Kepemimpinan Hadi jadi isu panas | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Ahad, November 08, 2009

Kepemimpinan Hadi jadi isu panas

Sekadar untuk rekod

Kepemimpinan Hadi jadi isu panas
Jimadie Shah Othman Nov 7, 09 1:50pm kemaskini 4:36pm


Seperti dijangka, seminar politik PAS hari ini panas dengan isu kepemimpinan Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dikritik keras seorang ahli akademik, Prof Dr Abdul Aziz Bari sebelum ini.

Dalam sesi 'percambahan minda' yang melibatkan Dr Abdul Aziz sendiri, pandangannya di Sinar Harian bulan lepas dan wawancara dengan Malaysiakini semalam yang mengkritik pedas kepemimpinan Abdul Hadi menimbulkan pelbagai reaksi daripada peserta.


Peserta yang jelas tidak berpuas hati dengan Dr Abdul Aziz termasuklah pemimpin PAS Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik yang berkata beliau "tidak dapat melihat muka" pakar undang-undang perlembagaan itu di seminar hari ini.

"Beliau kena jawab dengan tegas. Saya sendiri rasa tidak hendak tengok muka profesor. Bukan tidak hendak tengok (terus), tetapi hari ini sahaja.

"Semua orang tidak mahu Umno," katanya, menjawab tuduhan ada pemimpin parti itu ingin bekerjasama dengan musuh politik tradisinya itu.

Abu Bakar juga mempersoalkan penjelasan Dr Abdul Aziz sebelum itu yang meminta peserta tidak memfokuskan kepada analisis pilihan rayanya semata-mata kerana ia dibuat dalam ruang lingkup ke arah pembentukan sistem dua parti di Malaysia.

"Kenapa? Secara jelas (hendak) jadi ejen Barat apabila paksa kita ikut sistem dua parti. Kalau tidak ejen Barat pun, ejen nafsu dia. Turun, jadi orang politik!" cabarnya, disambut takbir sebahagian peserta.

Terdapat juga beberapa peserta yang bangun meminta Dr Abdul Aziz membuktikan dakwaannya bahawa Abdul Hadi kini "Pak Lah versi PAS" dan "sudah kehilangan stim" seperti diterbitkan di akhbar web ini, semalam.

Malah ada yang menuntut Dr Abdul Aziz memohon maaf kerana didakwa merendahkan-rendahkan seorang ulama Islam, yakni Abdul Hadi.

Ahli akademik yang dilihat rapat dengan pembangkang itu juga dicabar mendedahkan sumbernya yang memberikan maklumat parti kepadanya.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pensyarah kajian media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah turut membentangkan pandangan dalam sesi pagi tadi.


Bagaimanapun, Dr Abdul Aziz yang kelihatan enggan mengulangi lagi kritikannya di media itu dipertahankan oleh Dr Abu Hassan yang meminta semua peserta bersikap terbuka terhadap tanggapan yang dilontarkan.

Mengakui analisis Dr Abdul Aziz itu selari dengan tinjauannya mengenai kepercayaan politik, termasuk terhadap PAS, Dr Abu Hassan menyatakan kekecewaannya terhadap sikap beberapa peserta melepaskan geram kepada pembentang.

"Seminar politik sebegini diadakan buat kali pertama dalam sejalah politik negara. Masalah sepatutnya diselesaikan dengan intelektual, bukan dengan perbalahan.

"Kenapa datang dengan soalan yang tersedia dari rumah, kemudian marah kepada pembentang. (Sikap) ini primitif. Yang hendak dibincangkan, (soal) kecerdikan politik.

"Kita kena tahu di kurun apa kita berada. (Zaman) ini bukan abad ke-13,” katanya, kali ini disambut tepukan gemuruh, tidak seperti kebiasaan penyokong PAS yang gemar bertakbir.

Malah, setiap komen yang mengkritik kepemimpinan PAS dan kerajaan perpaduan sering disulam tepukan peserta, berbeza dengan reaksi terhadap pandangan yang mempertahankannya.

Sementara itu sewaktu menggulung hujahnya, Dr Abdul Aziz berkata beliau tidak mempunyai bukti atau "ubat" untuk memantapkan PAS.

"Soal label pro-Umno, masuk Umno (yang dikaitkan dengan isu kerajaan perpaduan), ada atau tidak, tuan kena cari sendiri. Kalau tahu Umno cukup jijik pada PAS, yang pergi dekat, buat apa?" katanya.

Beliau juga mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa perlu ada "korban" dengan menggugurkan beberapa pemimpin kanan dalam PAS - jika mampu, termasuk Abdul Hadi - bagi menyelesaikan konflik dalaman parti Islam itu.

"Saya pun bukan menuduh, (isu) ini bukan (kes) jenayah. Saya tidak hina, saya cuma menyebut prestasi seorang presiden (parti).

"Saya tidak kritik peribadinya (Abdul Hadi) sebagai seorang ulama. Siapa saya hendak persoalkan? Saya tidak ada niat langsung," jelasnya.

Secara sinis beliau berkata, bermula Isnin ini beliau tidak akan menulis lagi tentang parti itu sebaliknya akan memfokuskan kepada konflik dalaman MCA pula.

"Saya sudah tulis sudah banyak kali. Ada tiga artikel saya yang keluar daripada kebiasaan saya (menulis soal perlembagaan). Lepas ini, saya tidak buat perkara ini.

"Saya tidak akan sentuh lagi PAS. Saya buat (analisis) MCA pula," katanya.

Selain Abu Bakar, pemimpin yang tidak selesa dengan pandangan ahli akademik itu termasuklah Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad.

Manakala ahli jawatankuasa Muslimat PAS Aiman Athirah condong kepada analisis Dr Abdul Aziz.









Media Pengiklanan Baru 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...