Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 8 Jan: Lebih seribu berhimpun secara aman di hadapan Kedutaan Mesir di ibu negara hari ini bagi menyerahkan memorandum membantah tindakan kerajaan negara itu yang bersekongkol dengan Israel menindas umat Islam Palestin.
Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) itu bermula di perkarangan Kompleks Tabung Haji selepas solat Jumaat tengahari tadi dan seterusnya berarak lebih kurang 4 kilometer ke bangunan Kedutaan Mesir yang terletak di Jalan Rhu, Ampang.
Perarakan diketuai Ketua DPPP, Nasrudin Hassan dan Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub serta beberpa kepimpinan PAS lain.
Himpunan kali ini bagi membantah tindakan kerajaan Mesir yang menghalang pasukan konvoi Palestin di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat di sana.
Laungan takbir dan 'Hidup Islam', 'Hancur Yahudi, 'Bebas Palestin, Bebas Al Aqsa, 'Hancur Hosni Mubarak' bergema dalam perarakan itu.
Pelbagai bentuk bantahan dizahirkan termasuk memakai mafla warna bendera Palestin, sepanduk mengecam Mesir dan Israel serta bermacam lagi.
Turut bergema sepanjang perarakan adalah nyanyian lagu nasyid "Al-Amalulillah" yang bermaksud 'beramal kerana Allah' sebagai pembakar semangat peserta himpunan.
Pihak keselamatan mengawal baik himpunan dengan menjaga lalu lintas untuk memberi laluan kepada peserta himpunan.
Manakala pasukan Unit Amal menjadi barisan hadapan dan menjaga keselamatan peserta himpunan.
DPPP meminta pihak Kedutaan membenarkan lima wakil mereka masuk untuk meyerahkan memorandum namun hanya empat orang sahaja yang dibenarkan masuk.
Mereka ialah Salahudin, Nasrudin, Timbalan DPPP, Azman Shapawi Abdul Rani dan Ketua Muslimat, Nuridah Salleh.
Sementara menunggu pertemuan dan serahan memorandum selesai di dalam, beberapa peminpin berucap dengan menyampaikan pidato kepada peserta himpunan di luar pintu masuk bangunan kedutaan dengan dikawal sebilangan anggota unit simpanan persekutuan (FRU).
Antara yang berucap adalah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, AJK PAS Pusat Dr. Dzulkifli Ahmad, Hanipa Maidin dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mat Akin.
Kesemua mereka mengutuk keras tindakan kerajaan Mesir yang didakwa bersekongkol dengan rejim Zionis menindas umat Islam Palestin.
Mereka juga menyeru Umat Islam seluruh dunia bangkit membuat penentangan berterusan di atas sikap kerajaan Mesir tersebut.
Memorandum bantahan berkenaan bagaimanapun berjaya diserahkan kepada Duta Mesir, Hani Abdel Kader Ahmed sendiri dalam pertemuan hampir 15 minit.
"Kami telah menyatakan hasrat kami agar Mesir memainkan peranan penting membenarkan aktivis antarabagsa menghantar bantuan mereka ke Gaza.
"Beliau berjanji untuk mainkan peranan penting dan menyatakan kesedian memberikan bantuan kepada umat Islam Palestin," beritahu Salahudin pada sidang media sejurus menyerahkan memorandum bantahan tersebut.
Selain itu, Mesir juga jelasnya perlu menunjukkan sikap lebih bertoleransi dan terbuka dalam meyelesaikan masalah umat Palestin dan tidak terus menerus dilihat sebagai boneka Amerika.
Di kesempatan sama, Salahuddin juga menyampaikan ucapan penghargaan tidak terhingga PAS buat semua badan-badan dunia sama ada Islam mahupun bukan Islam, yang sentiasa teguh di belakang umat Islam Palestin.
Manakala Nasrudin pula memberitahu, turut dituntut agar Mesir menghentikan usaha membina tembok di sempadan negara itu yang dilihat sengaja untuk mengepung penduduk Palestin.
"Kami juga meminta kerajaan Mesir segera menghentikan usaha membina tembok sepanjang 6 kilometer menyebabkan ummat Islam Palestin bagai terpenjara, dihalang makanan,minuman, bekalan perubatan.
"Andai kata berlaku peperangan, sudah tentu sukar bagi umat Islam Palestin untuk keluar menyelamatkan diri," kata Nasrudin. hrkh
Media Pengiklanan Baru