PAS sentiasa bersikap waspada dengan tipu muslihat UMNO dalam isu Hudud Kelantan ini. Pintu yang dibuka wajib dilangkah masuk, namun jangan lepas parang di tangan bimbang penyamun bersembunyi di sebalik daun pintu.
Oleh: Ahmad Fadhli bin Shaari (5 Rajab 1435H)
1. ANDA BERTANYA, KENAPA PAS CENDERUNG UNTUK MEMPERCAYAI UMNO DALAM ISU HUDUD?
Saya menjawab, ini bukan soal percaya atau tidak. Soalnya, UMNO telah membuka sedikit ruang untuk hudud dilaksanakan. Kita sering katakan bahawa, pihak yang menjadi penghalang kepada undang-undang hudud selama ini ialah UMNO. Justeru, kita berhenti di titik terakhir yang dapat dapat kita sampai. Di titik inilah kita tersadai selama 21 tahun. Hari ini, apabila penghalang itu dikatakan akan dibuka, adakah di titik itu juga kita mahu berhenti? Justeru, Kelantan perlu bergerak ke depan untuk pelaksanaan undang-undang ini.
2. TIDAKKAH SELAMA INI UMNO MENZALIMI KITA? KENAPA TIBA-TIBA PAS MAHU PERCAYA?
Jika dikira isu menzalimi, terlalu banyak kezaliman UMNO kepada PAS Kelantan selama ini. Adakah apabila satu ruang mahu dibuka, maka kita lepaskan ruang tersebut kerana ruang lain masih ditutup. Langkah terbaik ialah mengambil kesempatan daripada ruang yang dibuka dan berusahalah untuk membuka ruang yang lain.
Bukankah kita membaca firman Allah SWT di dalam al-Quran :
وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Yang bermaksud : Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah Al-Anfaal, ayat 61)
Tidakkah ayat ini jelas ditujukan kepada orang-orang kafir yang menjadi musuh Rasulullah SAW? Dengan orang-orang yang tidak beriman sekalipun apabila mereka cenderung kepada pendamaian, hendaklah Rasulullah SAW juga cenderung kepada pendamaian tersebut.
UMNO bukannya kafir. Mereka saudara Islam kita yang tersilap memilih jalan. Bahkan merekalah mad’u kita. Apabila ada sedikit kecenderungan yang ditunjukkan untuk mereka menerima hudud yang menjadi kewajipan kepada kita dan mereka, tiada alasan untuk pejuang-pejuang Islam pula mengenepikan peluang ini.
3. APA JAMINAN BAHAWA UMNO TIDAK AKAN MENIPU KITA?
Bukankah di hujung ayat di atas dinyatakan bahawa pejuang-pejuang Islam bertawakkal kepada Allah SWT? Bukankah tatkala kita menyerahkan diri kita untuk urusan perjuangan, telah kita gantungkan tawakkal kita kepada Allah SWT. Kurang percayakah kita dengan kehebatan tawakkal?
4. TETAPI TIDAKKAH BERTAWAKKAL KEPADA ALLAH SWT DALAM KEADAAN JELAS UMNO SEDANG BERUSAHA MENIPU KITA, ITU NAMANYA TAWAKKAL YANG BODOH?
Mari saya bacakan kepada anda ayat berikutnya,
وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ هُوَ الَّذِي أَيَّدَكَ بِنَصْرِهِ وَبِالْمُؤْمِنِينَ
Yang bermaksud : Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (Surah Al-Anfaal, ayat 62)
Justeru, jika UMNO bertujuan mahu menipu kita, maka sedarlah bahawa Allah SWT sedang menjadi pelindung kita jika ikhlas kepadanya. Yakinlah bahawa Allah SWT pasti menyelamatkan bahtera perjuangan ini kerana di dalamnya terkandung perlembagaan PAS yang meletakkan AL-Quran dan Al-Sunnah sebagai rujukan utama.
Tatkala PAS ditipu UMNO pada tahun 1978, bukankah selepas itu lahirnya Kepimpinan Ulama pada tahun 1982 yang menjadi mutiara cerah memimpin PAS meniti kegelapan politik?
5. TIDAKKAH APABILA UMNO MENOLAK HUDUD DI TERENGGANU, ITU ERTINYA MEREKA AKAN MENOLAK HUDUD YANG AKAN DICADANGKAN OLEH PAS?
Hudud bukan menjadi agenda UMNO. Penolakan usul hudud di Terengganu membuktikan UMNO tidak bersedia untuk menjadi juara dalam isu ini. Inilah sebesar-besar bukti bahawa UMNO ialah parti nasionalis yang tidak pernah meletakkan Islam sebagai agenda utama.
Justeru, apabila UMNO menolak hudud di Terengganu, sewajarnya lebih mendorong PAS untuk membawa usul meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 ke Parlimen. Jika ia ditolak oleh UMNO, ia menjadi satu lagi bukti yang besar di mata rakyat bahawa UMNO hanya bermain politik dalam isu ini. PAS TIDAK RUGI APA-APA APABILA MEMBAWA USUL INI KE PARLIMEN.
6. TIDAKKAH USUL INI AKAN MENJEJASKAN PAKATAN RAKYAT?
PAS tidak pernah berjanji untuk menggugurkan perjuangannya mendaulatkan syariat Allah SWT. DAP dan PKR bergabung bersama-sama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat dalam keadaan mereka menyedari bahawa inilah perjuangan PAS. Mereka mempunyai hak untuk mengundi menolak usul ini dan PAS juga wajib menyedari bahawa kebersamaan dalam Pakatan Rakyat ialah dengan wujudnya bersama perbezaan ini.
Perbezaan tidak menghalang untuk kita bersama. Suami isteri yang berkahwin begitu lama pun tidak sepakat dalam semua perkara.
7. JUSTERU, KENAPA PAS TIDAK TINGGALKAN DAP DAN BERGABUNG DENGAN UMNO?
Isunya ialah, tidak ada mana-mana parti tunggal mewakili mana-mana kelompok bangsa dan agama di Malaysia boleh memerintah. Samada PAS atau UMNO perlu bergabung dengan mana-mana parti lain yang mewakili kelompok bangsa berlainan untuk muncul sebagai pemerintah. Dalam konteks non Muslim, DAP dilihat parti terbaik dengan disiplin dan akauntabiliti yang mereka miliki untuk menjadi rakan politik.
Jadi isunya ialah bukan UMNO lebih baik dari DAP. Isunya ialah DAP lebih baik dari MCA dan MIC. Dalam konteks parti yang mewakili umat Islam, PAS wajib dilihat LEBIH BAIK dari UMNO. Manakala untuk golongan non Muslim, DAP lebih baik dari MCA dan MIC.
Menyatakan bahawa UMNO lebih baik dari DAP seolah-olah menggambarkan UMNO sebagai parti yang mewakili non Muslim.
8. BERBALIK KEPADA ISU USUL HUDUD, TIDAKKAH INI MENGGAMBARKAN PAS MULA BERBAIK-BAIK DENGAN UMNO?
Tidak timbul isu berbaik dengan UMNO. Hari ini UMNO merupakan pemerintah di Pusat dan tulang belakang kepada kerajaan Persekutuan. Hak untuk membenarkan undang-undang ini berkuatkuasa di Kelantan dipegang oleh UMNO. Konteks perjumpaan antara pemimpin kerajaan negeri Kelantan dengan pemimpin Pusat ialah perjumpaan kerajaan dengan kerajaan dan bukannya parti dengan parti.
UMNO selaku parti politik tetap merupakan lawan PAS sebelum ini dan juga selepas ini.
9. TIDAKKAH WAJAR PEMIMPIN KERAJAAN NEGERI KELANTAN BERHATI-HATI DENGAN MUSLIHAT UMNO?
Ya, wajib berhati-hati. Islam mengajar agar kita sentiasa bersikap waspada dan tidak membenarkan tangan digigit ular yang sama sebanyak dua kali. Namun sikap hati-hati itu tidak menutup pintu dakwah untuk kebaikan ummah.
Bagi pihak Pemuda PAS Kelantan, kita sentiasa mengingatkan semua pihak di dalam PAS sentiasa bersikap waspada dengan tipu muslihat UMNO dalam isu ini. Pintu yang dibuka wajib dilangkah masuk, namun jangan lepas parang di tangan bimbang penyamun bersembunyi di sebalik daun pintu.
- Ahmad Fadhli bin Shaari (5 Rajab 1435H)
Berkaitan
- Hudud: Antara jalan lurus dan berliku - Hanipa Maidin
Nota kaki makan cekam: Tanpa memang prejudis