untuk mendapat penjelasan daripada Datuk Seri Zambry tetapi tidak membuahkan hasil langsung.

Acap kali Datuk Seri Zambry menuding jari punca 'ancak' yang dimainkan oleh Pemuda PAS Perak, beliau lupa siapakah yang telah memberikan semua bahan tersebut tanpa beliau sedari. Datuk Seri Zambry jelas cuba melarikan semua persoalan tersebut yang masih tertonggak. Ini ditambah pengakuan ADUN Titi Serong Drs Haji Khalil Idham Lim Abdullah bahawa beliau turut mempunyai bukti amalan khurafat semasa Persidangan DUN dahulu yang mana seorang ADUN membawa bomoh ke dalam dewan termasuk dilekatkan sehelai daun di bawah meja di mana duduknya Datuk Seri Nizar.

Persoalan berkaitan pelaburan juga dipertikai oleh ADUN PR kerana masih dilihat kurang mendapat sambutan daripada pelabur asing sebenarnya. Perkara ini masih tidak dijawab oleh Exco yang bertanggungjawab iaitu ADUN Sungai Rapat Datuk Hamidah Osman. Apa pun alasan BN di dalam perkara ini harus menerima hakikat rampas kuasa oleh mereka faktor sebenar yang masih menghantui pelabur asing sehingga sekarang.

Dalam penerimaan usul supaya dua orang ADUN di hadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN kerana tidak bertanggungjawab di atas ucapan mereka, timbul sama ada usul yang telah diluluskan itu sah atau tidak. Ini kerana setiap ADUN yang diusulkan untuk diambil tindakan perlu kepada seorang ADUN untuk mengusul dan seorang ADUN menyokong usul tersebut.

Setelah menerima usul tersebut, Speaker perlu mengemukakan semula kepada dewan untuk menyokong usul tersebut dalam erti kata lain perlu di undi. Tetapi yang menghairankan kita bagaimana usul tersebut diterima sedangkan tidak diterima oleh sidang dewan. Perkara ini kita tunggu langkah seterusnya oleh Speaker yang kurang pengetahuan menjawabnya.

Dalam perkembangan yang sama tentang perbahasan ADUN Titi Serong Khalil Idham Lim menegaskan mempunyai bukti agar umat Islam menolak langkah seperti ini kerana jelas berunsur syirik. Tetapi di dalam isu ADUN Temenggor Datuk Hasbullah Osman yang mengatakan Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu telah rasuah melalui laporan media jelas tidak bertanggungjawab.

Dan di dalam perkara tentang pinjaman kepada pelajar anak Perak untuk melanjutkan pelajaran mereka nampaknya Kerajaan Negeri terus memberikan hukuman kepada mereka kerana gagal untuk membayarnya. Seolah-olah tiada kaedah lain yang boleh diusahakan demi memastikan mereka tidak terinaya kerana masalah teknikal jika mereka membuat bayaran kelak.

Perkara terakhir yang dilihat hangat ialah berkaitan usul pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang dipertikai oleh ADUN PR. Tidak timbul untuk menyokong usul tersebut, tetapi langkah BN untuk memasukkan secara tersebut adalah dibantah. Sepatutnya BN memasukkan secara Rang Undang-Undang untuk memastikan kekuatan pindaan tersebut daripada dicabar oleh mana-mana pihak termasuk di dalam Mahkamah.
Ini yang amat dibimbangan oleh ADUN PR dengan mengelak menyokong usul tersebut dengan hanya membuat keputusan berkecuali. Sedangkan pindaan tersebut jelas disebut mesti diterima 2/3 oleh dewan, tetapi malangnya disebalikbya.

Bagi saya perkara tersebut jelas memberikan persepsi kerapuhan semua yang telah dibentang oleh BN kali ini. Termasuk juga pelawaan Datuk Seri ambry untuk berbincang dengan Datuk Seri Nizar berkaitan agama Islam. Datuk Seri Nizar tegas meminta agar Datuk Seri Zambry memperjelaskan isunya dahulu dan meminta agar perbincangan diatas satu pentas umum agar rakyat mengetahuinya.

Akhir sekali, saya merasakan ini adalah Sidang DUN yang terakhir bagi membina kembali kepercayaan rakyat terhadap BN menjelangnya PRU. Saya berharap perkara yang menjadi perbahasan ADUN PR diselesaikan dan membuktikan bahawa rakyat diutamakan serta didahulukan. Tetapi yang terbentang dihadapan kita ialah peribadi, keluarga dan kroni yang diutamakan dan didahulukan bukannya rakyat sebenarnya.

Saya menganggap pengalaman ini perlu saya terjemahkan kepada rakyat agar memahami sukarnya mengembalikan demokrasi tulen semula kepada rakyat. Tanggungjawab ini adalah terlalu besar bagi memastikan perubahan keyakinan rakyat kembali semula seperti PRU 12 bagi mengurus amanah rakyat ini.

Sekian daripada saya bagi mengeluarkan kekusutan rakyat demi penghormatan sebenar daripada rakyat.


SAFARIZAL SALEH
Penolong Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Sumber: Tranungkite

Nota kaki makan cekam:  Tanpa prejudis

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...