Menubuhkan jawatankuasa antara agama | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Sabtu, April 17, 2010

Menubuhkan jawatankuasa antara agama

Oleh: Dr. Mujahid Rawa

16 APRIL — Pada 7 April dalam The Star berita utama menyatakan Kerajaan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Antara Agama yang akan dipengerusikan oleh Datuk Ilani Ishak bekas MP Kota Bharu.

Makluman itu dibuat oleh Tan Sri Dr Koh Tsu Koon Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan menegaskan bahawa ia adalah satu entiti yang tidak rigid dan tidak ada keterikatan undang-undang.

Katanya lagi jawatankuas ini akan mengumpulkan semua agama untuk duduk semeja dan berbincang secara akademik isu-isu berkaitan hubungan antara agama.

Jakim akan mewakili isu-isu berkitan dengan Islam dalam usaha untuk mencari persefahaman dan konflik yang telah timbul dan mungkin akan timbul dalam hubungan antara agama di negara ini.

Perlu diingatkan bahawa usaha ini telah cuba dilakukan semasa zaman Pak Lah setelah mendapat tekanan yang kuat kerana kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah-masalah pemelukan Islam yang timbul setelah kematian, begitu juga masalah salah seorang pasangan berkahwin memeluk Islam dan timbul isu hak penjagaan anak.

Namun cadangan dahulu dibuat atas nama Suruhanjaya Antara Agama atau Interfaith Commission (IFC) di tolak oleh hampir kesemua persatuan yang mewakili Islam dan orang Melayu secara majoritinya.

Hasrat itu ditangguh kerana Raja-raja melayu juga kurang berpuashati dengan IFC ini sehingga telah mencetuskan bantahan besar-besaran umat Islam.

PAS sendiri menolak usaha ini dan melihatnya sebagai pendekatan yang “mengikat” agama Islam setaraf dengan agama-agama lain. Ada beberapa alasan mengapa umat Islam menolak usaha penubuhna IFC .

Nama Suruhanjaya itu sendiri memberi satu kuasa untuk mengikat ahli IFC termasuk dari agama Islam sendiri dengan keputusan-keputusan yang secara implikasinya meletakkan Islam tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya yang berkemungkinan bertentangan dengan ajaran dan ruh Islam.

Kedua dari sudut Perlembagaan Persekutuan, artikel 11 yang menegaskan kebebasan agama bukanlah sesuatu yang mutlak kerana ia tertakluk kepada artikel 3(1) yang menegaskan Islam adalah agama resmi persekutuan dan oleh itu kebebesan hendaklah difahami selagi tidak memberi kesan kepada Islam dan menjejaskan fondasi artikel 3(1).

Ketiga, oleh kerana kedudukan Islam adalah agama resmi Persekutuan  maka peruntukan-peruntukan Islam itu diberi kuasa dan haknya kepada kerajaan negeri di bawah kuasa Sultan untuk menggubal undang-undang Islam di peringkat negeri masing-masing.

Dengan tiga faktor di atas Suruhanjaya yang pernah dicadangkan dahulu dikhuatiri melampaui had dan batas peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama resmi. Akhirnya IFC menjadi sejarah dan kerajaan terpaksa melihat pendekatan yang lebih fleksibel dan hanya kini satu inisiatif kedua post IFC diperkenalkan iaitu Jawatankuasa Antara Agama.

Hingga kini jawatankuasa ini masih kabur dari skop bidang kuasanya dan aktivitinya. Hanya dengan kenyataan Tan Sri Koh Tsu Koon tiba-tiba isu hubungan antara agama ini menjadi hangat semula diperkatakan.

Apakah cetusan ini kerana insiden keputusan Mahkamah Tinggi tentang penggunaan kalimah “Allah” ataukah menyambung semula inisiatif terdahulu atau mungkin tekanan-tekanan baru dibuat oleh golongan Islam Liberal dan NGO madani yang lain supaya isu seumpama Lina Joy, Shubashini dan lain-lain dapat digarap dengan berkesan.

Sebelum isu jawatankuasa ini muncul, isu pindaan MLRA (1975) atau Akta  Pembahruan Perkahwinan (1975) dicadangkan untuk dipinda bagi menyelesaikan isu salah seorang pasangan bukan Islam memeluk Islam dengan memberi hak penceraian di Mahkamah Sivil terhadap pasangan yang telah memeluk Islam.

Isu ini menimbulkan implikasi undang-undang yang menjejaskan kewibawaan hak seorang Muslim untuk merujuk kesnya kepada Mahkamah Syariah.

Pindaan yang dicadangkan ini seolah-olah “memaksa” salah seorang pasangan yang Muslim memfailkan pereceraiannya di mahkamah Sivil sedangkan Mahkamah Syariah telahpun memperuntukkan haknya sebagai seorang Muslim.

Persepsi umat Islam terhadap pindaan ini seolah-olah “mengurangkan”hak mahkamah Syariah sedangkan sepatutnya Kerajaan memperkukuhkan Institusi undang-undang Syariah.

Penolakan para Mufti kerana kebimbangan ini menyebabkan raja-raja menolak pindaan ini walaupun Peguam Negara bersama JPM berusaha supaya pindaan ini dibawa, hingga hari ini pindaan ini masih tergantung di Parlimen.

Jawatankuasa Khas Antara Agama ini masih kabur dan perlu kepada penjelasan kerana jika namanya berubah tetapi isinya tetap sama dalam merendahkan martabat Islam, umat Islam akan tetap menolak.

Lainlah jikalau ada sesuatu yang baru dan diperbincangkan terlebih dahulu, mungkin ia dapat menggarap masalah yang diperbincangkan.

PAS bersikap pro-aktif dalam menekuni hubungan antara agama. PAS sama sekali tidak akan menolak jika mana-mana usaha menjadikan dialog sebagai asasnya dan persefahaman dicapai dalam kerangka agama masing-masing dan tidak ada campurtangan urusan agama Islam oleh pihak lain.

Kedua segala perbalahan undang-undang perlu merujuk kepada undang-undang Islam sebagai referensi utama seorang Muslim seperti hak Hadhanah, Infaq dan lain-lain berkaitan.

Ketiga, tuntutan di mahkamah Sivil perlu mengambil kira “ruling” Mahkamah Syariah dalam keputusan-keputusannya.

Akhirnya, campurtangan pihak ketiga sepatutnya memudahkan masalah bukan menghasut pihak terlibat, disinilah persefahaman diperlukan dan apa juga proses rundingan di luar kerangka undang-undang dapat di jalankan.

Seperkara lagi janganlah tindakan individu yang memeluk Islam bercanggah dengan Islam dianggap mendapat endorsement dari umat Islam.

Memeluk Islam bukan paspot untuk lari dari tanggungjawab kekeluargaan dan mengharamkan kasih ibu atau ayah.

Biarlah kita faham bahawa Islam tidak menyuruh berbuat demikian.

Islam menetapkan bahawa hubungan kekeluargaan dan darah daging tetap diberi haknya selagi tidak membawa kepada menjejaskan aqidah seorang Muslim, selain dari itu dalam kasih sayang umpanya tetap menjadi hak yang perlu dipenuhi.

Apakah jawatankuasa ini antara lainnya cuba menyelesaikan masalah-masalah salah tanggap ini melalui dialog, ataukah jawatankuasa ini berperanan secara penasihat untuk meredakan ketegangan yang ada ataukah jawatankuasa ini mempunyai kekuatan mengikat keputusan-keputusan antara agama yang dibuat.

Lebih buruk lagi apakah jawatankuasa ini  mewajarkan untuk pihak tertentu mengkritik kewibawaan Islam secara yang lebih formal?

Sehingga Jabatan Perdana Menteri membuat penjelasan dan pendetailan tentang Jawatankuasa Khas Hubungan Antara Agama, rakyat Malaysia masih menunggu-nunggu era baru hubungan antara agama di Malaysia yang samasekali tidak akan menjejaskan Artikel 3(1) dan menghormati peruntukan artikel 11 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sumber: MalaysianInsider




Nota kaki makan cekam:  Tanpa prejudis

Jom join pay per click pertama Malaysia
Baca Email dapat cash
Media Pengiklanan Baru
Affiliates domain. $0.10 USD for every referal
Iklan text di sini, cuma RM10

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...