Khalid Samad rela ‘dikudakan oleh DAP’... | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Selasa, Mei 18, 2010

Khalid Samad rela ‘dikudakan oleh DAP’...

Oleh Khalid Samad
*Artikel ini telah ditulis sebelum kemenangan di Sibu

Pungundian untuk PrK Sibu akan berlangsung esok. Pada jam 10 malam hari Ahad malam Isnin, akan diketahui keputusannya. Kemenangan bagi calon PR dari DAP akan mencatit sejarah baru bagi politik Sarawak dan akan menjadi petanda bahawa benteng kukuh BN telah mula retak. Malahan, prestasi yang meningkat pun sudah memadai untuk membuktikan bahawa ‘fixed deposit’ BN telah mula susut nilainya.

Saya sendiri tidak berpeluang untuk bersama sepanjang tempoh kempen. Saya dapat bersama hanya dari hari Jumaat iaitu hari sebelum hari penamaan calon hingga ke hari Isnin. Itu pun saya hanya berpeluang berceramah di beberapa tempat, kebanyakkannya di tempat masyarakat Tiong Hua yang tidak pernah mendengar penceramah PAS. Pagi Ahad saya turun berdakwah di gereja Sacred Heart di Sibu. Satu kejutan budaya bagi sebahagian.

Mungkin ada yang mengatakan saya diperkuda oleh DAP. Mungkin itulah sebabnya ada khabar angin kononnya saya di boo di Masjid Sibu. Kalau ada yang memboo saya, pasti ianya diboo secara diam-diam, mungkin dalam hati sahaja kot?, kerana saya tidak mendengar apa-apa. Malahan ramai juga yang turut bersalaman dengan saya apabila diberitahu oleh ahli PAS Sibu bahawa saya adalah Ahli Parlimen Shah Alam yang kononnya ‘penuh kontroversi’.

Bagi saya, saya sekadar cuba memperkenalkan PAS dan Islam kepada masyarakat Tiong Hua di Sibu. Saya mengambil kesempatan sepenuhnya untuk menyatakan dasar perjuangan PAS adalah sebuah dasar yang ingin menegakkan keadilan untuk semua, membela semua dan menegakkan hak semua pihak. Mungkin ada yang menganggap Islam tidak seperti itu dan hanya memperjuangkan hak orang Islam atau orang Melayu semata-mata. Itulah masalah yang mereka hadapi dan saya amat mengasihani golongan sebegini. Kesesatan UMNO telah menutup mata hati mereka sehingga mereka tidak mampu memahami perkara yang sebenarnya.

Dalam semua ceramah saya, saya melihat masyarakat Tiong Hua keturunan Fu Chau di Sibu, pada mulanya agak gelisah bila saya menaikki pentas. Walaupun terdapat beberapa kali yang berucap sebelum saya ialah Kit Siang dan beliau sudah mula ‘berkempen’ untuk saya, namun kesangsian dan kegelisahan tetap jelas kelihatan. Setelah beberapa minit saya berucap, kata-kata saya yang bertujuan menghilangkan kesangsian mereka mula kelihatan berkesan. Kasihan, mereka juga merupakan mangsa tohmahan dan dakyah UMNO yang menakut-nakutkan mereka terhadap PAS dan begitulah keadaan mereka sehingga berdepan dengan orang PAS sendiri dan mendengar apa yang ingin disampaikan dan melihat akan tingkah laku mereka. Harapan saya mereka tidak lagi takut terhadap PAS dan dasar Islam yang dibawa, supaya mereka sedar penyelewengan UMNO selama ini turut dikutuk Islam.

Saya bersama Dr. Mariah telah turun ke Gereja Sacred Heart pada satu pagi hanya dengan satu matlamat, iaitu untuk membuktikan bahawa PAS tidak memusuhi orang bukan Islam dan tidak ada niat untuk kita menzalimi mereka. Islam mengajar kita untuk menjamin hak mereka untuk beragama dengan agama mereka dan mengamalkan agama tersebut tanpa diganggu-gugat oleh mana-mana pihak. Kita tidak berniat untuk merobohkan Gereja mereka atau memaksa mereka untuk memeluk Islam. Itu semua dakyah BN. Alhamdulillah, mesej saya telah diterima dengan baik. Ini semua dimungkinkan dengan kerjasama dengan pihak DAP dan YB Teresa. Beliaulah yang membawa kami untuk bertemu dengan masyarakat Nasrani di Sibu.

Kalau inilah yang dimaksudkan dengan ‘dikudakan oleh DAP’ maka saya rela untuk terus dikudakan, asalkan masyarakat bukan Islam tidak takut lagi kepada PAS dan memahami mesej Islam yang dibawa. Seterusnya Islam tidak lagi dilihat sebagai agama yang sempit dan yang menzalimi mereka. Bagi saya ianya bukan soal memperkudakan sesiapa. Ianya soal membuka ruang seluas yang mungkin untuk semua saling mengenali.
Yang menggelikan hati, di Sibu, pihak SUPP iaitu BN, menuduh DAP diperkudakan PAS! Inilah taktik BN. Di kawasan ramai bukan Islam, DAP diperkudakan PAS. Di kawasan ramai orang Islam, PAS diperkudakan oleh DAP! Keadaan yang sebenar ialah kami saling memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk menjatuhkan BN kerana BN sebenarnya yang memperkudakan rakyat! Inilah apa yang perlu dilakukan bersama, iaitu DAP meyakinkan yang bukan Islam bahawa PAS bukan anti bukan Islam dan PAS pula meyakinkan masyarakat Islam bahawa DAP tidak anti-Islam. Jika ini dapat dilakukan sudah pasti strategi utama BN selama ini, akan berjaya digagalkan.

Hakikatnya, UMNO pun tidak wujud di Sarawak. PAS jauh bersifat ‘Malaysia’ dari UMNO. Mungkin kerana di Sarawak dakwaan UMNO bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu jelas terbukti tidak benar. sesat dan menyesatkan. Majoriti Islam di Sarawak adalah orang Iban bukan orang Melayu. Maka bila hujjah utama UMNO itu tidak laku, tidak perlulah kewujudannya. Walaupun terdapat juga rakan-rakan yang melaungkan cogan kata anti UMNO semasa hari penamaan calon. Hanya sekadar membuat orang gelak sahaja kerana UMNO tidak wujud di bumi Kenyalang ini.

Sepanjang 3 ke 4 hari saya berkempen, saya melihat adanya perubahan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam dalam persepsi mereka terhadap PAS dan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Mereka melihat kestiakawanan dan kesungguhan PR mendukung sebuah perjuangan yang berpaksikan konsep pertanggung-jawaban terhadap Allah dan Rakyat jelata. Ianya pembuka-mata dan permulaan dan saya tidak menolak kemungkinan calon PR dari DAP akan menang walaupun adanya 2,000 lebih undi Pos. Walaupun BN terus dengan politik rasuah dan salah guna kuasa. Walaupun BN terus dengan politik samseng dan ugutan mereka. Saya melihat adanya harapan yang agak cerah, insyaAllah. Kalau tidak sekarang pun, sudah pasti dalam PRU ke 13.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Jazan, Saudi Arabia



Sumber: Khalidsamad.com


Nota kaki makan cekam:  Medah dakwah semakin luas terbuka untuk pemimpin dan ahli PAS...

Jom join pay per click pertama Malaysia
Baca Email dapat cash
Media Pengiklanan Baru
Affiliates domain. $0.10 USD for every referal
Iklan text di sini, cuma RM10

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...