Kepimpinan Nabi Muhammad | Cenangau Daunkari

Iklan Top

Khamis, Februari 25, 2010

Kepimpinan Nabi Muhammad

oleh Pelangi Malam

Nabi ialah seorang lelaki yang terpilih yang disampaikan kepadanya wahyu Allah untuk amalan dirinya sahaja. Seorang Rasul pula ialah seorang lelaki yang terpilih yang disampaikan wahyu Allah kepadanya untuk dirinya sendiri dan juga untuk disampaikan kepada orang lain.

Seorang negarawan atau pimpinan pulah dapat diertikan sebagai seorang ketua, ahli politik dan pentadbir yang cekap, yang berjaya membuat polisi pemerintahan dan pentadbiran yang baik, dan dapat pula membuat kejayaan yang banyak kepada negaranya di samping memberikan kemakmuran dan kesenangan kepada rakyatnya.

Benarkah Nabi Muhammad Bin Abdullah itu adalah seorang Nabi, Rasul dan negarawan yang agung. Terdapat banyak bukti yang dikutip daripada catatan ahli sejarah yang menunjukkan bahawa memang benar Muhammad Bin Abdullah itu ialah seorang Nabi, Rasul dan negarawan Tanah Arab yang ulung.

Sebagai Nabi dan Rasul
• Sebagai Nabi dan Rasul, baginda berakhlak mengikut ajaran dalam al-Quran.
• Sebagai seorang pendakwah, Nabi menunjukkan sifat-sifat sabar, lemah lembut, toleransi tetapi tegas dan berpegang teguh kepada ajaran yang dibawanya, terutamanya tentang aspek akidah.
• Baginda melakukan aktiviti dakwah dengan penuh dedikasi, tidak pernah cuba menunjukkan kuasa-kuasa luar biasa walaupun beliau dianugerahkan pelbagai mukjizat oleh Allah.
• Sebagai pemimpin, baginda telah menentukan beberapa bidang bagi menjamin kesejahteraan masyarakat. Antaranya ibadat, nikah-kahwin, jenayah dan ketatanegaraan dan sebagainya.
• Bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad: -

Pengalaman Kenabian
Bukti-bukti sejarah menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah mengalami proses pengalaman kenabian dan kerasulan seperti yang juga pernah dialami oleh nabi-nabi sebelumnya. Misalnya, pengakuan yang diberikan oleh Waraqah bin Naufal bahawa apa yang dialami oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah petanda-petanda bahawa baginda bakal menjadi seorang Nabi. Pengakuan ini diberikan setelah isteri Nabi Muhammad s.a.w iaitu Saidatina Khadijah menceritakan kepada Waraqah bin Naufal tentang pengalaman baginda bertemu Malaikat di dalam Gua Hirak.

Kedatangan Nabi adalah Dinanti-nantikan
Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sendiri memang telah dinati-nantikan oleh sebahagian daripada masyarakat Arab. Misalnya ketika Abdul Mutalib mengunjungi Yaman untuk menyatakan tahniah kepada Saif Zu Yazin yang berjaya menguasai semuala Yaman daripada orang-orang Habsyah. Saif Zu Yazin telah memberitahu kepada Abdul Mutalib tentang bakal kelahiran seorang bayi dari Mekah yang mempunyai "tanda tertentu" pada badannya yang akan menjadi pemimpin manusia sehingga ke Hari Kiamat.

Keterangan dari Kitab-kitab Terdahulu
Kitab-kitab yang telah diturunkan kepada Nabi Musa a.s (Taurat) dan Isa a.s (Injil) dengan jelas ada menyatakan tentang bakal kelahiran seorang Nabi dari arah Mekah dan dari keturunan keluarga atau saudara-mara Nabi Musa a.s dan Nabi Isa a.s itu sendiri, walaupun bukan dari keturunan Yahudi atau Nasrani. Malah kaum Yahudi di Yastrib (Madinah) sering pula menakut-nakutkan masyarakat Arab kota itu tentang kelahiran "Nabi" tersebut yang diceritakan dalam kitab mereka (Taurat). Mereka mendakwa "Nabi" tersebut akan menganut agama Yahudi dan mengalahkan orang-orang Arab.

Keterangan dari al-Quran
Ayat-ayat dari kitab suci al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dengan tegas menjelaskan bahawa Muhammad bin Abdullah itu ada menerima wahyu dari Allah melalui perantaraan Malaikat Jibril a.s dan seterusnya baginda diarahkan agar menyampaikannya kepada umat manusia yang lain.

Mukjizat-mukjizat Nabi
Seperti juga nabi-nabi terdahulu, Nabi Muhammad s.a.w juga mempunyai berbagai mukjizat. Di antaranya ialah baginda sering menerima berita-berita ghaib atau ramalan-ramalan masa depan dengan tepat. Misalnya setelah tiga tahun umat Islam dipulaukan oleh kaum Quraisy, Nabi Muhammad s.a.w menyatakan kepada Abu Talin bahawa piagam pemulauan tersebut yang disimpan di dalam Kaabah telah hancur dimakan oleh anai-anai. Apabila disiasat oleh kaum Quraisy didapati bahawa apa yang dinyatakan oleh baginda itu benar-benar berlaku.

Bukti Sejarah Tugas-tugas Nabi
Sumber-sumber sejarah lain termasuk yang dikaji oleh para orientalis ada menunjukkan bahawa baginda ada menerima wahyu dari Allah dan menyampaikannya kepada manusia yang lain. Kajian-kajian sejarah tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa baginda telah menjalankan tugasnya sebagai seorang Nabi dan Rasul yang cuba memimpin umatnya ke jalan yang benar.

Sebagai Pemimpin Masyarakat
Setelah sampai di Madinah, baginda berjaya menamatkan permusuhan tradisi di antara Suku Aus dan Suku Khazraj. Kedua suku ini digabungkan menjadi golongan Ansar. Setelah itu, golongan Ansar ini digabungkan pula dengan golongan Muhajirin iaitu orang-orang Quraisy yang datang dari Mekah. Dengan kejayaan ini, baginda merupakan tokoh yang pertama yang menyatukan bangsa Arab yang berlainan keturunan sehingga menjadi satu umat yang padu dan kukuh.

Sebagai Pemimpin Politik
Keunggulan Nabi dari segi politik dapat dikesan dalam: -

Menyelesaikan Masalah Perpindahan Hajar al-Aswad ke Tempat Asal
Baginda jga mempamerkan ciri-ciri kepimpinannya dengan berjaya menyelesaikan masalah yang timbul di kalangan pemimpin bani-bani dalam kabilah Quraisy yang merebutkan hak untuk meletakkan hajarul-aswad di tempatnya yang asal di penjuru dinding Kaabah.

Peristiwa tersebut berlaku setelah kota Mekah dilanda banjir dan sebahagian daripada bangunan Kaabah telah runtuh. Semasa hendak meletakkan semula batu hajarul-aswad di sudut dinding Kaabah, bani-bani di Mekah bertelagah sesama sendiri. Hal ini kerana batu tersebut dianggap sangat suci dan mulia dan hanya tangan yang mulia dari bani atau suku yang mulia sahaja yang layak meletakkan semula batu tersebut ke tempat asalnya.

Akhirnya mereka memilih Nabi Muhammad s.a.w sebagai hakim untuk menyelesaikan masalah tersebut. Baginda telah meletakkan batu tersebut di atas sehelai kain. Setelah itu setiap wakil bani memegang bahagian hujung kain tersebut dan beramai-ramai mengangkatnya. Nabi Muhammad s.a.w sendiri meletakkan batu tersebut ke tempat asalnya di sudut Kaabah. Cara itu menyebabkan seluruh pihak yang bertelagah itu merasa puas hati.

Membentuk Piagam Madinah
Pada tahun 1 Hijrah baginda berjaya menggubal sebuah perlembagaan yang dinamakan Perlembagaan Madinah yang merupakan perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.

Hal ini seterusnya berjaya mewujudkan sebuah negara Islam yang pertama di dunia yang menampung rakyat berbilang kaum dan agama. Sesungguhnya perlembagaan ini lebih bersifat satu alat untuk menyelesaikan masalah masyarakat majmuk yang ingin hidup aman damai dalam sebuah negara yang sama.

Mengadakan Perjanjian Hudaibiah
Perjanjian Hudaibiah yang diadakan di antara umat Islam Madinah dengan kaum Quraisy Mekah merupakan satu lagi bukti yang menunjukkan kebijaksanaan baginda. Tiada siapa dapat menyangka (termasuk Saidina Umar sendiri) bahawa perjanjian yang dianggap kontroversi itu telah memberikan penangan maut kepada kaum Quraisy dalam semua bidang.

Sebagai buktinya, selepas Perjanjian Hudaibiah, tiga pahlawan unggul Quraisy iaitu Khalid al-Walid, Amru Bin al-As dan Osman Bin Talba memeluk Islam, umat Islam bertambah sebanyak lebih lima kali ganda dalam masa dua tahun sahaja, serta tewasnya Mekah tanpa pertumpahan darah dua tahun kemudian. Jelas bahawa baginda membuktikan kebijaksanaannya dalam selok-belok percaturan politik Tanah Arab.

Mengadakan Hubungan Diplomatik
Walaupun Nabi Muhammad s.a.w buta huruf, namun baginda membuktikan kualitinya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan. Baginda mengadakan hubungan diplomatik dan menghantar utusan-utusan ke beberapa daerah di dalam dan di luar Tanah Arab seperti Habsyah, Farsi, Byzantine, Ghassan, Hirah dan sebagainya.

Sebagai Perancang Ekonomi
• Nabi Muhammad telah memperkenalkan ekonomi baru bagi menggantikan dasar ekonomi zaman Jahiliah. Baginda menggalakkan orang Islam bekerja teras dan bergiat dalam bidang perniagaan dan pertanian.
• Baginda telah membangunkan ekonomi orang Islam: tanah tergadai kepada kaum Yahudi ditebus balik dan dikerjakan; tanah terbiar diusahakan semula.

Sebagai Pemimpin Ketenteraan
• Asas kepimpinan baginda ialah berdasarkan akidah, syariat dan akhlak yang mulia.
• Baginda dan sahabatnya menetapkan dasar tertentu semasa perang seperti: (a) tidak memerangi orang lemah, orang tua dan kanak-kanak serta wanita; (b) tidak memusnahkan harta benda.
• Baginda turut mengamalkan sifat amanah - melaksanakan amanah Allah dan juga amanah umat Islam seluruhnya bagi memimpin tenter untuk mencapai kegemilangan.
• Baginda bersifat adil - harta rampasan dibahagi sama rata kepada tentera yang menyertai peperangan dan tidak menceroboh pihak lawan seperti mengejar musuh yang sudah lari dari medan peperangan.
• Baginda dianggap sebagai panglima tentera dan ahli strategi.
• Dengan ilmu dan pengalaman yang luas, baginda berjaya merangka takrif peperangan yang berkesan yang membawa kejayaan kepada tentera Islam.

Sumber : Pelangi Malam




Untuk bahan bacaan
SALAM MAULIDUL RASUL

Media Pengiklanan Baru 
Baca Email dapat cash

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...