Alfatihah! buat allahyarham Ismail Yaacob, 60 tahun, Adun Manik Urai, Kuala Krai yang lebih mesra dikenali Pak Su Weil telah meninggal dunia jam 5:55 pagi tadi.
Untuk lebih kenali siapa Pak Su Weil boleh baca Balasungkawa yang ditulis oleh Mohd Sayuti Omar.
Mesra, ramah dan pandai mengambil hati orang. Itulah rahsia Pak Su Weil kenapa berjaya menenangi kerusi Manik Urai sebanyak lima kali berturut-turut bermula pada tahun 1986. Bagi Pak Su Weil kejayaannya dikerusi itu sebagai rekod kerana memenanginya berturut-turut, 1986, 1990, 1995, 1999 dan 2008.
Kehebatan Pak Su Weil di Manik Urai terbukti apabila pada tahun 2004 Pas tidak meletakkannya bertanding di situ menyebabkan kerusi Manik Urai itu berpindah tangan kepada Umno.
Tahun 2008 apabila Pas meletakkan semula Pak Su Weil kerusi berkenaan menjadi milik Pas semula. Selain Adun Pak Su Weil juga merupakan pemimpin Pas kawasan Kuala Krai. Dalam pemilihan baru lalu Allahyraham ditentang oleh Zulkefli Yaacob untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua, beliau menang dengan 550 undi.
Harakahdaily menulis tentang allahyarham Pak Su Weil, seorang pemimpin yang berjiwa rakyat
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kematian Paksu Mail merupakan satu kehilangan besar kepada PAS dan kerajaan negeri.
Katanya, kematiannya pada hari Jumaat mendapat fadhilat yang besar dan ditambah pula telah menderita sakit agak lama.
"Sebelum ini ketika saya menziarahinya sekembali daripada menggerjakan ibadat umrah beliau memberitahu mengidap sakit gaot, darah tinggi dan jantung.
"Kita doakan semoga Allah mengampunkan segala kesalahan beliau dan ditempatkan rohnya bersama orang yang soleh.
"Bagi ahli-ahli keluarganya hendaklah kita banyak-banyak bersabar kerana hari ini orang lain, mungkin esok lusa kita pula yang dipanggil mengadap Allah," katanya ketika dihubungi di sini.
Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, Paksu Mail memang dikenali di kalangan masyarakat kampung kerana mudah mesra dan senang didekati.
Katanya, Allahyarham benar-benar seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.
"Biar pun tidak mempunyai pendidikan tinggi namun beliau lebih disenangi masyarakat kerana pergaulannya luas tanpa mengira usia. Beliau mudah ditemui di mana sahaja," katanya.
Moga-moga allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Alfatihah